Siakap Keli
Raheem Sterling Tinggalkan Piala Dunia
Kredit: ESPN

Raheem Sterling Tinggalkan Piala Dunia Selepas Rumahnya Diceroboh

Bintang England, Raheem Sterling dilaporkan akan pulang ke England selepas rumahnya di Surrey menjadi sasaran rompakan bersenjata, lapor ESPN.

Football Association (FA) mengesahkan, kepulangannya sekali gus telah menyebabkan dia terlepas perlawanan England menentang Senegal pada pusingan 16 FIFA Piala Dunia Qatar malam tadi.

Pemain berusia 27 tahun itu telah mengadakan perbincangan dengan pengurus pasukan, Gareth Southgate selepas mengetahui rumahnya dipecah masuk pada petang Sabtu.

Justeru Southgate mengesahkan kepulangan Sterling selepas kemenangan  England 3-0 dengan menyatakan bahawa Sterling dikeluarkan dan akan pulang ke London.

Bagaimanapun, maklumat terperinci tentang insiden tersebut tidak jelas kerana ada sumber yang mengatakan bahawa beberapa ahli keluarga termasuk rakan, teman wanita dan anaknya kini berada di Qatar manakala ibunya difahamkan sudah kembali ke London.

Raheem Sterling Tinggalkan Piala Dunia
Kredit: AlJazeera

Southgate berkata, “Raheem terpaksa menangani masalah keluarganya dan akan kembali ke England. Kami perlu memberi masa kepadanya untuk menyelesaikan masalah dengan berada di sisi keluarganya.

“Itu adalah perkara yang paling penting pada masa kini. Jadi, kami akan memberikan ruang tersebut kepadanya. Ia tidak memberi kesan kepada pemilihan pasukan.

“Tidak dinafikan saya banyak menghabiskan banyak masa dengan Sterling pagi ini,” tambah Southgate.

Bagaimanapun, Southgate menerima keputusan Sterling untuk pulang ke England dan memberi ruang kepadanya untuk menyelesaikannya terlebih dahulu.

“Atas rasa hormat akan privasinya kami tidak akan bercakap secara terperinci,” katanya.

Walaupun ia dilihat sebagai satu keputusan yang sukar kerana stiuasi itu terjadi menjelang perlawanan besar namun ia tidak menjadi masalah yang membebankan.

“Kebajikannya adalah lebih penting daripada pasukan pada saat ini. Saya perlu menjaganya dan kemudian menguruskan perjalanan pulangnya pada petang ini,” tambah Southgate.

Sementara itu, kapten England, Harry Kane turut berkata, “Apa yang kami fikir ialah dia (Sterling) dan keluarganya. Ini adalah perkara peribadi, tetapi tidak mudah untuk melihat salah seorang rakannya berurusan dengan perkara seperti itu.

“Kami perlu menerimanya. Saya pasti Sterling akan bercakap dengan pengurus dan mengambil keputusan yang terbaik untuknya dan keluarga. Itu perkara yang penting.

“Kami hanya doakan yang terbaik dan berharap dapat berjumpa dengannya secepat yang mungkin,” tambah Kane.

Dalam masa yang sama, pemain sayap Chelsea tersebut turut berharap agar dapat bermain dengan lebih jauh lagi dalam kejohanan Piala Dunia itu setelah memastikan keselamatan keluarganya terjamin.

Sementara itu, bagi perlawanan yang seterusnya, England akan menentang Perancis di peringkat suku akhir di Stadium Al Bayt pada hari Sabtu ini.

Kemaraan England untuk bertanding di peringkat suku akhir adalah hasil daripada jaringan Jordan Henderson, Harry Kane dan Bukayo Saka menumpaskan Senegal 3-0 semalam.

Sumber: ESPN

 

 

Florence Nuar

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.