Siakap Keli
Kredit Gambar: Singapore National Archives/Astro Awani

Sejarah Hitam Penerbangan Malaysia, Genap 45 Tahun Tragedi Pesawat MH653 Terhempas Di Tanjung Kupang

Sejarah Hitam Penerbangan Malaysia, Genap 45 Tahun Tragedi Pesawat MH653 Terhempas Di Tanjung Kupang

Sejak beberapa dekad yang lalu, kita sering mendengar mengenai insiden kemalangan yang melibatkan pesawat di udara.

Malaysia juga tidak terkecuali mempunyai sejarah hitam berkaitan insiden membabitkan pesawat termasuk misteri kehilangan pesawat MH370 yang masih belum terungkai hingga ke hari ini.

Tidak lama kemudian, seluruh Malaysia dan dunia digemparkan pula dengan kejadian terhempasnya pesawat MH17 akibat ditembak jatuh.

Walau bagaimanapun, mungkin ramai generasi pada hari ini yang tidak tahu mengenai sejarah hitam membabitkan pesawat Malaysia beberapa dekad yang lalu.

Semalam, tarikh 4 Disember menandakan bahawa genapnya 45 tahun tragedi pesawat MAS (MH653) yang terhempas di Tanjung Kupang, Johor pada 1977.

Kredit Gambar: Astro Awani

Insiden tersebut dipercayai bermula apabila pesawat tersebut berlepas dari Pulau Pinang ke Kuala Lumpur dan kemudiannya ke Singapura.

Difahamkan, 20 minit sebelum kejadian itu berlaku, juruterbang yang bertugas telah memberi amaran dan memaklumkan kepada menara kawalan di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah di Subang bahawa pesawat Boeing 737 yang dipandunya itu telah dirampas oleh sekumpulan pengganas yang membawa bahan letupan.

Libatkan 100 penumpang

Juruterbang itu dikatakan telah meminta supaya pesawat yang dipandunya itu mendarat di Subang dengan alasan mahu mengisi minyak, namun permintaannya ditolak dan akhirnya terpaksa meneruskan penerbangan ke Singapura dengan membawa seramai 100 orang penumpang.

Kredit Gambar: Singapore National Archives

Menurut laporan Jabatan Penerbangan Awam Malaysia mengenai nahas itu, pesawat itu dipercayai telah dirampas ketika menghampiri Kuala Lumpur.

Difahamkan, selepas dua hari kejadian itu berlaku, laporan akhbar memaklumkan bahawa perampas pesawat itu melibatkan seorang individu sahaja, namun nama serta identitinya tidak diketahui ketika itu.

Kesemua 93 penumpang dan 7 anak kapal dilaporkan terkorban dalam insiden tersebut.

Antara mangsa yang terkoban ialah Menteri Pertanian iaitu Dato’ Seri Ali Haji Ahmad, Ketua Pengarah Jabatan Kerja Raya, Tan Sri Mahfudz Khalid dan Pengarah Kerja Raya Bahagian Tentera, Datuk Khalid Mohamad.

Pelbagai masalah mula timbul apabila tiada saksi yang terselamat dalam insiden tersebut, sekaligus gagal membuktikan bahawa kumpulan pengganas terlibat dalam nahas tersebut.

Para penyiasat juga hanya meletakkan harapan pada kotak hitam yang dijumpai beberapa minggu selepas nahas tersebut berlaku.

Kotak hitam dijumpai

Hasil daripada siasatan yang dilakukan, kotak hitam pesawat MH653 itu telah dijumpai dan sebuah laporan rasmi telah didedahkan setelah 9 bulan kejadian itu berlaku.

Dalam laporan tersebut, juruterbang dan seorang pegawai penerbangan dikatakan telah ditembak oleh pengganas tersebut sebelum pesawat itu menjunam dan terhempas ke negeri Johor.

Bunyi tembakan sebanyak 3 kali dapat didengari dalam kotak hitam yang mempunyai rakaman suara kokpit tersebut.

Suara seorang mangsa yang dipercayai juruterbang pesawat berkenaan, G.K. Ganjoor turut kedengaran dengan rayuannya yang berbunyi “No, please, don’t” sebelum mangsa ditembak mati.

Dalam pada itu, kejadian tembakan itu dipercayai berlaku semasa pesawat tersebut berada pada ketinggian 4,000 kaki yang dilihat sedang bersiap sedia untuk mendarat di Lapangan Terbang Paya Lebar, Singapura.

Walau bagaimanapun, satu lagi suara mangsa yang tidak dikenal pasti turut kedengaran dalam pesawat itu dengan mengatakan “You bluff us” sebelum bunyi tembakan itu berlaku.

Selain itu, satu bahasa asing juga didengari dalam rakaman suara tersebut, namun status kewarganegaraan perampas itu tidak dapat disahkan.

Difahamkan, seseorang dipercayai cuba untuk memandu serta mengawal pesawat tersebut setelah juruterbang pesawat itu ditembak.

Kredit Gambar: Singapore National Archives

Ekoran kejadian itu, pesawat MH653 itu dikatakan telah terhempas ke kawasan tanah paya dengan kelajuan 450 knots.

Pun begitu, tiada kejadian letupan dilaporkan berlaku di atas pesawat tersebut.

Sementara itu, kesemua mangsa mengalami kesukaran untuk dikebumikan apabila identiti mereka sukar dikenal pasti susulan daripada kemalangan yang berlaku.

Oleh itu, hasil perbincangan ketua daripada pelbagai agama telah mencapai kata sepakat supaya semua mangsa dikebumikan secara serentak dalam satu liang lahad di tapak perkuburan khas yang terletak di Jalan Kebun Teh, Johor Bahru.

Pengebumian yang melibatkan 100 mangsa itu kemudiannya dilakukan lima hari selepas kejadian.

Sumber: Arkib Negara, Astro Awani, CNN 

Farah Nabilah