Siakap Keli
bangkai anjing laut temui di pantai
Gambar: AFP via Wion

2,500 Bangkai Anjing Laut Ditemui Tepi Pantai Di Rusia, Punca Belum Diketahui

Sekurang-kurangnya 2,500 bangkai anjing laut ditemui di persisiran pantai Laut Kaspia di selatan Rusia pada Ahad baru-baru ini yang dikatakan mati akibat faktor semula jadi, lapor Daily Mail.

Ketua Pusat Perlindungan Alam Sekitar Caspian, Zaur Gapizov berkata anjing laut itu berkemungkinan mati beberapa minggu lalu dan tidak ada tanda-tanda ia terbunuh atau terperangkap dalam jaring ikan.

Difahamkan, kira-kira 700 anjing laut mati dikesan di luar pantai Laut Kaspia pada Sabtu sebelumnya tetapi dalam masa 24 jam, jumlah itu meningkat secara mendadak kepada 2,500.

Media melaporkan, ribuan bangkai anjing laut itu ditemui di pelbagai lokasi dan kebanyakannya di kawasan Yuzbash dan di antara muara sungai Sulak dan Shurinka.

Pengarah Perkhidmatan Persekutuan Penyeliaan Sumber Asli Rusia (Rosprirodnadzor), Svetlana Radionova berkata hipoksia mungkin merupakan punca utama kejadian di mana kadar oksigen di dalam badan haiwan itu berkurang.

Gambar: Musa Salgereyev/TASS via The Moscow Times

Namun dalam masa sama, para saintis buat masa ini sedang menyiasat sama ada ia berpunca daripada pelepasan gas asli di Caspian hingga boleh menyebabkan kadar oksigen rendah atau tidak.

Sebelum ini, Kesatuan Antarabangsa bagi Pemuliharaan Alam Semula Jadi (IUCN) pada 2008 meletakkan anjing laut Kaspia sebagai haiwan terancam disebabkan penurunan populasi yang berlaku lebih daripada 70 peratus pada abad ke-20.

Menurut IUCN penurunan tersebut berlaku disebabkan oleh pemburuan besar-besaran, kemerosotan habitat dan perubahan iklim.

Berikutan kejadian itu, Kementerian Dagestan berkata jumlah keseluruhan anjing laut Kaspia setakat ini hanyalah antara 270,000 hingga 300,000.

Imbas kembali setahun yang lalu, insiden kematian besar-besaran serupa dilaporkan berlaku melibatkan 300 anjing laut Kaspia disebabkan oleh faktor semula jadi.

Ketika itu, ahli biologi Vyacheslav Bisikov berkata siasatan awal ke atas bangkai mendapati organ anjing laut tersebut tidak menunjukkan tanda-tanda keracunan oleh logam berat atau racun perosak.

Malah, pakar juga turut menganalisis sampel tisu untuk mencari sekiranya benar virus merupakan punca kematian, namun sebaliknya tiada tanda-tanda haiwan itu dijangkiti virus Covid.

Sumber: Daily Mail

Nurhanis

Mungkin tidak lagi menjadi penulis, tetapi jejakku masih di sini

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.