Siakap Keli
Kredit: Pixabay

Betulkah Kalau Guna Dolar ‘Auto’ Mata Wang Jadi Besar?

Ekonomi dunia sudah semestinya sinonim dengan satu mata wang yang dianggap paling berkuasa iaitu, Dolar Amerika Syarikat (USD). Setiap pasaran telah menggunakan mata wang ini sebagai satu unit pertukaran untuk perdagangan antarabangsa. Boleh dikatakan, USD merupakan mata wang paling popular di dunia.

Penggunaan USD dalam perdagangan antarabangsa sangat popular kerana kebanyakan perusahaan antarabangsa menjalankan sesuatu urus niaga dengan menggunakan mata wang tersebut.

Kita boleh membuat analogi dengan melihat bagaimana bahasa Inggeris menjadi bahasa global disebabkan pelbagai bidang yang memerlukan penggunaan bahasa tersebut seperti pendidikan, hubungan diplomasi, perubatan dan sebagainya.

Menurut Helleiner dan Kirshner dalam buku mereka yang berjudul The Future of Dollar (2012), USD merupakan mata wang yang dgunakan secara meluas selepas Perang Dunia Kedua.

Walau bagaimanapun, kejatuhan mata wang ini telah diramalkan oleh pemerhati ekonomi untuk beberapa dekad yang lalu. Namun begitu, ramalan tersebut keihatan tidak memberi kesan yang mendalam terhadap mata wang tersebut. Richard Cooper mengatakan bahawa,

..pada hujung dekad ini, kedudukan USD masih tidak begitu berbeza dengan nilainya pada masa ini,”

(Copper 1973, 4: 2005)

Perkara ini juga dapat dilihat melalui kadar penggunaan USD dalam urusan perniagaan. Pada tahun 2018, perbelanjaan yang menggunakan USD adalah sebanyak USD 1.5 trilion dan meningkat sebanyak 1,8 trilion pada tahun 2020, menurut APHD (2020).

Yang lebih menakjubkan, kebanyakan negara tidak dapat lari daripada masalah kemerosotan nilai mata wang negara masing-masing sewaktu krisis pandemik COVID-19 tetapi USD mencatatkan kenaikan nilai mata wang  sebanyak empat peratus. Perkara ini membuktikan bahawa USD merupakan mata wang yang kukuh dan stabil, walaupun berdepan dengan krisis dunia.

Oleh itu, kita sudah maklum akan kekuatan nilai mata wang ini tetapi adakah penggunaan mata USD dalam kehidupan seharian mampu menjadikan ‘menjadikan kita kaya’? Benarkah apa-apa wang Dolar memiliki nilai yang tinggi? Mari kita telusuri jawapannya di bawah.

Sejarah Ringkas Dolar

Sebelum mendalami tajuk ini dengan lebih dalam, marilah kita mengenali dahulu apaitu dolar. Berdasarkan kenyataan Velayos (2021), perkataan dolar secara umumnya berasal daripada perkataan “thaler”. Perkataan ini berasal daripada bahasa Jerman, yang merujuk kepada “seseorang atau barangan yang berasal daripada lembah”.

Justeru, perkataan “thaler” ini diberikan kepada nama syiling pertama yang dilombong daripada lombong perak di Joachimstal, Bohemia. Dari situlah, bagaimana unit mata wang  tersebut mendapat namanya.

Negara-Negara yang Menggunakan Dolar

Secara umumnya, apabila kita bercakap mengenai ‘dolar’, apa yang terlintas dalam fikiran kita adalah mata wang yang digunakan oleh Amerika Syarikat iaitu, Dolar Amerika Syarikat (USD). Akan tetapi, tahukah anda ada beberapa negara lain yang meletakkan ‘dolar’ pada nama mata wang mereka. Ikuti senarai dibawah:

No. Mata Wang Nama Negara
1 AUD Dolar Australia (Australian Dollar) Australia,

Kiribati,

Kepulauan Coconut,

Kepulauan Solomon,

Nauru,

Tuvalu

2 BBD Dolar Barbados (Barbados Dollar) Barbados
3 BMD Dolar Bermuda (Bermudian Dollar) Bermuda
4 BND Dolar Brunei (Brunei Dollar) Brunei,

Singapura

5 BSD Dolar Bahamas (Bahamian Dollar) Bahamas
6 BZD Dolar Belize (Belize Dollar) Belize
7 CAD Dolar Kanada (Canadian Dollar) Kanada
8 FJD Dolar Fiji (Fijian Dollar) Fiji
9 GYD Dolar Guyana (Guyana Dollar) Guyana
10 HKD Dolar Hong Kong (Hong Kong Dollar) Hong Kong
11 JMD Dolar Jamaica (Jamaican Dollar) Jamaica
12 KYD Dolar Kepulauan Cayman (Cayman Island Dollar) Kepulauan Cayman
13 LRD Dolar Liberia (Liberian Dollar) Liberia
14 NAD Dolar Namibia (Namibia Dollar) Namibia
15 NZD Dolar New Zealand (New Zealand Dollar) Kepulauan Cook,

Kepulauan Pitcairn,

New Zealand,

Niue

16 SGD Dolar Singapura (Singapore Dollar) Brunei,

Singapura

17 SRD Dolar Suriname (Suriname Dollar) Suriname
18 TWD Dolar Taiwan Baharu (New Taiwan Dollar) Taiwan
19 USD Dolar Amerika Syarikat (United States of America Dollar) Amerika Syarikat,

Ecuador,

El Salvador,

Guam,

Haiti,

Palau,

Panama,

Puerto Rico,

Kepulauan Marshall,

Kepulauan Turks dan Calcos,

Kepulauan Virgin British,

Kepulauan Virgin Amerika Syarikat,

Mikronesia,

Samoa Amerika,

Timor Leste,

Wilayah Lautan Hindi British,

Pacific Remote Island

20 XCD Dolar Carribean Timur (East Carribean Dollar) Anguila,

Antigua dan Barbuda,

Dominica,

Montserrat,

Saint Kitts dan Nevis,

Saint Lucia,

Saint Vincent dan Grenadine

21 ZWL Dolar Zimbabwe (Zimbabwe Dollar) Zimbabwe

(JustForex)

Jadual 1.0: Negara-Negara yang Menggunakan Dolar

i. Wilayah Lain Yang Menggunakan Mata Wang Dolar

  1. Bonaire (Belanda) – Dolar Amerika Syarikat (USD)
  2. Greenland (Denmark) – Dolar Kanada (CAD), juga menggunakan mata wang krone
  3. Saba (Belanda) – Dolar Amerika Syarikat (USD)
  4. Saint Pierre dan Miquelon (Perancis) – Dolar Kanada (CAD), juga menggunakan mata wang Euro
  5. Saint Eustatius (Belanda) – Dolar Amerika (USD)

Beza Antara Dolar Amerika Syarikat (USD) Dengan Dolar-Dolar Yang Lain

Dolar Amerika Syarkat (USD) memiliki perbezaan yang ketara dengan dolar-dolar bagi negara lain. Perkara ini bermula pada era Perang Dunia Kedua. Ketika itu, Amerika Syarikat telah menjual senjata dengan menggunakan emas. Disebabkan keperluan senjata meningkat, Amerika Syarikat memiliki emas sebanyak 70 peratus daripada simpanan emas dunia.

Perkara ini menyebabkan kekurangan besar bagi negara-negara lain. Oleh sebab itu, negara-negara yang terjejas telah membuat perjumpaan di Bretton Woods, New Hampshire pada tahun 1944, bagi memulihkan keadaan ini. Pada akhir perjanjian, mereka bersetuju untuk menetapkan mata wang bergantung pada USD. Perjanjian ini juga membolehkan mereka untuk mengembalikan mata wang mereka dengan USD, bukannya emas.

Sistem dan Perjanjian Bretton | Kredit: Getty Images

Namun begitu, perkara ini berubah apabila Presiden Richard Nixon telah membuat satu kejutan  pada tahun 1971. Tindakan Presiden Amerika Syarikat pada masa itu adalah melepaskan nilai dolar daripada nilai emas. Hal ini menyebabkan, nilai USD tidak lagi bergantung pada emas tetapi ia berdasarkan keperluan mata wang tersebut dalam pasaran.

Hal ini telah menjadikan USD sebagai mata wang yang dominan di dunia. Berbeza dengan dolar-dolar lain, Kedudukan dan permintaan terhadap mata wang USD di pasaran lebih signifikan berbanding dolar-dolar yang digunakan oleh negara lain.

Perkara ini bukanlah bermakna bahawa USD memiliki nilai yang paling besar, ada lagi mata wang dolar yang memiliki nlai lebih tinggi seperti Dolar Kepulauan Cayman (KYD) tetapi, ia masih tidak menggugat kedudukan USD dalam pasaran dunia disebabkan USD bersifat lebih ‘fleksibel’ dalam dunia perdagangan.

Nilai Satu Dolar Kepada Ringgit Malaysia (MYR) Mengikut Urutan Nilai Tertinggi Kepada Nilai Terendah

Berikut merupakan nilai pertukaran antara satu dolar dari seluruh dunia dengan nilai mata wang yang digunakan oleh negara kita iaitu, Ringgit Malaysia (MYR).

No. Mata Wang Nama Negara  Ringgit Malaysia (MYR)
1 KYD Dolar Kepulauan Cayman (Cayman Island Dollar) Kepulauan Cayman 5.49
2 BMD Dolar Bermuda (Bermudian Dollar) Bermuda 4.50
3 BSD Dolar Bahamas (Bahamian Dollar) Bahamas 4.50
4 USD Dolar Amerika Syarikat (United States of America Dollar) Amerika Syarikat, Ecuador, El Salvador, Guam, Haiti, Palau, Panama, Puerto Rico,  Kepulauan Marshall, Kepulauan Turks dan Calcos, Kepulauan Virgin British, Kepulauan Virgin Amerika Syarikat, Mikronesia,  Samoa Amerika, Timor Leste, Wilayah Lautan Hindi British, Pacific Remote Island 4.50
5 CAD Dolar Kanada (Canadian Dollar) Kanada 3.46
6 BND Dolar Brunei (Brunei Dollar) Brunei, Singapura 3.22
7 SGD Dolar Singapura (Singapore Dollar) Brunei, Singapura 3.22
8 AUD Dolar Australia (Australian Dollar) Australia, Kiribati, Kepulauan Coconut, Kepulauan Solomon , Nauru, Tuvalu 3.07
9 NZD Dolar New Zealand (New Zealand Dollar) Kepulauan Cook, Kepulauan Pitcairn, New Zealand, Niue 2.75
10 BBD Dolar Barbados (Barbados Dollar) Barbados 2.25
11 BZD Dolar Belize (Belize Dollar) Belize 2.24
12 FJD Dolar Fiji (Fijian Dollar) Fiji 2.03
13 XCD Dolar Carribean Timur (East Carribean Dollar) Anguila, Antigua dan Barbuda, Dominica, Montserrat, Saint Kitts dan Nevis, Saint Lucia, Saint Vincent dan Grenadine 1.67
14 HKD Dolar Hong Kong (Hong Kong Dollar) Hong Kong 0.57
15 NAD Dolar Namibia (Namibia Dollar) Namibia 0.26
16 SRD Dolar Suriname (Suriname Dollar) Suriname 0.16
17 TWD Dolar Taiwan Baharu (New Taiwan Dollar) Taiwan 0.15
18 JMD Dolar Jamaica (Jamaican Dollar) Jamaica 0.03
19 LRD Dolar Liberia (Liberian Dollar) Liberia 0.03
20 GYD Dolar Guyana (Guyana Dollar) Guyana 0.02
21 ZWL Dolar Zimbabwe (Zimbabwe Dollar) Zimbabwe 0.01

(XE)

Jadual 2.0: Nilai Satu Dolar Kepada Ringgit Malaysia (MYR) Mengikut Urutan Nilai Tertinggi Kepada Nilai Terendah

Negara – Negara Yang Pernah Menggunakan Mata Wang Dolar

Walaupun nama Dolar kelihatan begitu popular tetapi ada juga beberapa negara lain yang memutuskan untuk tidak menggunakan nama itu lagi. Hal ini didorong dengan pelbagai faktor dan kebiasaannya, pertukaran nama mata wang akan berlaku jika berlakunya perubahan kuasa terhadap satu wilayah. Berikut merupakan beberapa negara yang pernah menggunakan nama ‘dolar’ pada nama mata wang mereke.

1. Confederate States of America (Negeri-Negeri Gabungan Amerika)

Negeri-Negeri Gabungan Amerika merupakan (juga dikenali sebagai KonfederasiNegeri-Negeri Konfederasi, dan CSA) merupakan kerajaan yang ditubuhkan oleh 11 negeri-negeri di selatan Amerika Syarikat dari 1861 hingga 1865.

Tujuh buah negeri mengisytiharkan kemerdekaan dari Amerika Syarikat sebelum Abraham Lincoln menjadi presiden; empat lagi berbuat demikian selepas Perang Saudara Amerika. Semasa kerajaan ini wujud buat seketika, mereka telah mngeluarkan Dolar Negeri-Negeri Gabungan Amerika (Confederate States of America Dollar) dan mata wang ini berkuat kuasa bermula pada tahun 1861 dan berakhir pada 1865.

2. Euthopia

Nama “Dolar Euthopia” telah digunakan dalam teks berbahasa Inggeris pada wang kertas birr sebelum mata wang Derg berkuat kuasa pada 1974.

3. Malaysia

Rupanya, negara kita sendiri pun pernah menggunakan dolar kerana Ringgit Malaysia (RM) dahulunya dikenali sebagai “Dolar Malaya”. Sungguhpun di bawah penjajahan pihak yang sama, iaitu British, setiap wilayah jajahannya menggunakan nama mata wang yang berbeza-beza. Nama-nama mata wang tersebut adalah Dolar Malaya, Dolar Selat, Dolar Sarawak dan Dolar Borneo Utara British.

Perkara ini berakhir apabila Malaya, Sarawak, Borneo Utara British (kini dikenali sebagai Sabah) dan Singapura mendapatkan kemerdekaan daripada pihak British dan mata wang telah diselaraskan menjadi Ringgit (Malaya and Borneo Dollar) pada tahun 1957.

Gambar via CGBFR

4. Sierra Leone

Dolar Sierra Leone telah digunakan dari 1791 sehingga 1805.

5. Sepanyol

Dolar Sepanyol digunakan pada 1487 sehingga 1868 dan memiliki hubungan yang rapat dengan mata wang USD pada masa kini. Hal ini disebabkan Dolar Sepanyol  pernah digunakan di Amerika Syarikat sehingga 1857. Kini, Sepanyol menggunakan mata wang Euro, memandangkan negara tersebeut sebahagaian daripada Kesatuan Eropah (EU).

6. Sri Lanka

Sebelum mencapai kemerdekaan, Rixdolar Ceylon merupakan mata wang rasmi di British Ceylon pada awal abad ke-19.

7. Rhodesia

Dolar Rhodesia telah digunakan untuk menggantikan Pound Rhodesia pada 1970 dan terus digunakan sehingga kemunculan negara Zimbabwe pada 1980.

8. Republik Texas

Dolar Texas berkuatkuasa anatara Januari 1839 sehingga September 1840.

9. Zimbabwe

Disebabkan kadar inflasi yang sangat tinggi, negara ini menggunakan mata wang daripada negara asing seperti dolar Amerika Syarikat, Euro, rand Afrika Selatan, pound Sterling, pula Botswana, yuan China, rupee India dan yen Jepun.

Adakah ‘Dolar’ Mampu Menaikkan Nilai Wang Anda?

Berdasarkan Jadual 2.0, terdapat 11 mata wang yang memiliki nilai lebih besar berbanding dengan nilai Ringgit Malaysia (MYR), manakala sembilan lagi memiliki nilai mata wang lebih rendah daripada mata wang negara kita.

Lebih separuh daripada negara-negara yang mengunakan Dolar memiliki nilai yang lebih besar berbanding dengan nilai mata wang kita, adakah ini bermaksud Dolar menjamin nilai yang tinggi?

Jawapannya, TIDAK sama sekali. Pada dasarnya, negara yang menggunakan Dolar tidak akan menjamin negara tersebut akan memiliki nilai mata wang yang tinggi dan kukuh.

Memang tidak dapat dinafikan bahawa negara-negara yang menggunakan Dolar akan memiliki nilai yang lebih tinggi, jika dibandingkan dengan Ringgit Malaysia (MYR). Dengan konteks yang lebih mudah, kita perlu lebih banyak MYR untuk mendapatkan nilai setara dengan USD1.

Walau bagaimanapun, terdapat pelbagai faktor-faktor yang akan mempengaruhi nilai mata wang dan bukannya hanya bergantung pada perkataan Dolar semata-mata. Jika dilihat, nilai mata wang bagi sesebuah negara boleh dipengaruhi oleh beberapa faktor besar seperti:

1. Kadar Inflasi Negara

Inflasi boleh ditakrifkan sebagai peningkatan harga yang berterusan secara umum. Fenomena ini berlaku apabila permintaan terhadap sesuatu barangan melebihi bekalan yang sedia ada. Untuk mengatasi masalah ini, harga barangan terpaksa dnaikkan bagi menyekat jumlah permintaan sekali gus mengawal bekalan daripada habis begitu sahaja. Perkara ini memperngaruhi kadar inflasi bagi sesuatu negara.

Gambar via Capital

Menurut Bank Negara Malaysia (2016), kadar inflasi pula ialah ukuran bagi kadar peningkatan harga dalam bentuk peratusan. Sebagai contoh, kadar inflasi pada tahap 2.5% (berdasarkan Indeks Harga Pengguna Kebangsaan) memberikan indikator bahawa purata perbelanjaan bagi seorang individu atas barangan utama dan perkhidmatan telah meningkat pada kadar 2.5% dalam tempoh setahun.

Seperti yang kita tahu, kadar inflasi negara yang tinggi boleh menyebabkan harga pasaran bagi barangan, sama ada keperluan ataupun barangan mewah mengalami peningkatan drastik secara automatik. Perkara ini akan mempengaruhi nilai mata wang bagi sesebuah negara.

Hal ini disebabkan, semakin banyak nilai mata wang negara tersebut diperlukan untuk mendapatkan sesuatu barangan, khususnya barangan import.  Secara tidak langsung dan tanpa disedari, nilai mata wang sesebuah negara menjadi semakin rendah disebabkan kadar inflasi yang tinggi bagi negara tersebut.

2.0 Keadaan Politik Bagi Sesuatu Negara

Faktor-faktor lain juga disebabkan keadaan politik bagi sesebuah negara. Berkenaan politik,  pelabur-pelabur asing (foreign investor) secara kasarnya, tidak berani untuk mengambil risiko untuk melabur di negara-negara yang memiliki keadaan politik yang tidak stabil.

Untuk memudahkan kefahaman, perkara ini boleh diberikan analogi seperti kebimbangan ibu bapa untuk menyekolahkan anak-anak mereka di sekolah yang memiliki banyak rekod masalah disiplin. Ini tidak menjamin kemenjadian anak tersebut untuk menjadi seorang yang berjaya, malah terdapat risiko untuk mereka berubah dari sudut negatif.

Begitu juga dengan pelabur-pelabur tersebut, mereka tidak mahu meletakkan petaruhan yang disifatkan ‘terlalu berisiko’. Sebagai contoh, kita boleh melihat kesan daripada krisis peperangan antara Rusia dengan Ukraine.

Kredit: Shutterstock

Kesan daripada peperangan tersebut, banyak kedai-kedai dan perusahaan yang terpaksa ditutup serta merta untuk disebabkan keadaan yang tidak selamat untuk menjalankan urusan perniagaan.

Dalam krisis Ukraine-Rusia ini, kita dapat melihat Ukraine adalah pihak yang paling banyak menanggung kerugian. Berbeza dengan pihak lawannya, Rusia masih berkemampuan untuk melestarikan ekonomi mereka kerana negara gergasi tersebut memiliki sumber hasil bumi yang banyak, selain daripada memiliki teknologi yang canggih, berdasarkan kenyataan Hirsch (2022).

Malah, dunia juga terkesan dengan kenaikan harga bahan apai fosil disebabkan Rusia merupakan salah satu sumber gas asli terbesar di dunia. Perkara ini menyebabkan mata wang Rusia (ruble) masih lagi stabil dan Ukraine tidak  memiliki ‘daya penarik’ ini untuk memastikan pelabur-pelabur asing untuk terus kekal melabur di negara tersebut.

Perubahan nilai mata wang Ukraine dan Rusia yang mendadak dapat dilihat melalui graf-graf ini. Pada awalnya, kedua-dua negara mencatatkan penurunan iaitu pada awal bulan Mac tetapi kita dapat melihat bagaimana nilai ruble Rusia mengalami peningkatan dari masa ke semasa, manakala hryvnia Ukraine terus mengalami kemerosotan yang sangat drastik.

Kredit: Google Finance
Kredit Google Finance

Ini membuktikan bahawa walaupun negara tersebut menggunakan Dolar ataupun apa-apa nama mata wang sekali pun, keadaan geopolitik bagi sesebuah negara masih memainkan peranan penting bagi menarik pelabur-pelabur asing untuk melabur dalam nilai mata wang negara tersebut,

3. Imbangan Pembayaran (Balance of Payments)

Menurut International Monetary Fund atau lebih dikenali sebagai IMF (2022), imbangan pembayaran merupakan satu kenyataan statistik yang direka untuk merekodkan secara sistematik terhadap transaksi-transaksi ekonomi antara penduduk sesebuah negara dengan seluruh dunia dalam satu tempoh masa.

Merujuk kepada imbangan pembayaran, nilai mata wang bagi sesebuah negara berubah-ubah mengikut permintaan dan bekalan bagi sesuatu mata wang (demand and supply of currency), Fenomena ini disebabkan oleh perdagangan antara bangsa.

Dengan konteks yang lebih mudah, negara yang memiliki nilai import yang melebihi nilai eksport akan menyebabkan nilai mata wang merosot. Hal ini disebabkan, kadar pengaliran mata wang tempatan ke luar negara adalah lebih tinggi berbanding dengan kadar pengaliran wang asing masuk ke negara tersebut.

Diingatkan sekali lagi bahawa ini baru sahaja kadar pertukaran mata wang asing, belum lagi ditambah dengan kos yang perlu dibayar pada pihak bank untuk menukarkan mata wang tempatan kepada mata wang asing.

Penjelasan di atas telah memberikan jawapan kepada justifikasi mengapa Duit E-Belia yang bernilai RM150 hanya boleh digunakan di premis perniagaan tempatan sahaja. Selain daripada merevitalisasikan perniagaan tempatan pada era pasca pandemik COVID-19, pada masa yang sama dapat meyekat pengaliran mata wang Ringgit Malaysia ke luar negara.

Kredit: Shopee

Secara ringkasnya, peranan dalam meningkatkan nilai mata wang tempatan bukan hanya terletak pada bahu kerajaan sahaja. Rakyat bagi sesebuah negara juga memainkan peranan penting dengan banyak membeli barangan buatan tempatan dan mengawal pembelian barangan daripada luar negara.

4. Dasar/Kawalan Kerajaan (Governement Control)

Terdapat pelbagai kawalan yang dilakukan oleh kerajaan, yang mana dapat mempengaruhi mata wang tbagi sesebuah negara. Antaranya:

i. Penguatkuasaan Kadar Pertukaran Tetap (Fixed Exchange Rates)

Kadar pertukaran tetap, kadangkala dirujuk sebagai kadar pertukaran yang ditambat, ialah sejenis rejim kadar pertukaran yang mana nilai mata wang ditetapkan atau ditambat oleh pihak berkuasa kewangan terhadap nilai mata wang lain (biasanya USD), sekumpulan mata wang lain atau ukuran nilai lain, seperti emas.

Tindakan ini biasanya bertujuaan untuk menstabilkan semula nilai mata wang akibat penggunaan kadar pertukaran terapung (floating exchange rates) yang menyebabkan nilai mata wang bagi sesebuah negara menjadi tidak konsisten, khususnya ketika berdepan dengan krisis ekonomi global.

Untuk pengetahuan, tindakan ini pernah dilakukan di Malaysia sewaktu negara ini mengalami Krisis Kewangan Asia pada 1997. Menurut Tamat Sarmidi dan Abu Hassan Shaari Mohd Nor (2001), kesan krisis tersebut telah menyebabkan nilai Ringgit Malaysia merudum daripada RM2.50 bagi 1USD (Julai 1997) sehingga ke arah paling rendah iaitu RM4,86 bagi 1USD (Januari 1998), kira-kira 48 peratus kemerosostan.

Justeru, tindakan yang diambil oleh kerajaan Malaysia pada masa itu adalah menambat mata wang negara kita. Ketika krisis itu berlangsung, nilai 1USD telah ditambat dengan nilai RM3.80. Tindakan ini memberikan kejayaan kepada Malaysia untuk menjamin bekalan mata wang pada nilai tersebut dan memastikan nilai Ringgit Malaysia tidak lagi naik turun.

ii. Sekatan Pedagangan Asing

Selain itu, salah satu kawalan yang dilakukan oleh pihak kerajaan, yang memberikan kesan terhadap nilai mata wang ialah sekatan terhadap perdagangan asing. Salah satu tindakan yang biasa diimplemetasikan oleh hampir semua negara ialah mengenakan cukai terhadap barangan import.

Sebagai contoh, pelaksanaan cukai ke atas barangan bernilai rendah (Low Value Good, LVG) yang dibeli menerusi atas talian akan mula berkuat kuasa pada 1 Januari 2023. Tujuan perlaksanaan cukai ini adalah untuk mewujudkan persaingan seimbang antara peniaga tempatan dan peniaga dari luar negara, kata Presiden Institut Percukaian Malaysia (CTIM), Chow Chee Yen pada 2 Ogos 2022.

Chow Chee Yen | Kredit: CITM

Tindakan pengenaan cukai terhadap barangan asing ini menstabilkan nilai import dan eksport yang dinyatakan dalam (3) sebentar tadi. Cukai ini akan menaikkan harga barangan import dan memberikan persaingan yang sihat terhadap pasaran tempatan. Tindakan ini menggalakkan rakyat untuk membeli barangan tempatan sekali gus mengurangkan pengaliran nilai Ringgit Malaysia keluar ke negara asing.

iii. Campur Tangan Kerajaan Dalam Pasaran Pertukaran Asing

Tindakan sesebuah kerajaan untuk masuk campur dalam pasaran pertukaran mata wang asing (foreign exchange market) biasanya bertujuan untu menarik minat pelabur asing untuk melabur di Malaysia. Tindakan ini biasanya berdasarkan pelan atau dasar yang diperkenalkan kerajaan bagi memakmurkan ekonomi negara.

Sebagai contoh, pihak kerajaan meningkatkan kadar pulangan yang tinggi untuk memastikan pelabur yang melabur di negara ini mendapat keuntungan. Berita baik ini akan menarik lebih banyak pelabur untuk melabur dalam pasaran Malaysia.

Tindakan ini boleh disamakan dengan tindakan jenama baharu yang menawarkan produk baharu mereka secara percuma untuk tujuan pendedahan. Apabila produk baharu tersebut mendapat respon positif daripada pengguna awal, secara tidak langsung ia memberikan ‘publisiti’ secara pasif terhadap produk baharu tersebut dan menarik lebih banyak pengguna pada masa yang akan datang.

Apabila banyak pelabur asing yang melabur dalam pasaran saham bagi sesebuah negara, kadar pengaliran masuk wang asing meningkat seiring dengan nilai mata wang tempatan.  Perkara ini juga dapat membina tahap kepercayaan yang tinggi terhadap pelabur untuk berkerjasama dalam pelbagai projek mega, yang mana dapat merancakkan lagi ekonomi negara pada masa akan datang.

5. Hutang Negara (Public Debt)

Faktor terakhir yang mempengaruhi nilai mata wang bagi sesebuah negara ialah kadar hutang negara. Seperti yang kita sedia maklum, setiap negara di dunia ini akan memiliki public deficit iaitu, kurangan belanjawan negara dan hutangnya yang tersendiri. Perkara ini boleh dikatakan satu ‘fitrah’ dan tidak dapat dielakkan secara sepenuhnya.

Walau bagaimanapun, negara yang memiliki nilai kurangan belanjawan negara dan kadar hutang yang terlalu tinggi akan menyebabkan pelabur kurang tertarik untuk melabur, malah ada ada yang ‘cabut lari’ daripada terus membuat pelaburan.

Perkara ini disebabkan terdapat kebarangkalian yang tinggi bagi negara tersebut untuk berdepan dengan kadar inflasi yang tinggi , nilai mata wang yang merosot dan yang paling dahsyat, negara tersebut menjadi muflis, seperti yang berlaku terhadap Sri Lanka pada 6 Julai 2022.

Menteri Kewangan Negara, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz (2022) mengatakan bahawa negara tersebut menjadi muflis disebabkan hutang negara tersebut yang terlampau banyak, sampaikan tidak dapat ditanggung oleh ekonomi negara itu.

@tzafrul_aziz

Malaysia nak bankrap? Betul ke? #fyp #foryoupage #srilanka

♬ original sound – Tengku Zafrul Aziz – Tengku Zafrul Aziz

Apabila sesebuah negara itu muflis, pelabur-pelabur asing yang melabur di negara tersebut tidak akan mendapat hasil pulangan yang setimpal dengan kadar pelaburan mereka. Oleh itu, mereka akan ‘cabut lari’ sebelum keadaan menjadi lebih kritikal dan tindakan ini telah menurunkan lagi nilai mata wang negara tersebut.

Kesimpulan

Secara kesimpulannya, kita sering melihat orang awam sering mengagungkan nilai Dolar, khususnya USD atas ‘ketinggian nilainya’. Memang tidak dapat dinafikan bahawa USD mempunyai nilai mata wang yang paling stabil jika dibandingkan dengan negara-negara lain. Hal ini disebabkan Amerika Syarikat merupakan satu aktor penting dalam perhubungan antarabangsa.

Populariti USD mungkin meningkatkan disebabkan orang awam sering menggunakan nilai USD untuk membuat harga perbandingan dunia dengan nilai mata wang tempatan.

Akan tetapi, masih ramai lagi tidak sedar bahawa kebanyakan masa, ada mata wang yang memiliki nilai lebih tinggi berbanding USD. Pada kebanyakan masa, nilai matawang EURO adalah lebih tinggi daripada USD. Pada hari ini, 1 Euro bersamaan dengan 0.99 USD.

Gambar hiasan | Kredit: Pexels

Berdasarkan Book My Forex (2020), mata wang yang terbesar di dunia pada masa ini ialah Kuwait Dinar (KWD) iaitu 1 KWD bersamaan dengan USD3,24 (RM14.62). Melihat nilai mata wang tersebut sudah cukup untuk membuatkan kita termenung untuk seketika.

Bukan itu sahaja, reputasi USD juga dicabar oleh beberapa jenis mata wang milik gergasi ekonomi yang lain seperti Yuan China, yen Jepun termasuklah mata wang kripto. Nilai emas juga boleh memberikan persaingan terhadap mata wang terkenal ini, terutamanya pada keadaan krisis global, berdasarkan Bloomberg Markets (2020).

Akhir sekali, Dolar Amerika Syarikat (USD1) atau apa-apa mata wang yang memiliki nama Dolar tidak dapat memberikan jaminan bahawa nilai yang tinggi terhadap mata wang tersebut. Sebaliknya, nilai mata wang menjadi besar apabila negara tersebut memiliki prestasi aktif dalam merancang ekonomi mereka.

RUJUKAN

(1) APHD (2020), Kenapa Semua Negara Menggunakan Mata Wang Amerika Syarikat (US Dollar)

(2) Helleiner, E., & Kirshner, J. (2013). The Future of The Dollar. Cornell University Press.

(3) Hirsch, P. (2022, April 5). How Russia rescued the ruble. NPR.

(4) International Monetary Fund (IMF). Dissemination Standards Bulletin Board (DSBB).

(5) Reynolds, G. C. (2020, Julai 31). The dollar’s leading rivals all have their own drawbacks. Bloomberg.com.

(6) Simbol Mata Wang Dunia: Nama, simbol Dan Kod. Simbol mata wang dunia: nama, simbol dan kod.

(7) Sinar Karangkraf Sdn Bhd. (2022, Ogos 2). Cukai jualan 10 peratus wujudkan persaingan setara: CTIM. Sinar Harian.

(8) Tamat Sarmidi, dan Abu Hassan Shaari Mohd Nor, (2001) Keberkesanan dasar kadar pertukaran tetap dalam mengkesampingkan faktor luar di BSKL. Jurnal Pengurusan, 20

(9) Tengku Zafrul Aziz. [@tzafrul_aziz]. (2022, Julai 17). Malaysia nak bankrap? Betul ke? #fyp #foryourpage #srilanka [Video]. TikTok.

(10) The World’s trusted Currency Authority. XE.

(11) Top 10 highest currencies in the World in 2022. Book My Forex. (2022, Julai 14).

(12) Velayos, D. (2021, September 29). Why is the US currency called dollar? what is its origin and meaning? Diario AS.

 

Nur Syahirah Zainoor Hisham

Everyone has their own perspective, there’s nothing strange about that - Thoma

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.