Siakap Keli
Kredit: Outside The Beltway

Global Recession: Apa Yang Anda Perlu Tahu?

Rakyat Malaysia sudah sedia terbeban dengan keadaan ekonomi yang kelihatan agak kurang memberangsangkan sejak kebelakangan ini. Dalam tahun ini sahaja, kita sudah dikejutkan dengan kenaikan harga ayam dan harga minyak masa secara mendadak. Menurut Farah Izureen Izhar (2022), para peniaga terpaksa meletakkan harga yang tinggi pada paras yang tinggi daripada kebiasaan disebabkan harga ayam yang meningkat secara drastik.

Gambar hiasan | Kredit: Bernama

Sejujurnya, tiada siapa yang akan berpuas hati dengan tindakan tersebut. Namun, keadaan semasa yang menyebabkan kita, sebagai konsumer terpaksa membeli dengan harga yang ditetapkan. Semua ahli masyarakat perlu mengadaptasi dalam keadaan kehidupan yang agak sukar, kerana itulah sifat alami manusia yang sentiasa menghadapi cabaran dan rintangan sepanjang hayat mereka.

Tahukah anda, keadaan ini sudah diramal oleh pihak-pihak tertentu dan berkemungkinan, ia menjadi lebih teruk pada masa yang akan datang. Sebelum ini, Siakap Keli pernah melaporkan satu amaran yang dikeluarkan oleh Bank Dunia mengenai keadaan ekonomi yang semakin tenat pada tahun hadapan.

Keratan artikel terdahulu

BACA: Bank Dunia Beri Amaran, Ekonomi Lebih Kritikal Tahun Depan

Dalam artikel tersebut, seluruh dunia mungkin semakin menghampiri kemelesetan ekonomi global pada tahun 2023 disebabkan tindakan bank-bank pusat di seluruh dunia menaikkan kadar faedah secara serentak sebagai tindak balas kepada inflasi yang berlaku diseluruh dunia.

Selain itu, ia juga merupakan rentetan terhadap krisis kewangan yang belaku dalam pasaran baharu dan ekonomi membangun, yang akan memberikan kesan negatif yang berpanjangan,berdasarkan kajian baharu yang komprehensif oleh Bank Dunia.

Apabila kita mendengar istilah ‘Kemelesetan Ekonomi Global’, ia seakan-akan satu perkara yang menjadi punca, mengapa taraf kehidupan masyarakat pada masa kini berubah secara mendadak. Apa yang dimaksudkan oleh kemelesetan ekonomi global, adakah ini hanya melibatkan aktor-aktor penting dalam ekonomi dunia seperti Amerika Syarikat, China, Eropah dan lain-lain?

Global Recession, Kemelesetan Ekonomi Global

Menurut takrifan Investopedia yang dikeluarkan oleh Haston (2021), Global Recession ialah satu tempoh kemerosotan ekonomi yang berpanjangan di seluruh dunia. Fenomena ini melibatkan pelbagai negara secara serentak. Secara umumnya, apabila hubungan perdagangan dan sistem kewangan dunia menyalurkan ‘kejutan’ dan memberikan impak, dari sebuah negara kepada negara yang lain.

Bagi mengukur tahap keseriusan fenomena ekonomi ini, International Monetary Fund (IMF) telah meletakkan kriteria -kriteria tertentu bagi mengenal pasti tahap kemelesetan ekonomi. Perkara ini termasuklah penurunan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi setiap kapita di seluruh dunia.

Gambar via Bernama

Untuk makluman, IMF merupakan sebuah badan antarabangsa yang mempromosikan pertubuhan ekonomi global dan kestabilan kewangan, menggalakkan perdagangan antarabangsa dan mengurangkan kadar kemiskinan.

Berdasarkan kriteria-kriteria yang diberikan oleh pihak IMF, penurunan dalam keluaran global ini mestilah selari dengan kelemahan pada petunjuk ekonomi makro yang lain. Sebagai contoh seperti perdagangan, aliran modal dan kadar pengambilan pekerja (Claessens & Kose).

Memahami Cara Bagaimana Fenomena ‘Global Recession’ Boleh Dilihat

Sebelum mengistyiharkan satu fenomena yang berlaku di muka bumi, pihak pakar akan meletakkan satu kayu ukur untuk menentukan keadaan semasa dan melihat sama ada fenomena yang melanda dunia itu sangat ketara atau sebaliknya. Terdapat pelbagai indikator ekonomi makro yang menunjukkan kemerosotan ketara dalam satu tempoh masa yang signifikan, untuk diklasifikasikan sebagai satu kemelesetan.

Sebagai contoh, di Amerika Syarikat, fenomena ‘kemelesetan sebenar’ akan diterima umum jika KDNK menurun untuk dua kuarter berturut-turut, berdasarkan analisis yang dilakukan oleh pihak National Bureau of Economic Research (NBER).

Gambar via Corporate Finance Institute

Perkara ini telah diambil kira oleh pihak berautoriti bertaraf kebangsaan dalam mengumumkan dan merekodkan kitaran-kitaran ekonomi. Bagi ‘Global Recession‘, IMF akan memainkan peranan yang mirip dengan NBER untuk peringkat global.

Kriteria-Kriteria Global Recession

Walaupun tiada definisi rasmi bagi fenomena ekonomi ini, kriteria-kriteria yang telah digariskan oleh IMF telah memberikan pemberat yang wajar disebabkan kemampuan organisasi tersebut dalam hal ehwal ekonomi, merentasi sempadan global. Berbeza denga NBER, IMF tidak memberikan jangka masa yang minimum semasa melakukan pemantauan terhadap keadaan kemelesetan global.

Dalam pada itu, beberepa dengan beberapa definisi kemelesetan global yang digariskan oleh pelbagai badan ekonomi dan ahli akademik, IMF akan meninjau beberapa faktor tambahan yang menyumbang kepada penurunan KDNK.

Berdasarkan Claessens dan Kole, terdapat kemeruduman bagi beberapa faktor-faktor ekonomi lain, termasuklah perdagangan, aliran kapita, pembuatan, pembuatan secara industri, penggunaan minyak asli, kadar pengangguran, pelaburan per kapita dan penggunaan bahan mentah per kapita.

Gambar hiasan | Kredit: Pexels

Secara idealistiknya, pakar ekonomi akan meningkatkan figura angka KDNK bagi setiap negara untuk mendapatkan ‘KDNK Global’. Namun begitu, terdapat terlalu banyak jenis matawang yang digunakan di seluruh dunia dan menjadikan proses tersebut lebih sukar. Walaupun, sesetengah organisasi menggunakan kadar pertukaran untuk mengira hasil agregat, pihak IMF lebih memilih untuk menggunakan pariti kuasa beli (Purchasing Power Parity, PPP).

Menurut Callen, PPP ialah jumlah barangan dan perkhidmatan tempatan yang boleh dibeli dengan satu unit matawang tempatan berbanding dengan kuantiti yang boleh dibeli dengan menggunakan matawang asing dalam satu analisis.

Kredit: Penn World

Berikut merupakan pariti kuasa beli KDNK negara-negara di dunia pada 2003. Amerika Syarikat merupakan negara asas, maka nilai indeksnya ialah 100. Nilai index tertinggi ialah 154, iaitu Bermuda. Indeks ini menjelaskan bahawa barangan di Bermuda adalah 54 peratus lebih mahal, berbanding barangan yang serupa di Amerika Syarikat.

Natijahnya, pertumbuhan KDNK memainkan peranan penting dalam menentukan sesuatu fenomena ekonomi, bukan sahaja terhad kepada fenomena Global Recession sahaja. Bagi mendapatkan hasil analisis yang lebih lengkap, beberapa indikaror ekonomi makro akan dilihat bersama untuk mencari punca bagi setiap masalah yang melanda ekonomi dan menggunakan kaedah yang paling tepat untuk menanganinnya.

Keadaan Ekonomi Semasa

Secara amnya, keadaan ekonomi semasa merujuk kepada keadaan ekonomi sesuatu negara atau serantau pada masa kini (Chen,2020). Keadaan ini akan berubah mengikut kitaran perniagaan.

Hal ini disebabkan kitaran ini bergantung pada keadaan ekonomi dalam satu tempoh tertentu, sama ada perkembangan atau penyusutan. Ringkasnya, keadaan ekonomi semasa boleh dikira sebagai positif apabila terdapat perkembangan pada status ekonomi dan menjadi negatif bagi sebaliknya.

Selain itu, keadaan ekonomi bagi sesebuah negara akan dipengaruhi dengan beberapa faktor ekonomi makro dan mikro, termasuklah kewangan dan polisi piskal, keadaan ekonomi global, kadar pengangguran, produktiviti, kadar pertukaran dan lain-lain.

Gambar hiasan | Kredit; Pixabay

Bagaimana Kita Boleh Melihat Keadaan Ekonomi Semasa Secara Terperinci

Orang awam boleh melihat keadaan ekonomi semasa berdasarkan data ekonomi yang akan dikeluarkan secara berkala. Biasanya, data-data ini akan dikeluarkan sama ada, secra mingguan ataupun bulanan, ada juga yang mengeluarkan data mengikut kuarter.

Seterusnya, beberapa indikator ekonomi seperti kadar pengangguran dan pertumbuhan kadar KDNK akan dipantau secra teliti oleh pihak–pihak yang memiliki kepentingan dalam pasaran. Hal ini disebabkan pihak-pihak ini akan melakukan penilaian terhadap keadaaan ekonomi dan mampu untuk mengemukakan inisiatif yang mampu mengubahnya.

Secara umumnya, indikator-indikator ekonomi boleh dikategorikan sebagai leading (mendahului) , coincident (kebetulan) atau pun lagging (ketinggalan). Beginilah cara mereka menggambarkan keadaan ekonomi pada masa depan, kini dan lampau. Biasanya, pakai ekonomi lebih berminat terhadap indikator leading,  sebagai salah satu cara untuk memahami keadaan ekonomi dalam masa tiga hingga enam bulan yang akan datang.

Gambar hiasan | Kredit: Pexels

Misalnya, petunjuk-petunjuk seperti pesanan baharu untuk barangan yang dihasilkan dan permit perumahan baharu akan memberikan gambaran ekonomi pada masa yang akan datang dan ia berkait rapat dengan hasil keluaran bagi industri pembuatan dan pembinaan rumah.

Bukan itu sahaja, terdapat beberapa petunjuk lain yang dapat bantu bagi meramal keadaan ekonomi pada masa yang akan datang termasuklah *Indeks Keyakinan Pengguna, pesanan baharu menerusi kilang (pesanan baharu untuk premis peruncitan dan perniagaan) dan inventori-inventori perniagaan (inventori yang digunakan oleh peniaga untuk menjamin bekalan dan permintaan barangan).

Kepentingan Untuk Melihat Keadaan Ekonomi Semasa

Indikator bagi keadaan ekonomi sangat penting kerana ia memberikan gambaran yang jelas terhadap pelabur dan ahli perniagaan. Para pelabur akan menggunakan petunjuk-petunjuk ini untuk menyesuaikan pandangan mereka terhadap keadaan ekonomi dan kadar faedah. Penambahbaikan terhadap keadaan ekonomi dapat menyakinkan pelabur untuk membuat pelaburan kerana terdapat jaminan untuk mendapat hasil plangan yang lumayan.

Keadaan ini juga mirip bagi sektor perniagaann, mereka akan memantau keadaan ekonomi untuk mendapatkan gambaran mengenai kadar jualan mereka dan keuntungan yang bakal dimiliki.

Adakah Keadaan Ekonomi Semasa Pada Masa Kini?

Setelah mengetahui takrifan mengenai keadaan ekonomi semas dan bagaimana ia ditentukan, anda mesti tertanya-tanya mengenai status ekonomi dunia sekarang. Dalam laporan World economic outlook update, July 2022 yang dikeluarkan oleh IMFbadan antarabangsa tersebut memberikan keadaan ekonomi semasa yang kita lalu sekarang dalam satu frasa ringkas,

GLOOMY AND MORE UNCERTAINTY (Suram dan Banyak Ketidakpastian)

Bukan itu sahaja, laporan tersebut menyatakan hasil keluaran global telah berkurangan pada kuarter kedua tahun ini, disebabkan krisis yang berlaku Rusia dan China. Sementara itu, pengguna-pengguna di Amerika Syarikat dilaporkan telah membuat perbelanjaan kurang daripada jangkaan.

Gambar hiasan | Kredit: VOA

Beberapa kejutan telah melanda ekonomi dunia, yang sememangnya sudah lemah disebabkan pandemik, khususnya di Amerika Syarikat dan negara-negara Eropah, Perkara ini sekali gus mencetuskan keadaan kewangan yang lebih parah dan memperlihatkan kelembaban ekonomi yang lebih teruk daripada apa yang dijangkakan. Hal ini berpunca daripada wabak pandemik COVID-19 serta kesan negatif yang berlanjutan daripada perang di Ukraine.

Menurut sebuah lapotan yang dikeluarkan oleh World Economic Outlook, ramalan untuk pertumbuhan ekonomi menjadi perlahan, daripada 6.1 peratus tahun lepas kepada 3.2 peratus untuk 2022. Ini adalah 0.4 peratus lebih rendah berbanding pada April 2022. Memang tidak dinafikan, situasi ekonomi pada masa ini sangat teruk dan dijangkakan lebih kritikal pada tahun depan.

Impak Global Recession Terhadap Manusia

Jika dilihat daripada persepktif global, kita sudah mampu melihat impak yang dibawa oleh fenomena ekonomi ini. Kelembaban ekonomi pada awal tahun ini telah mengurangkan kuasa beli bagi seisi rumah dan polisi kewangan yang lebih ketat telah menurunkan poin peratusan sebanyak 1.4 di Amerika Syarikat.

Terdapat beberapa negara lain yang mengalami impak daripada fenomena ekonomi ini seperti di China, ‘lockdown‘ dan krisis hartanah yang runcing telah meperlahankan pertumbuhan 1.1 poin peratusan. Seterusnya, bagi benua Eropah pula, kejatuhan nilai poin peratusan secara mendadak disebabkan situasi perang di Ukraine dan polisi kewangan mereka yang turut ketat.

Kesannya Tidak Terhad Kepada Kuasa Besar Ekonomi Sahaja

Selain itu, impak ‘Global Recession‘ ini tidak bersifat ‘regional‘ atau pun mengikut kawasan semata-mata. Ia ‘merebak dan menjangkiti’ ekonomi bagi semua negara di seluruh dunia bagaikan sel barah, Salah satu impaknya terhadap ekonomi dunia secara langsung iaitu ketidakstabilan antara bekalan dan permintaan barangan, yang menyebabkan inflansi khususnya bagi barang keperluan seperti makanan dan sumber tenaga.

Antaranya, perang di Ukraine boleh menyebabkan bekalan gas asli di Eropah tidak mencukupi. Hal ini disebabkan pembekal gas asli terbesar di dunia iaitu, Rusia berpotensi untuk memutuskan bekalan mereka dengan menghalang proses eksport sumber asli mereka terhadap negara-negara Eropah yang lain.

Tindakan tersebut boleh dilakukan sebagai satu provokasi terhadap Kesatuan Eropah (EU) untuk tidak masuk campur dalam konflik Rusia -Ukraine. Perkara ini membawa kepada kekurangan sumber gas asli di dunia yang mampu menampung keperluan global dan mewujudkan inflasi yang lebih dahsyat.

Apa Yang Bakal Dihadapi Umat Manusia?

Secara ringkas, jika harga barangan di pasaran semakin ‘menikam’ standard kehidupan masyarakat di seluruh dunia, kadar kemiskinan di dunia juga semakin meningkat. Ketidakmampuan untuk menyediakan keperluan asas seperti makanan, boleh mengakibatkan lebih ramai penduduk Bumi mengalami kebuluran.

Gambar hiasan | Kredit: Pixabay

Di samping itu, mutu kehidupan masyarakat pula merosot kerana mereka terpaksa berkerja keras untuk memenuhi keperluan asas seperti makanan, minuman dan tempat tinggal. Keadaan menjadi lebih meruncing apabila kudrat yang digunakan sewaktu membanting tulang, tidak setimpal dengan bayaran yang diterima pada hujung bulan.

Perkara ini boleh mempengaruhi kesihatan fizikal dan mental manusia, dan dapat dibuktikan dengan kadar kekerapan kes bunuh diri di seluruh dunia pada dekad ini.

Akhir sekali, kebejatan ekonomi juga mampu melumpuhkan kadar kelahiran bayi di seluruh dunia. Hal ini disebabkan, kebanyakan manusia tidak mampu untuk mendirikan rumah tangga atas pelbagai faktor, selain tidak dapat menemui pasangan ideal.

Gambar hiasan | Kredit: Pexels

Pasangan suami isteri pada masa ini memilih untuk memiliki anak sedikit kerana kos untuk membesarkan anak sangat besar. Ini menyebabkan sesebuah negara sukar untuk meneruskan visi dan misi mereka pada masa yang akan datang disebabkan kekurangan ahli masyarakat untuk menggalas tanggungjawab tersebut.

Tindakan untuk Menampan Kesan Negatif ‘Global Reccession

Walaupun berdepan dengan situasi sulit, kita sebagai manusia tidak seharusnya membiarkan diri kita dimakan hidup-hidup. Sungguhpun Glbal Recession ini memberikan kesan yang ekstrem terhadap peradaban manusia, kita boleh bersiap siaga bermula sekarang, demi menjamin kehidupan pada masa akan datang.

1. Membuat Simpanan Kecemasan

Apabila keadaan ekonomi mulai goyah, perkerjaan dan hasil pendapatan kita berada dalam pertaruhan dan inilah sebab yang kukuh untuk menyediakan simpanan kecemasan, lagi-lagi persiapan untuk menghadapi kemelesetan ekonomi. Simpanan ini merupakan wang yang disimpan atas tujuan membantu anda, jika terjerumus dalam hari-hari yang kelam.

Pelbagai situasi yang boleh berlaku seperti gaji anda dipotong, kehilangan sumber pencarian, hasil perniagaan yang tidak menguntungkan atau kesilapan anda melakukan percaturan dalam kehidupan. Simpanan kecemasan akan bertindak sebagai ‘buffer‘ yang akan menyerap segala impak negatif yang bakal berlaku terhadap anda, tidak memiliki simpanan. Ini juga dapat membantu anda kembali berdiri semula selepas keadaan ekonomi kembali normal.

Gambar hiasan | Kredit: Pixabay

Jika berkemampuan, cuba menyimpan wang yang bernilai sebanyak pendapatan bersih anda untuk lingkungan tiga sehingga enam bulan. Maka, jika keadaan ekonomi sedang meruncing, anda tidak perlu untuk beralih kepada kredit. Menggunakan kad kredit sebagai langkah keselamatan boleh diumpamakan seperti menggali lubang kubur anda sendiri kerana hutangnya mampu menghantui anda untuk berbulan-bulan lamanya.

2. Membuat Belanjawan dan Bayar Hutang Segera

Membayar hutang-hutang seperti hutang kredit, pinjaman bank, pinjaman pendidikan dan sebagainya sangat meresahkan sewaktu berdepan dengan kemelut ekonomi. Bagi mengelakkan anda tersepit pada masa depan, yang sudah dijangka akan menjadi lebih mencabar, anda perlu bijak merancang kewangan dengan melakukan belanjawan.

Semasa berdepan kemelesetan ekonomi, utamakan bajet anda untuk membayar hutang-hutang yang anda miliki. Memiliki kadar hutang yang tinggi sangatlah berisiko kerana jika terdapat sedikit perubahan pada faktor luaran, mampu menjejaskan kemampuan anda untuk membayar hutang. Walaupun anda mampu untuk membayar hutang anda sekarang, ini tidak bermakna anda akan mampu melakukannya dengan mudah pada tahun yang akan datang.

Gambar hiasan | Kredit: Pixabay

 

Selain daripada hutang, belanjawan anda juga perlu mengambil kira keperluan dan kehendak. Utamakan perbelenjaan yang menjadi keperluan seperti keperluan asas harian, kos pendidikan dan sebagainya. Hadkan perbelanjaan yang bermotifkan kehendak seperti hiburan, aset dan sebagainya.

Jika anda membeli peralatan elektronik, elakkan untuk membayar dengan kaedah ansuran dan beli mengikut kemampuan, bukannya berdasarkan trend semata-mata. Cukuplah kita menanggung hutang yang sudah sedia ada. Selepas melakukan sebarang transaksi, rekodkanny dalam belanjawan anda untuk memudahkan anda memantau perbelanjaan anda.

3. Mempelbagaikan Hasil Pendapatan

Memiliki pelbagai sumber pencarian sangat membantu. Jika salah satu sumber pendapatan mulai goyah ataupun hilang sepenuhnya, anda masih memiliki lagi satu sumber untuk menyokong kehidupan anda. Mempelbagaikan hasil pendapatan bukannya bermaksud anda memerlukan dua jenis perkerjaan. Memiliki pasangan yang bekerja di sektor berbeza juga merupakan salah satu cara  mempelbagaikan hasil pencarian bagi satu isi rumah.

Gambar hiasan | Kredit: Pexels

Jika anda lebih optimis, anda boleh menjana pendapatan dengan pelbagai metodologi yang berbeza seperti menyewakan bilik dalam rumah anda, menyewakan ruangan dalam garaj mahupun menjana pendapatan pasif seperti pereka kandungan di TikTok, Youtube, Twitch dan sebagainya.

Kesimpulan

Global Recession merupakan satu mimpi ngeri yang sedang ataupun akan dihadapi oleh kaum manusia pada masa ini. Seperti yang disaksikan sewaktu krisis pandemik COVID-19, kita dapat melihat ramai yang kehilangan sumber pendapatan, terpaksa melepaskan aset yang bernilai dan… ada yang mengambil nyawa mereka sendiri disebabkan tidak sanggup lagi menanggung beban kewangan.

Namun, tidak selama-lamanya akan mendung. Sudah pastinya akan ada mentari yang menanti kita selepas hujan. Dalam setiap situasi genting, sudah pasti ada peluang untuk kita mengatasinya, seperti yang dinyatakan dalam al-Qur’an iaitu surah al-Insyirah, ayat (5-6):

 Oleh itu, maka (tetapkanlah kepercayaanmu) bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan. (5)

(Sekali lagi ditegaskan): bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan. (6)

(Surah al- Insyirah: 94: 5-6)

Akhir sekali, persiapan yang rapi mampu menyelamatkan kita dari menerima impak kemelesetan ekonomi yang lebih besar. Semoga kita mampu mengatasi cabaran ini bersama-sama dan menjadi manusia yang lebih baik daripada sebelumnya.

GLOSARI

*Indeks Keyakinan Pengguna (Customer Care Index, CCI) merupakan satu soal selidik di bawah The Conference Board, yang digunakan untuk mengukur tahap optimistik dan pesimistik para pengguna, bersandarkan ramalan situasi kewangan pada masa depan (Ganti,2022).

RUJUKAN

1. 5 money saving tips to survive a recession. My Money Coach.

2. Business cycle dating procedure: Frequently asked questions. National Bureau of Economic Research .

3. Callen, T. (t.t.). Purchasing Power Parity: Weights Matter. International Monetary Fund.

4. Chen, J. (2020, November 27). Economic conditions. Investopedia.

5. Claessens, S., & Kose, M. A. Recession: When Bad Times Prevail. International Monetary Fund .

6. Farah Izureen Izhar. (2022, Mei 27). Harga ayam naik pada tahap membimbangkan. Berita Harian

7. Ganti, A. (2022, Februari 25). Consumer confidence index (CCI). Investopedia.

8. Halton, C. (2021, Ogos 31). Global recession definition. Investopedia.

9. Kenton, W. (2022, September 13). What is the International Monetary Fund (IMF)?

10. World economic outlook update, July 2022: Gloomy and more uncertain. IMF.

Nur Syahirah Zainoor Hisham

Everyone has their own perspective, there’s nothing strange about that - Thoma

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.