Seorang peniaga asal Bangladesh telah menyentuh hati pembelinya kerana bersifat jujur ketika melakukan sukatan terhadap barang jualannya.
Sebagai penganut agama Islam, mengenakan sukatan yang tepat merupakan satu tuntutan dalam agama ketika melakukan urusan jual beli.
Ini adalah untuk mengelakkan unsur-unsur manipulasi dan ketidakjujuran dalam kalangan peniaga kepada pembeli. Biasanya, pihak peniaga akan menimbang berat produk sekali dengan berat pembungkus produk tersebut.
Namun, seorang peniaga berasal daripada Bangladesh ini mengambil langkah lain iaitu mengasingkan antara berat produk dengan pembungkus.
Dalam sebuah video yang berdurasi 57 saat di Twitter, seorang lelaki Bangladesh sedang melakukan urus niaga dengan pembelinya. Yang menghairankan, peniaga tersebut mengambil plastik bungkusan dan meletakkannya di atas alat penimbang.
Tindakan peniaga tersebut telah mengundang persoalan yang besar bagi pembeli tersebut lalu bertanya apa yang cuba dilakukannya.

“Saya hanya mahu menimbang plastik bungkusan ini sahaja,” jawab peniaga tersebut.
Dia kemudiannya menerangkan bahawa 50 gram udang keringnya dijual dengan harga 100 penny (RM4.39), maka setiap satu gram udang keringnya bersamaan dengan 0.50 penny.
Bagi berat plastik pembungkus pula, ia memiliki berat kira-kira dalam 4 gram. Menurut peniaga tersebut, jika berat plastik tersebut dikira sekali dengan berat produk, pembeli akan mendapat berat produk yang kurang daripada sepatutnya dengan harga yang tidak tepat dan ia merupakan satu penganiayaan kepada pihak pembeli.
Kemudian, peniaga tersebut mengatakan bahawa setiap kali pembelian, dia akan menambah empat gram ekstra bagi sukatan bungkusan udang keringnya agar pihak pembeli mendapatkan berat produk yang tepat dengan harga yang sepatutnya.

Selain itu, pembeli sempat bertanya beberapa soalan kepada peniaga jujur tersebut seperti adakah dirinya sering melakukan tindakan sedemikian. Soalan tersebut dijawab dengan jawapan, “Selalu, Insya-Allah,”.
Bukan itu sahaja, peniaga tersebut turut ditanya sama ada dia masih melakukan tindakan sedemikian, walaupun tiada sesiapa yang menyedarinya. Peniaga tersebut hanya menjawab. “Saya perlu menjawab di hadapan Allah S.W.T kelak.”

Islam menuntut para penganutnya untuk berlaku jujur semasa urusan jual beli
Tindakan peniaga jujur ini selari dengan ajaran Islam yang menitikberatkan kejujuran dalam mengenakan sukatan terhadap barangan timbangan.
Muslim Seller Takes Honesty to Whole Other Level pic.twitter.com/kvPoyjdQID
— The Muslim Skeptic (@MuslimSkepticHQ) December 2, 2022
Akhir sekali, sebagai peniaga yang bertauliah, kita mestilah memberikan hak sepatutnya kepada para pembeli dengan memberikan produk yang tepat, berdasarkan lafaz akad jual beli. Perniagaan jual beli berlandaskan syariah Islam bakal mendapatkan limpahan rezeki dan keredaan daripada Allah S.W.T.
Sumber: The Muslim Skeptic via Twitter