Siakap Keli
Gambar: Bernama

PRU15: Lebih 2,000 Video Bersifat Provokatif Di TikTok Telah Disekat – Fahmi

PRU15: Lebih 2,000 Video Bersifat Provokatif Di TikTok Telah Disekat – Fahmi

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil hari ini memaklumkan bahawa sebanyak 2,113 video di platform media sosial khususnya TikTok berkenaan kandungan video yang mengandungi unsur provokatif dan ekstrem melibatkan PRU-15 telah disekat.

Menurut beliau, sebanyak 857 video yang dikeluarkan pada pra hari mengundi iaitu pada 12 hingga 18 November telah disekat di platform TikTok secara automatik.

Manakala, pada hari mengundi iaitu pada 19 November, sebanyak 130 video telah disekat secara automatik.

Seterusnya, pada pasca pilihanraya iaitu pada 20 hingga 26 November sebanyak 1,126 video melibatkan unsur provokatif dan ekstrem telah disekat di platform TikTok.

Dalam pada itu, beliau berkata kekangan automatik yang dilakukan oleh pihak TikTok adalah bersandarkan kepada sistem Artificial Intelligence (AI) yang dimiliki oleh platform media sosial itu.

“Saya difahamkan sekatan itu adalah berdasarkan kepada sistem Kecerdasan Buatan (AI) milik TikTok itu sendiri. Dari 1 Januari hingga 5 Disember 2022, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) juga memberikan sejumlah aduan kepada TikTok untuk menurunkan video.

“Jumlahnya adalah sebanyak 202 permohonan dan daripada jumlah itu, sebanyak 95 kandungan video diturunkan kerana melanggar Garis Panduan Komuniti TikTok,” katanya.

Selain itu, sebanyak 28 bahan telah diturunkan kerana telah melanggar undang-undang negara, manakala jumlah bahan yang tidak dikenakan apa-apa tindakan oleh TikTok adalah sebanyak 79 bahan.

Sehubungan itu, TikTok secara proaktif telah menghalang lebih 1,000 sebaran sejurus selepas menerima aduan daripada SKMM dan beberapa agensi dalam negara yang lain.

Sumber: Astro Awani

Farah Nabilah