Siakap Keli
Gambar: Pixabay

8 Tanda Anak Anda Mungkin Seorang ‘Genius’, Antaranya Suka Bergaul Dengan Individu Lebih Tua

Membesarkan anak-anak bukanlah tugasan yang mudah dan ibu-bapa sudah pasti perlu bersabar ketika berdepan dengan cabaran yang menanti. Sebagai ibu-bapa, satu hakikat yang perlu diterima adalah setiap anak ada keistimewaan tersendiri dan pendekatan dalam didikan yang diberi perlulah bersesuaian dengan potensi yang ditunjukkan anak-anak.

Mozart, Einstein, Van Gogh adalah contoh individu-individu terkemuka di dunia yang dianggap genius dalam bidang masing-masing. Jadi, dengan bergaul dengan anak-anak setiap hari, ibu-bapa boleh mengenali kecenderungan yang dimiliki mereka, sama ada tertarik ke arah muzik, seni, sains, sukan atau sebagainya.

Gambar: Pixabay

Dalam kes tertentu, ada anak-anak ini dianugerahkan dengan bakat luar biasa dengan kemampuan yang melebihi tahap usia mereka. Merujuk kepada portal Reader Digest, disini kami kongsikan dengan anda lapan tanda-tanda anak anda sebenarnya ‘gifted’ dan pintar berbanding kebanyakan kanak-kanak seusia.

Perkembangan laju

Kanak-kanak dengan kepintaran luar biasa sering kali menunjukkan perkembangan intelektual yang pantas. Ini boleh diperhatikan oleh ibu bapa sejak di peringkat bayi lagi.

Salah satu tanda yang boleh diperhatikan adalah keupayaan komunikasi mereka yang melebihi tahap umur. Anak-anak yang cerdas kebiasaannya mempunyai perbendaharaan kata yang lebih baik dan bertutur menggunakan ayat yang lebih kompleks.

Suka membaca

Berbanding kanak-kanak seusia, kanak-kanak yang gifted lebih cepat belajar membaca dan menulis. Malah, mereka juga menunjukkan minat yang begitu tinggi ketika membaca buku, berbanding melakukan aktiviti-aktiviti yang lain.

Rasa ingin tahu yang tinggi

Apabila berinteraksi pula, terutamanya dengan alam, mereka akan menunjukkan rasa ingin tahu yang tinggi. Mereka cenderung untuk bertanya bagaimana sesuatu kejadian itu berlaku atau bagaimana sesuatu mesin itu bekerja.

Misalnya, hanya memerhati mesin basuh bekerja, mereka mungkin mencari atau bertanya kepada orang dewasa bagaimana mesin basuh tersebut berfungsi.

Gambar: Pixabay

Pemerhati yang baik

Mereka juga merupakan pemerhati yang baik dan mudah mengenali ‘pattern’ yang ditunjukkan dalam persekitaran. Misalnya, jadual keluar masuk lori sampah atau sebagainya di kawasan perumahan juga boleh dihafal oleh mereka.

Jika melakukan aktiviti atau terlibat dalam sesuatu permainan, mereka mudah memahami corak permainan yang ditunjukkan dan berupaya mengulangi tingkah laku dalam permainan tersebut dengan lebih pantas berbanding rakan seusia.

Suka bergaul dengan orang lebih berusia

Disebabkan kepintaran dan tahap intelektual yang melebihi usia mereka, jadi kanak-kanak ini gemar untuk bergaul dengan kanak-kanak lebih berusia atau dengan orang dewasa kerana berasa sukar untuk berteman dengan orang seusianya.

Jika di dalam kelas, mereka mungkin cepat merasa bosan dengan topik yang diajar kerana terlalu mudah dan mencari orang dewasa untuk berbual mengenai topik-topik yang lebih sukar.

Berpengetahuan dalam perkara-perkara yang diminati

Selain itu, kanak-kanak yang dikurniakan dengan kecerdasan luar biasa juga seringkali fokus dan mempunyai minat terhadap sesuatu perkara yang spesifik. Misalnya, mereka menghafal nama-nama saintifik dinosaur atau komponen tertentu kenderaan.

Malah, pengetahuan mereka dalam perkara tersebut juga sangat bagus.

Ada daya kepimpinan

Di dalam keluarga atau dalam kalangan adik-beradik, anak yang pintar suka ke depan dan menjadi ketua. Disebabkan tahap kematangan yang melebihi usia, mereka bakal membesar menjadi pemimpin dalam komuniti mahu pun industri.

Jika diberikan tugas atau berdepan masalah, mereka boleh menjadi kreatif dalam mencari solusi yang paling mudah. Disebabkan itu, mereka gemar untuk menjadi ketua dan membimbing rakan sebaya kerana mempunyai tahap keyakinan yang tinggi.

Gambar: Pixabay

Berupaya memberikan pendapat

Dengan bertanyakan soalan kepada anak-anak yang pintar, mereka mampu membalas dalam satu jawapan yang panjang. Selain itu, mereka juga boleh menyatakan pendapat mereka sendiri bagi mempertahan jawapan yang diberi.

Usah risau, jika anda mendapat anak-anak anda lebih pintar berbanding usia mereka, ia adalah satu anugerah dan anda mempunyai tanggungjawab yang besar supaya potensi mereka dapat dikembangkan dengan sebaiknya.

MSN 2022, membudayakan STI

Salah satunya adalah dengan melibatkan diri dengan Minggu Sains Negara (MSN) 2022 anjuran Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) seperti yang diadakan baru-baru ini.

Bertemakan ‘Merakyatkan Sains, Menginsankan Teknologi’, program yang melibatkan pelajar dan belia berusia 7 hingga 30 tahun ini bertujuan untuk memupuk minat terhadap Sains, Teknologi dan Inovasi (STI).

Dianjurkan bermula April hingga Oktober lepas, MSN 2022 berjaya menarik penyertaan 1.8 juta kanak-kanak dan belia dari seluruh negara menerusi 212 program yang disediakan merentasi tujuh bidang sains.

Tujuh bidang sains tumpuan utama

Tujuh bidang tersebut adalah Kesihatan Planet, Kimia dan Bioteknologi, Kegunaan Aman Nuklear, Inovasi Sosial, Kejuruteraan, Nanoteknologi dan Angkasa. Pemilihan tujuh bidang ini bersesuaian dengan hari-hari penting berkaitan STI yang jatuh di sepanjang penganjuran MSN 2022.

Program-program ini telah dilaksanakan secara atas talian menerusi pautan www.minggusainsnegara.com dan juga secara fizikial.

Manakala pengisian setiap program juga amat menarik dan bersifat interaktif menerusi format pertandingan, seminar, ceramah, kuiz, pameran maya, bengkel maya, pertandingan membuat video dan pelbagai lagi.

Empat anugerah khas untuk mengiktiraf genius

Menerusi program-program yang bersifat pertandingan, MOSTI juga menyediakan anugerah khas kepada peserta-peserta yang menunjukkan potensi luar biasa. Bagi penganjuran MSN 2022, sebanyak empat anugerah khas telah diperkenalkan kali ini.

Empat anugerah tersebut adalah Anugerah Penyertaan Terbanyak (Individu), Anugerah Penyertaan Negeri Terbanyak, Anugerah Penyertaan Sekolah Terbanyak (Rendah/Menengah) dan Anugerah Penganjur Program STEM Terbanyak Sekolah. Pemenang setiap kategori akan menerima Trofi Khas MOSTI.

Iktiraf sumbangan ahli akademik dan juruteknik

MOSTI menerusi MSN 2022 juga mengambil kesempatan untuk mengiktiraf sumbangan yang dibuat oleh ahli akademik dan juruteknik dalam mengembangkan budaya STI di Malaysia menerusi penyampaian dua anugerah iaitu Anugerah Saintis Muda Negara (Sains Fizikal) 2022 dan Anugerah Juruteknik Sains Negara 2022.

Bagi Anugerah Saintis Muda Negara (Sains Fizikal) 2022, ia dirangkul oleh Dr. Ang Wei Lun, seorang pensyarah dan pendidik dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Kajian beliau adalah berkaitan sistem pengurusan air bersepadu bagi merawat air sisa industri dan kemudiannya dapat digunakan sebagai sumber air alternatif untuk kegunaan rakyat Malaysia secara amnya.

Manakala untuk Anugerah Juruteknik Sains Negara 2022 pula diberikan kepada Puan Siti Hajar Bilal, seorang juruteknik dari Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB). Kajian beliau berkaitan lemak sawit sebagai bahan asas produk kesihatan telah berjaya dibuktikan dengan penghasilan sabun lutsinar berasaskan lemak minyak sawit.

Paten bagi sebatian kimia yang digunakan sebagai asas penghasilan sabun lutsinar telah berjaya dikomersialkan oleh empat syarikat tempatan dan telah mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa.

Setiap pemenang berjaya membawa pulang wang tunai bernilai RM10,000, sijil beserta trofi.

Kesimpulannya, MSN 2022 merupakan satu program yang mampu membantu mengembangkan potensi anak-anak pintar dalam negara. Ibu-bapa kini mempunyai satu medan untuk merencanakan bakat dan potensi anak menerusi program STI berimpak tinggi yang disediakan oleh kerajaan.

Dengan penglibatan pelbagai pihak seperti agensi-agensi dan jabatan-jabatan kerajaan serta rakan strategik, diharapkan pelaksanaan MSN dapat dianjurkan untuk tahun-tahun akan datang dan memberikan platform yang sesuai dalam memupuk dan membudayakan STI dalam masyarakat.

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.