Hangus 90 Peratus, Surau Sekolah Menengah Di Kota Bharu Dilapor Terbakar
Kota Bharu – Sebuah surau di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mulong dilaporkan terbakar pada pagi tadi.
Memetik laporan Sinar Harian, insiden yang berlaku pada jam 10.41 pagi itu menyaksikan bangunan separa kekal seluas kira-kira 37.2 meter persegi itu hangus 90 peratus.
Menurut Ketua Operasi, Pegawai Bomba Kanan II, Zawawi Yusoff, seramai 24 anggota bomba termasuk pegawai telah dikerah ke lokasi kejadian pada jam 10.42 pagi selepas menerima panggilan berhubung kejadian itu.
Jelasnya, operasi itu juga melibatkan jentera FRT serta EMRS.
“Kami tiba 11 minit kemudian dan api berjaya dikawal pada setengah jam selepas itu,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambahnya lagi, kebakaran itu berjaya dipadam sepenuhnya pada jam 11.36 pagi dan operasi ditamatkan sepenuhnya kira-kira tujuh minit kemudian.
Bagaimanapun, tiada sebarang kecederaan dilaporkan berlaku dalam insiden itu.
Sementara itu, tular beberapa video di media sosial yang dipercayai berlaku di sekolah tersebut. Menerusi video itu, para pelajar dilihat bertempiaran lari untuk menyelamatkan diri.
Sumber: Sinar Harian