Siakap Keli
Kredit: Twitter

Hidap Tiga Kanser, Pemuda Sebak Genggam Skrol Selepas 8 Tahun, Belajar Sambil Kerja Cari Duit Rawatan

Artikel ini diolah & diterbitkan ke Siakap Keli dengan kebenaran dari sumber asal.

Hidap Tiga Kanser, Pemuda Sebak Genggam Skrol Selepas 8 Tahun, Belajar Sambil Kerja Cari Duit Rawatan

Menggenggam skrol ijazah merupakan salah satu kejayaan terbesar dalam kehidupan para pelajar. Ia merupakan satu pengakhiran yang manis bagi selepas berhempas pulas selama tiga hingga lima tahun di menaran gading.

Bergraduasi dalam tempoh masa yang dijadualkan merupakan salah satu matlamat yang sering dikejar oleh para pelajar di universiti. Jika hari graduasi kita tertangguh, atas pelbagai sebab, sudah semesti hati terasa sedikit hampa apabila melihat rakan-rakan seperjuangan meraikan kejayaan itu lebih awal.

Namun, tidak semua bernasib baik untuk menamatkan pengajian pada waktunya. Ada yang bergelut dengan masalah kewangan atau masalah kesihatan, sekaligus kuliah terpaksa ditunda dan jumlah semester bertambah.

Seorang pemuda bernama Mohamad Nor Imran bin Mat Shah atau lebih dikenali sebagai Imran baru-baru ini berkongsi liku-liku perjalanan suka dukanya dalam menggengam ijazah sarjana muda menerusi satu untaian tweet di akaun Twitternya.

Imran yang merupakan graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) bagi kursus Sains Politik di Abdulhamid AbuSulayman Kulliyyah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan (AHAS KIRKHS) berkongsi rasa syukur dan gembiranya apabila berjaya menggenggam ijazah selepas 8 tahun.

”Alhamdulillah, saya berjaya menggenggam skrol ijazah sarjana muda saya selepas lapan tahun. Terlalu banyak liku-liku yang perlu saya hadapi. Daripada masalah keluarga dan kewangan sehinggalah menghidapi kanser dari 2015-2020.’

Ciapan tersebut turut diiringi dengan dua keping foto, simbolik kepada perjalanan hidupnya. Foto pertama menunjukkan diri yang berkepala botak sambil ditemani dengan salah seorang staf di UIAM, Encik Ahmad ‘Izzuddin Bin Yunus manakala gambar kedua pula memperlihatkan dirinya yang tersenyum bahagia sambil mengenakan jubah graduasi.

Kredit: Twitter

”Allah tidak membebani seseorang itu diluar kemampuannya”, ujar Imran lagi.

Kata Imran, dia telah didiagnos dengan kanser limfoma Hodghkin Tahap 2, kanser hati Tahap 3 dan kanser kolon Tahap 3. Netizen bertambah tersentuh apabila dia mendedahkan semua kos rawatan, kemoterapi dan regim-regim yang lain ditanggung sendiri.

”Semua saya cari duit sendiri dengan buat kerja sambilan. Terpaksa tolak ketepi soal sakit, kena kerja kuat untuk hidup,” katanya.

Perjalanan kehidupan yang cukup berliku

Berkongsi lebih lanjut mengenai jadual hariannya yang ternyata padat, Imran mendedahkan dia hadir ke kelas seperti biasa setiap minggu dan pada waktu malamnya pula, dia keluar mencari rezeki bagi mencari dana rawatan yang diperlukan. Walaupun sibuk, dia memastikan dirinya tidak terlepas daripada mengikuti latihan PALAPES pada hujung minggu.

Dia turut berterima kasih kepada IIUM Endowment Fund (IEF) kerana pernah membantunya dari segi kewangan dan juga kepada warga Twitter yang pernah membuat crowdfunding untuk dirinya.

Untuk makluman, Imran terpaksa menangguhkan pengajiannya sebanyak dua kali disebabkan dirinya perlu menghadapi rawatan kemoterapi serta tidak berdaya untuk menjalani kehidupan seperti pelajar biasa sekitar 2019-2020.

Pada awalnya, Imran tidak memberitahu sesiapa mengenai masalah yang dihadapinya dan sering tidak hadir ke kelas. Namun, dia mula untuk membuka kisahnya kepada beberapa orang terdekat pada 2020.

Imran memaklumkan bahawa Bahagian Pembangunan dan Hal Ehwal Pelajar (STADD), UIAM dan IEF banyak membantu dirinya sewaktu menghadapi detik-detik sukar di universiti.

Gambar hiasan | Kredit: Bernama

Berbicara mengenai sesi kemoterapi yang perlu dilaluinya, dia berkata sesi berkenaan sebenarnya amat menyakitkan

”Masa saya kena kanser kolon, masa itu saya senior semester akhir PALAPES, darah berjurai tetapi aku tetap teruskan mara dengan spike boot dan beg galas seberat 14 kg.

”Saya cabar diri. Saya nak habiskan apa yang saya mulakan. Habis training, saya pergi chemo sampai botak,” katanya.

Kesan sampingan daripada kemoterapi menjejaskan pengajiannya

Disebabkan kekerapan sesi kemoterapinya, Imran menghadapi kesan sampingan daripada rawatan tersebut seperti tidak dapat mengingati banyak perkara.

Bagaimanapun, dia merasakan dirinya bertuah ketika itu apabila memiliki rakan-rakan yang sangat prihatin dan menyayangi dirinya. Dia dijaga seperti ahli keluarga mereka sendiri dan mereka juga berusaha untuk menceriakan dirinya setiap hari sehingga lupa segala kesakitan.

Walau bagaimanapun, kesan sampingan daripada sesi rawatan tersebut semakin teruk dan Imran membuat keputusan untuk menangguhkan pengajiannya buat seketika.

Pada ketika itu, dirinya terpaksa menelan hakikat yang begitu pahit bahawa dirinya tidak akan daat bergraduasi seperti rakan-rakannya yang lain dan sedikit sebanyak melemahkan motivasinya untuk meneruskan pengajian.

Walaupun menerima kata-kata tajam daripada beberapa individu yang berpendapat dirinya tidak akan berjaya menamatkan pengajian kerana kerap ponteng, namun Imran mengambilnya sebagai satu cabaran.

Pembakar semangat untuk hidup lebih lama

Menurut Imran, mungkin apa yang dilalui oleh dirinya tidak sama dengan orang lain dan mereka mungkin menghadapi situasi lebih perit berbanding dirinya.

Walau apa pun dugaan yang hadir, jadilah kuat demi diri sendiri dan berazam agar dapat hidup lebih lama dan dapat berbakti terhadap orang sekeliling.

Selain itu, Imran juga mengatakan bahawa kekuatan yang dimiliki oleh seseorang individu perlu dilatih dan ia tidak datang dengan sendirinya.

Setiap orang memiliki cara sendiri untuk menjadi kuat dan cekal, namun tidak bermakna anda perlu menafikan perasaan sedih anda. Letakkan had masa seminggu untuk merasa sedih dan bangkit semula dengan nafas baharu.

Sebelum ini, doktor yang merawat Imran pernah berkata bahawa dirinya hanya ada enam bulan lagi untuk hidup semasa menghidapi kenser keduanya.

Berkat semangatnya untuk hidup lebih lama, dia nekad untuk melawan penyakitnya. Dia sentiasa berdoa kepada Allah S.W.T agar dapat terus membantu orang ramai, jika dikurniakan usia yang panjang.  

Pada akhir ciapannya, Imran menyeru kepada penghidap penyakit-penyakit kronik mahupun penyakit mental agar terus berjuang untuk mendapatkan kesembuhan.

Baginya, sentiasalah berdoa agar dipanjangkan usia agar dapat memberikan sumbangan yang besar terhadap komuniti.

Jiwa-jiwa yang ampuh itu terbinanya dari hidup yang rapuh. Namun, tidak pernah sekali jatuh atau berlari dari tempat yang teduh. Berpautlah pada dahan yang ampuhNya tiada tandingan…Tuhan~ (Imran, 2022)

BACA: Kanser Otak Sejak 10 Tahun Bukan Penghalang Hafaz Quran, Ambil SPM

Sumber: @merxnism via Twitter

Nur Syahirah Zainoor Hisham

Everyone has their own perspective, there’s nothing strange about that - Thoma

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.