Elon Musk Kehilangan Seketika Gelaran Lelaki Terkaya Di Dunia
Pemilik Tesla, Elon Musk kehilangan takhta sebagai manusia terkaya dunia buat seketika pada Rabu selepas kedudukannya dalam senarai Forbes dipintas Bernard Arnault, iaitu keluarga elit yang menjadi pemilik kepada kumpulan jenama mewah terkemuka, LVMH.
Perubahan itu berlaku selepas saham-saham berkaitan teknologi di Amerika Syarikat dilapor merosot susulan peningkatan kebimbangan terhadap kadar faedah dan kemelesetan.
Bagaimanapun, Musk kembali merampas kedudukan teratas kira-kira 5.30 petang dengan nilai kekayaan keseluruhan berjumlah RM813.38 bilion mengatasi Arnault dan keluarganya pada yang kembali ke kedudukan kedua pada RM812.50 bilion.
Pada 2021, Arnault juga dilapor pernah memimpin senarai Forbes selama beberapa jam. Kumpulan LVMH miliknya dengan puluhan jenama mewah termasuk Louis Vuitton, Givenchy dan Kenzo terus mencatatkan pertumbuhan hasil dan keuntungan kukuh walaupun berada di peringkat global yang menghadapi masalah ekonomi.
Ahli perniagaan India, Gautam Adani pula berada di tempat ketiga dengan nilai kekayaan RM592.99 bilion diikuti pengasas Amazon, Jeff Bezos di tempat keempat dengan nilai RM489.61 bilion.
Kekayaan Musk secara umumnya bergantung kepada turun naik membabitkan harga saham Tesla, selain menjadi tumpuan kontroversi sejak pengambilalihan Twitter penghujung Oktober.
Indeks pengukur kekayaan lain antaranya yang disusun oleh penyedia data kewangan Bloomberg juga merekodkan kedudukan kekayaan Musk dan Arnault adalah hampir sama.
Menurut ranking Bloomberg, yang dikira selepas pasaran AS ditutup pada Selasa lalu, Musk mendahului senarai dengan kekayaan RM786.98 bilion diikuti oleh Arnault pada RM726.27 bilion.
Sumber: AFP