Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) telah mengenal pasti 31 kawasan panas atau ‘hotspot’ tanah runtuh di seluruh negara susulan hujan lebat berterusan yang melanda ketika ini.
Menerusi satu kenyataan, JMG berkata sebanyak 7,305 tanah runtuh telah direkodkan dari tahun 1961 hingga November 2022.
“Antara kawasan-kawasan hotspot yang berisiko dan sentiasa dipantau adalah di Cameron Highlands dan Bukit Fraser di Pahang; Bukit Antarabangsa-Hulu Langat dan Kuala Kubu Bharu di Selangor; Gunung Jerai dan Baling di Kedah dan Tanjung Bungah serta Paya Terubong di Pulau Pinang.
“Ia termasuk Genting Peras dan Jalan Seremban-Simpang Pertang di Negeri Sembilan; Ipoh dan Kledang di Perak; Felda Aring-Kuala Berang-Kenyir di Terengganu dan Lojing-Gua Musang di Kelantan,” katanya.
Dalam pada itu, kawasan terlibat sama di selatan ialah Gunung Pulai di Johor, sementara Miri, Kapit dan Bau di Sarawak dan Kota Kinabalu, Kundasang dan Sandakan di Sabah.

Katanya, dalam mempertingkatkan piawaian keselamatan dan kesejahteraan rakyat, Kementerian Tenaga dan Sumber Asli melalui JMG telah melaksanakan program pengurangan risiko bencana geologi khususnya di Taman Eko Rimba (TER) yang menjadi tumpuan pelancong.
“Sejumlah 25 TER telah dikenal pasti berpotensi memberi ancaman berlakunya aliran puing dipetakan di mana pemasangan Sistem Amaran Awal (Early Warning System) dan Program Pengurusan Risiko Bencana Berasaskan Komuniti (Community-Based Disaster Risk Managment) telah dilaksanakan,” tambahnya.
Difahamkan, ia melibatkan penduduk tempatan, agensi teknikal serta agensi responder di bawah Pusat Kawalan Operasi Bencana peringkat daerah.
“Antara tempat-tempat tumpuan TER yang telah dilaksanakan adalah di Gunung Jerai, Puncak Janing, Telaga Tujuh dan Sungai Sedim di Kedah serta di Chemerong dan Menderu di Terengganu,” tambahnya dalam kenyatan itu.
Bagi menghadapi fenomena itu, JMG juga melatih penduduk setempat sebagai local champion bagi mempertingkatkan tahap pengetahuan dan kesiapsiagaan terhadap risiko tanah runtuh kepada penduduk setempat.
Hujan lebat berterusan yang melanda negara ketika ini boleh mengakibatkan potensi berlakunya ancaman tanah runtuh di kawasan berbukit tinggi, petempatan dan laluan bercerun.
Khususnya di mana sistem perparitan tidak diselenggara dengan baik dan risiko bencana tanah runtuh boleh berlaku secara mendadak atau berperingkat dalam skala kecil atau besar.

“JMG menasihatkan orang ramai yang berada di kawasan berisiko seperti kawasan hotspot dan kawasan yang pernah mengalami tanah runtuh supaya peka dengan keadaan sekeliling.
“Sekiranya terdapat tanda-tanda berlakunya ancamana tanah runtuh, sila hubungi pihak berkuasa untuk memberi maklumat atau mendapatkan bantuan,” ujarnya.
https://www.facebook.com/nadma.pmd/posts/pfbid02eqRRAyg4ZTmQKHwx4oYAkd66z52oSzWkR4CRdWC9LyRD9rwnnxgqML9zJYSVYAAul
Sumber: Agensi Pengurusan Bencana Banjir/Facebook