Siakap Keli
orion nasa kembali ke bumi
Gambar: AFP

Misi Artemis Selesai, Kapsul NASA Orion Kembali Ke Bumi

Kapsul NASA, Orion dilapor kembali ke Bumi dalam ujian terakhir misi besar Artemis setelah membuat ‘perjalanan’ ke Bulan dan meneroka lebih jauh di angkasa lepas, lapor AFP.

Semasa  meluncur ke atmosfera Bumi pada kelajuan 25,000 batu (40,000 kilometer) sejam, ia perlu menahan suhu 2,800 darjah celcius iaitu kira-kira separuh daripada permukaan matahari.

Difahamkan, kapsul tersebut dijangka akan ‘mendarat’ di Lautan Pasifik iaitu di luar pulau Guadalupe, Mexico yang dijadualkan pada 9:39 pagi waktu tempatan hari ini.

Bagi NASA, kejayaan yang dikecapi selama lebih 25 hari itu menunjukkan puluhan bilion dolar yang dilaburkan ke program Artemis untuk membawa orang kembali ke Bulan adalah berbaloi.

NASA juga sedang dalam persediaan untuk perjalanan seterusnya ke Marikh dan setakat ini, ujian pertama kapal angkasa telah berjalan dengan baik.

Bagaimanapun pengurus misi Artemis Mike Sarafin berkata, cabaran sebenar mereka adalah perisai haba pada luar Orion yang terbesar pernah dibina; adakah ia benar-benar bertahan atau tidak.

“Ia adalah peralatan kritikal keselamatan dan direka untuk melindungi kapal angkasa dan penumpang, angkasawan di atas kapal. Jadi perasai haba perlu berfungsi,” katanya.

Imbas kembali, ujian pertama kapsul telah dijalankan pada 2014, tetapi pada ketika itu ia kekal di orbit Bumi dan telah kembali ke atmosfera pada kelajuan yang lebih perlahan sekitar 20,000 batu sejam.

Sedia disambut ‘mendarat’ di Pasifik

Sebuah kapal Tentera Laut Amerika Syarikat, USS Portland telah ditempatkan di Pasifik untuk mendapatkan semula kapsul Orion. Helikopter dan bot turut digunakan dalam tugas itu.

Kapal angkasa yang jatuh itu akan ‘diperlahankan’ terlebih dahulu oleh atmosfera Bumi dan menggunakan 11 jaring payung terjun sehingga kelajuannya menurun kepada 20 batu (30 kilometer) sejam apabila mencecah perairan Pasifik.

Sebaik sahaja mendarat, NASA akan membiarkan Orion terapung selama dua jam dan akan dibiarkan lebih lama sekiranya angkasawan berada di dalamnya dengan tujuan untuk mengumpul data.

Menurut pengurus integrasi kenderaan Orion NASA Jim Geffre, pihaknya akan melihat keadaan haba yang akan menyerap padanya dan bagaimana ia mempengaruhi suhu di dalam kapal.

Kemudian, kru penyelam dari kapal akan memasang kabel ke Orion untuk mengangkatnya ke USS Portland.

Air laut yang termasuk akan dipam keluar perlahan-lahan supaya kapal angkasa itu boleh berada di atas platform yang direka untuk menahannya.

Difahamkan ia akan mengambil masa kira-kira empat hingga enam jam untuk ‘berehat’ sebentar sebelum dihantar ke San Diego, California untuk dipunggah beberapa hari kemudian.

Sumber: AFP via Yahoo

Nurhanis

Sesuatu yang dilepaskan secara terpaksa, sakitnya tidak pernah sederhana