- Bermula 1 Disember 2022, Kementerian Sumber Manusia (KSM) telah melaksanakan Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) yang bertujuan memberi perlindungan keselamatan sosial yang komprehensif bagi golongan suri rumah. Ia merupakan salah satu fokus saya selepas seminggu memegang mandat sebagai Menteri Sumber Manusia dengan melaksanakannya di bawah peruntukan Akta Keselamatan Sosial Suri Rumah 2022 (Akta 838) yang dikawal selia Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).
- SKSSR merupakan cetusan idea bernas Dato’ Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail, Isteri YAB Perdana Menteri pada tahun 2018 ketika menyandang jawatan Timbalan Perdana Menteri wanita pertama Malaysia. Hasrat beliau adalah untuk memelihara keselamatan sosial suri rumah serta mengiktiraf sumbangan golongan wanita kepada keluarga, masyarakat dan negara selain memartabatkan golongan suri rumah.
- Saya amat berbesar hati dapat meneruskan hasrat beliau yang menyedari betapa pentingnya kebajikan suri rumah khususnya daripada golongan miskin dan miskin tegar. Suri rumah adalah sebahagian daripada ‘care economy’ dan terlibat secara langsung dalam pembangunan institusi keluarga serta secara tidak langsung membantu menjana ekonomi negara.
- Dalam pelaksanaan SKSSR ini, Kerajaan melalui Bajet 2022 menyediakan peruntukan caruman SKSSR untuk 150,000 orang suri rumah kumpulan B40 dalam senarai i-Suri. Langkah ini akan membela kebajikan mereka sekiranya mereka terlibat dalam kemalangan atau menghidapi keilatan sewaktu menguruskan rumah tangga.
- Di samping itu, semua suri rumah lain digalakkan menyertai SKSSR secara sukarela. Para suami juga digalakkan untuk mencarum bagi pihak isteri mereka manakala pihak ketiga seperti keluarga, saudara mara dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dibolehkan untuk mencarum bagi pihak suri rumah.
- Sejak pelaksanaannya, skim ini telah diterima baik oleh kumpulan sasar di mana sehingga 8 Disember 2022 (hanya seminggu setelah pelaksanaan skim), seramai 1,092 orang pencarum di seluruh negara telah mendaftar dan mencarum secara sukarela.
- Inisiatif ini terbuka kepada semua golongan wanita warga Malaysia atau pemastautin tetap yang berumur kurang daripada 55 tahun, dan tiada had umur minimum untuk mencarum. Suri rumah yang layak hanya perlu membuat bayaran caruman sebanyak RM120 setahun secara ‘in advance’ bagi menerima Perlindungan Bencana Domestik dan Perlindungan Keilatan selama 12 bulan.
- Sesungguhnya malang memang tidak berbau. Justeru, saya ingin menyeru dan menggalakkan semua wanita Malaysia untuk mendaftar dan mencarum di bawah SKSSR ini demi melindungi diri mereka tatkala berlaku sebarang musibah dan bencana yang tidak diingini dan tidak juga terduga.
- Pendaftaran dan pembayaran caruman adalah sangat mudah, iaitu melalui portal yang disediakan PERKESO. Bayaran caruman boleh dibuat secara dalam talian ataupun dibayar tunai di kaunter semua pejabat PERKESO. Untuk maklumat lanjut, sila layari laman sesawang rasmi PERKESO di www.perkeso.gov.my atau hubungi talian khidmat pelanggan PERKESO 1-300-22-8000.