Tindakan segera akan diambil terhadap pemandu lori dan syarikat berkaitan yang disyaki menyebabkan kemalangan dalam kejadian ngeri di Gerik, Perak baru-baru ini.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata beliau mengarahkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) untuk mengambil tindakan segera tanpa sebarang kompromi.
“Saya tidak akan berkompromi dengan pemandu dan syarikat yang membahayakan orang ramai di atas jalan raya.
“Saya telah mengarahkan JPJ dan APAD untuk mengambil tindakan segera terhadap pemandu dan syarikat tersebut.
“Permit operasi syarikat lori ini akan digantung sementara untuk audit ke atas semua lori mereka,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Dalam pada itu, Loke turut menyatakan rasa simpati dan memberi ucapan takziah kepada keluarga yang terlibat dalam kemalangan tersebut.
“Saya berasa amat simpati dengan keluarga mangsa kemalangan ini yang kehilangan bayi sulung mereka. Salam takziah kepada keluarga,” tambah Loke.
Terdahulu, tular di media sosial berkenaan sebuah video insiden kemalangan ngeri yang disyaki berpunca daripada kecuaian pemandu lori.
Menerusi laporan media, kemalangan ngeri itu telah meragut nyawa bayi dalam kandungan yang berusia 34 minggu.
Difahamkan, bayi tersebut merupakan anak sulung yang dinanti-nantikan oleh keluarga terbabit.
Dalam masa sama kemalangan tersebut turut membabitkan beberapa kenderaan lain susulan muatan lori itu terjatuh ke atas jalan raya.
Sumber: Anthony Loke/Facebook