Menteri Pengangkutan, Anthony Loke sekali lagi membuat tinjauan bagi melihat situasi sebenar perkhidmatan Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) Komuter dan Terminal Bersepadu Selatan (TBS) selepas membaca maklum balas di media sosial.
Menerusi laman Facebook, Loke memaklumkan beliau membuat tinjauan di TBS bersama dua pembantunya pada petang tadi yang umumnya merupakan waktu puncak buat rakyat Malaysia khususnya golongan pekerja.
“Petang ini, saya meninjau perkhidmatan KTM Komuter dan keadaan di Terminal Bersepadu Selatan. Saya mengambil tren Komuter dari KL Sentral ke stesen Bandar Tasik Selatan bersama dua pembantu saya.
“Saya menerima banyak maklum balas dari media sosial berkenaan perkhidmatan Komuter dan masalah mencetak Pas Masuk Bas di TBS,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam beberapa gambar yang dikepilkan, Loke dilihat mengenakan kemeja kasual lengkap dengan topi dan pelitup muka seperti dalam tinjauan sebelum ini, hingga ramai yang tidak menyedari kehadirannya di tempat itu.




Dalam pada itu, Loke juga memaklumkan akan berjumpa dengan pihak pengurusan KTMB dalam masa terdekat bagi membincangkan cara untuk menambah baik serta menaik taraf kekerapan perkhidmatan komuter.
“Saya faham bahawa KTMB menghadapi pelbagai kekangan operasi yang disebabkan oleh projek menaik taraf landasan KVDT1 yang masih belum siap dan KVDT2 yang tergendala.
“Saya juga akan berjumpa dengan pihak pengurusan TBS untuk membincangkan kesiapsiagaan untuk menguruskan jumlah penumpang yang ramai pada hujung minggu dan musim perayaan,” tambah Loke.
Selepas menyandang jawatan sebagai Menteri Pengangkutan, Loke tidak menunggu lama untuk menjalankan tugas dengan memulakan tinjauan di perkhidmatan transit aliran ringan (LRT) laluan Kelana Jaya pada minggu lepas.
Perkara sedimikian mengejutkan ramai pihak kerana tidak menyangka beliau akan membuat tinjauan segera sejurus diberikan mandat selaku menteri.
https://www.facebook.com/lokesiewfook/posts/pfbid0hYuXFrjqjvcU7V6AwwEyqSkQYTCWjwWsph8fKBwuHcBYKDQnhLdW1dDfHMWEsKzcl
Sumber: Anthony Loke/Facebook