Bintang bola sepak, Cristiano Ronaldo dilihat menjalani latihan di Real Madrid sejurus pulang dari Qatar selepas gagal membawa Portugal pergi lebih jauh dalam Piala Dunia.
Difahamkan perkara itu berlaku hanya empat hari selepas Portugal tersingkir dari Piala Dunia selepas tewas menentang Maghribi pada suku akhir dengan keputusan 0-1.
Menurut TalkSport, pemenang lima kali Ballon d’Or berusia 37 tahun itu dilihat sedang berlatih di padang latihan Real Valdebebas untuk latihan kecergasan baru-baru ini.
Difahamkan Ronaldo yang juga merupakan penjaring terbanyak ‘Los Blancos’ dengan rekod 450 gol kini dalam fasa ‘bebas’ selepas kontraknya di Manchester United ditamatkan atas persetujuan bersama.
Menurut sumber media Sepanyol, Ronaldo dinyatakan ada meminta kebenaran untuk berlatih di Real sambil memikirkan hala tuju perpindahannya ke kelab seterusnya.
Malah, Ronaldo dikatakan berlatih di padang berasingan yang jauh daripada pasukan utama kerana pengurus Carlo Ancelotti mengutamakan pasukannya sebelum mereka memulakan semula musim LaLiga.
Hal ini kerana penyerang tersebut (Ronaldo) dikatakan tidak berhubung lagi dengan bekas pasukannya itu dan hanya menjalani latihan bersama seorang jurulatih peribadi dan anak lelakinya, Cristiano Jr.
Real tak terima lagi Ronaldo
Dalam perkembangan lain, Real didakwa tidak akan mengambil Ronaldo semula kerana Karim Benzema akan kembali bermain selepas sembuh daripada kecederaan paha yang menyebabkannya tidak dapat beraksi untuk Piala Dunia.
Malah, ada juga yang mengatakan bahawa pasukan Arab Saudi Al Nassr berminat untuk mendapatkan perkhidmatan penyerang itu pada tahun 2023 namun khabar angin tersebut ditolak oleh Ronaldo.
“Tidak, itu tidak benar,” katanya kepada seorang wartawan.
Selain itu Chelsea juga dikatakan masih dilihat cuba ‘hidupkan semula’ minat mereka untuk mengambil Ronaldo walaupun pernah menolak untuk menandatanganinya sebelum ini.
Tidak dinafikan Piala Dunia Ronaldo berakhir dengan kesedihan, namun pemain itu tidak mendedahkan rancangannya untuk bersara daripada pentas antarabangsa kerana telah meletakkan sasarannya pada Euro 2024.
Sumber: TalkSport