Siakap Keli
remaja terselamat Rempuhan Itaewon mati
Gambar: Mothership/CNN

Remaja Terselamat Dalam Rempuhan Itaewon Ditemui Mati

Seorang remaja lelaki yang terselamat dalam rempuhan di Itaewon, Korea Selatan yang mengorbankan 158 mangsa pada 29 Oktober lalu ditemui mati pada 12 Disember baru-baru ini, lapor Mothership.

Menurut kenyataan polis, mayat remaja lelaki yang juga merupakan pelajar sekolah menengah itu ditemui di sebuah penginapan di barat Seoul pada 11:40 malam hari kejadian.

Difahamkan, polis memulakan pencarian selepas ibunya melaporkan kehilangan remaja tersebut sekitar 30 minit sebelum penemuan mayatnya.

Malah, pemeriksaan forensik di tempat kejadian juga mendapati tiada nota bunuh diri mahpun sebarang unsur perbuatan jenayah yang dilakukan terhadap mangsa.

Imbas kembali peristiwa hitam tersebut, mangsa ketika itu pergi ke Itaewon bersama dua orang rakannya yang turut menjadi mangsa korban tragedi berkenaan.

Keluarganya berkata, mangsa tidak sedarkan diri akibat rempuhan itu dan hanya tersedar selepas orang ramai menyimbah air ke mukanya.

Malah, mangsa pernah berada dalam keadaan kritikal ekoran daripada kecederaan yang dialaminya termasuk otot kaki yang pecah, lapor Korea The Dong-a llbo.

Bagaimanapun, mangsa dilaporkan sembuh selepas menerima rawatan di hospital.

Tiada bedah siasat akan dijalankan

Sebelum ini, mangsa dilaporkan telah menerima dua sesi rawatan psikologi di hospital dan kauseling tetap di sekolahnya.

Bapa saudara mangsa memberitahu The Korea Times bahawa kaunselor mengatakan keadaan mangsa semakin sihat dan telah pulih sedikit demi sedikit.

Bagaimanapun, laporan penilaian akhir mangsa itu untuk kaunseling psikologi dikeluarkan pada Rabu (14 Disember) semalam, iaitu dua hari selepas mayatnya ditemui.

“Tiada bedah siasat akan dijalankan ekoran daripada kehendak keluarga mangsa,” kata jurucakap polis.

Rempuhan Itaewon
Gambar: Yonhap News

Keluarga mangsa mendirikan tempat peringatan untuk mangsa korban

Sementara itu keluarga mangsa terkorban yang lain dalam rempuhan Itaewon tersebut tekad mendirikan tempat perkabungan berhampiran lokasi tragedi pada Rabu (14 Disember) semalam.

Menurut agensi berita Yonhap, keluarga mangsa mendakwa kerajaan gagal mengambil langkah sewajarnya untuk menghormati mangsa-mangsa korban seperti menubuhkan tugu peringatan untuk mereka.

Bagaimanapun, sebelum ini kerajaan telah menubuhkan tempat peringatan di seluruh negara selepas tragedi itu, namun ia dikatakan kosong tanpa sebarang potret atau papan nama mangsa.

Oleh itu, keluarga mangsa korban telah bersepakat untuk mendirikan tempat perkabungan baharu yang dilengkapi potret dan papan senarai nama 76 orang mangsa.

Sumber: Mothership

 

 

Florence Nuar

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.