Siakap Keli
Kena Telan Dengan Badak Air
Gambar: Unsplash

Kanak-Kanak Dua Tahun Cedera, Kena Telan Dengan Badak Air Sebelum Dimuntahkan Semula

Kanak-Kanak Dua Tahun Cedera, Kena Telan Dengan Badak Air Sebelum Dimuntahkan Semula

Seekor badak air yang kelaparan dilaporkan telah menggigit dan menelan budak lelaki berusia dua tahun sebelum memuntahkannya semula.

Difahamkan budak lelaki tersebut sedang bermain di rumahnya di bandar Katwe Kabatoro di daerah Kasese Barat Uganda sebelum disambar oleh haiwan itu dengan menelan kepala budak itu terlebih dahulu, lapor polis tempatan.

Bagaimanapun, seorang lelaki bernama Chrispas Bagonza berjaya menyelamatkan kanak-kanak itu dengan membaling batu ke arah badak air tersebut.

Haiwan berkenaan terkejut dengan tindakan itu dan kemudian memuntahkan semula budak lelaki tersebut sebelum berundur ke Tasik Edward yang terletak di sempadan barat Uganda kira-kira setengah batu dari rumah kanak-kanak berkenaan.

Gambar hiasan: Unsplash

Dalam satu kenyataan pada Isnin lalu, pasukan Polis Uganda berkata, “Ini adalah kejadian pertama di mana badak air yang sesat dari Tasik Edward menyerang seorang kanak-kanak kecil.”

“Kami ingin mengingatkan semua penduduk di Majlis Perbandaran Katwe Kabatoro untuk terus berwaspada dan sentiasa memaklumkan kepada renjer tentang haiwan yang sesat ke kawasan kejiranan mereka,” katanya lagi.

Budak lelaki tersebut telah dikejarkan ke hospital dan dirawat kerana mengalami cedera ringan serta diberi vaksin rabies. Kini dia dilaporkan telah dibenarkan pulang ke rumah ibu bapanya.

Memetik Newsweek, badak air boleh menjadi agresif dan dianggap sebagai salah satu haiwan paling berbahaya di sub-Sahara Afrika.

National Geographic menganggarkan sekitar 500 orang mangsa terkorban akibat dibunuh oleh haiwan itu pada setiap tahun.

Haiwan mamalia darat ketiga terbesar ini biasanya mempunyai berat antara 2,800 paun (1270 kg) hingga 7,000 paun (3175 kg), kira-kira sama dengan kereta dan membesar antara 7 dan 16 kaki.

Gambar hiasan: Unsplash

Badak air sering ditemukan di kawasan tanah lembap, sungai, tasik dan paya, ia boleh membuka mulut sebesar 150 darjah dan mempunyai gigitan yang sangat kuat.

“Kekuatan gigitan mereka…kira-kira tiga kali lebih besar daripada singa,” kata Lochran Traill, ahli ekologi dan saintis pemuliharaan dari Universiti Leeds di United Kingdom, sebelum ini memberitahu Newsweek.

“Itulah sebabnya ia sangat berbahaya, mereka boleh menyebabkan trauma yang teruk kepada tubuh manusia sama ada melalui gigitan atau pijakan,” kata Lochran lagi.

Pada bulan September, seekor badak air dilaporkan telah menggigit bahu seorang lelaki di Kenya.

“Saya melangkah keluar dari rumah apabila terdengar jiran menjerit, ketika itulah saya terserempak dengan binatang itu,” kata mangsa.

Sumber: Newsweek

Noorliyana Ishak

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.