Siakap Keli
tolong selamatkan bayi saya
Gambar: BERNAMA

Mangsa Imbas Detik Cemas, Tolong Korek Tanah Timbus & Jumpa Wanita, Rayu “Selamatkan Bayi Saya”

Beberapa mangsa bencana tanah runtuh di Gohtong Jaya, Batang Kali telah menceritakan detik-detik cemas tragedi tersebut, termasuklah menyelamatkan bayi dan wanita daripada tertimbus.

“Saya korek tanah dalam sampai jumpa bayi tertimbus,” jelas salah seorang mangsa yang enggan dikenali ketika ditemubual oleh Astro AWANI, berdekatan Balai Polis Ulu Yam baru-baru ini.

Ketika kejadian ngeri tersebut berlaku, mangsa yang merupakan seorang lelaki sekitar 30-an asal Melaka itu sedang tidur di dalam khemah bersama dua anak dan isterinya di lokasi tanah runtuh.

Menurutnya, mereka ketika itu tidak melihat apa-apa sebelum tiba-tiba mereka dikejutkan dengan bunyi yang sangat kuat. Katanya lagi, dia bernasib baik kerana ketika itu khemahnya merupakan khemah yang akhir sekali. Kakinya bagaimanapun terseliuh ketika cuba menyelamatkan diri.

“Ketika kejadian tersebut, kami dengar bunyi sahaja, semua mangsa yang selamat keluar angkat lampu suluh, semua cari mangsa yang tertimbus,” katanya ketika menceritakan detik cemas itu.

Tambah lelaki itu, ahli keluarganya berjaya melarikan diri dan tidak mengalami sebarang kecederaan serius.

Seterusnya, dia bersama rakannya berjaya menyelamatkan seorang wanita dan bayinya yang turut tertimbus dalam insiden ngeri itu.

Kredit: Bernama

Berbekal kudrat yang ada, mereka telah menggorek tanah pada kawasan yang diliputi dengan runtuhan dan menemui kepala seorang wanita yang tidak dikenali.

Walaupun keadaan wanita tersebut bagai telur di hujung tanduk, seorang ibu tidak akan sama sekali melupakan cahaya matanya dan sanggup menggadaikan nyawanya.

“Nampak wanita itu boleh bernafas, wanita itu kata jangan selamatkan saya, selamatkan bayi saya.”

Permintaan ibu malang itu telah dituruti oleh mereka dan mereka mencuba nasib dengan menggali di kawasan bersebelahan lokasi penemuan wanita tersebut.

“Kita pun korek sebelah kawasan tu, kita korek selepas itu ternampak seorang bayi, saya dan kawan saya kemudian tarik keluar bayi itu. Nasib baik dapat selamat, ibu dia pun turut serta korek tanah,” katanya lagi.

Kredit: Bernama

Selain daripada pengunjung tapak perkhemahan, penduduk kawasan sekitar turut terkesan

Selain itu, seorang pekerja kebun sayur warga Myanmar yang turut menjadi mangsa insiden tanah runtuh Batang Kali yang telah mencapai lebih dari 13 angka korban.

Thawng Uk, 35, berkata bahawa dia terjaga dari lena selepas asrama yang didiaminya dirempuh dengan sebahagian runtuhan tanah.

“Tengah tidur, tanah runtuh terkena rumah kami, selepas itu kami lari. Bunyi sangat kuat, dalam rumah ada 13 orang semua pekerja.

Uk dan pekerja lain telah menyelamatkan diri ke jalan raya, hanya berbekalkan bantuan cahaya daripada lampu suluhnya. Difahamkan, kawasan perkhemahan hanya terletak kira-kira 15 minit dari rumah mereka.

“Kita lari, tiada hujan ketika itu tapi bunyi sangat kuat. Di sini ada kebun, ada sungai, rumah kita di sebelah, kita lari di tepi jalan raya.”

BACA: Tanah Runtuh Batang Kali: 20 Guru SJKC Mun Choong Antara Yang Berada Di Tapak Perkhemahan

Sumber: Astro Awani

Nur Syahirah Zainoor Hisham

Everyone has their own perspective, there’s nothing strange about that - Thoma