Presiden FIFA Puji Piala Dunia 2022 Edisi Qatar Sebagai ‘Terbaik’ Dalam Sejarah
Qatar telah melakar sejarah apabila telah menjadi negara pertama di timur tengah yang diberi penghormatan untuk menganjurkan Piala Dunia, yang bermula 20 November lalu sehingga 18 Disember 2022 ini.
Bagi memastikan penganjuran julung-julung kali oleh negara Islam itu berjalan, Qatar dilapor telah membelanjakan lebih $220 bilion untuk membangunkan pelbagai kemudahan termasuk stadium baru.
Walaupun pada awalnya dikritik hebat selepas memperkenalkan pelbagai peraturan yang dianggap melanggar tradisi Piala Dunia, namun Qatar ternyata menjadi tuan rumah yang sangat berkemampuan dan menarik pujian dunia. Malah, Presiden FIFA, Gianni Infantino sendiri turut memuji usaha yang ditunjukkan oleh negara tersebut.
Menurutnya, Piala Dunia Qatar 2022 ini adalah edisi terbaik yang pernah diadakan sepanjang sejarah penganjurannya.
“Terima kasih kepada semua yang terlibat, Qatar dan semua sukarelawan untuk menjadikan Piala Dunia ini yang terbaik yang pernah diadakan,” kata Infantino.
Dengan penentuan tempat ketiga dan perlawanan akhir belum lagi berlangsung, FIFA berkata seramai 3.27 juta penonton telah menghadiri temasya itu berbanding 3.3 juta, jumlah keseluruhan yang dicatatkan pada Piala Dunia 2018 di Rusia.
Walaupun terdapat pelbagai kontroversi yang melanda negara tersebut tetapi Qatar berjaya mengendalinya dengan baik dan memastikan semua perlawanan berjalan dengan lancar tanpa ada sebarang kekecohan.
“Perlawanan telah diadakan tanpa sebarang insiden dan suasana yang sangat menggembirakan”, katanya lagi.
Presiden FIFA itu berkata beberapa kejutan yang terjadi ketika Piala Dunia 2022 ini juga menjadi salah satu kejayaan yang luar biasa seperti Maghribi, pasukan Afrika pertama yang mara ke separuh akhir untuk pertama kali dan seorang pengadil wanita dilantik mengadili perlawanan untuk pertama kali.
Selain itu, jumlah tontonan seluruh dunia juga meningkat iaitu sebanyak lima bilion tontonan dicatatkan.
Infantino juga berharap kejayaan yang ditunjukkan oleh Qatar dijadikan contoh dan ikutan negara-negara penganjur seterusnya.