Jabatan Meterologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap bahaya dan buruk membabitkan negeri Pantai Timur, Kedah, Perak dan Pahang sehingga Selasa ini.
MetMalaysia dalam kenyataan berkata amaran hujan berterusan di tahap bahaya membabitkan seluruh Terengganu dan beberapa kawasan di Kelantan iaitu Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Jeli, Tanah Merah, Bachok, Machang, Pasir Puteh dan Kuala Krai.
Dalam pada itu, amaran hujan berterusan di tahap buruk dijangka berlaku di Perak dan Pahang.
“Ia membabitkan negeri Kedah, iaitu di Padang Terap, Sik dan Baling dan seluruh Hulu Perak.
“Sementara itu, di Kelantan melibatkan daerah Gua Musang manakala di Pahang hujan akan melanda di Tanah Tinggi Cameron, Lipis, Jerantut, Maran, Kuantan, Pekan dan Rompin,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Menurut kenyataan itu, amaran hujan berterusan pada tahap waspada dikeluarkan melibatkan Perlis dan Kedah iaitu daerah Langkawi, Kubang Pasu, Kota Setar, Pokok Sena, Yan, Pendang, Kuala Muda, Kulim dan Bandar Baharu.
“Selain itu, turut dijangka berlaku ialah di Perak di daerah Kerian, Larut, Matang Dan Selama dan Kuala Kangsar, manakala di Johor melibatkan daerah Segamat, Kluang, Mersing, Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bahru.
“Amaran hujan berterusan (bahaya) dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda yang menunjukkan hujan lebat berterusan dijangka berlaku dengan jumlah hujan melebihi 150 mm dalam tempoh 24 jam,” ujar MetMalaysia lagi.
Pun begitu, amaran hujan berterusan (buruk) dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda yang menunjukkan hujan lebat berterusan dijangka berlaku dengan jumlah hujan melebihi 60 mm dalam tempoh 6 jam.
“Bagi amaran hujan berterusan (waspada) dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda yang menunjukkan hujan atau ribut petir sedang atau dijangka berlaku melebihi 6 jam dalam tempoh tersebut di sesuatu kawasan,” tambah kenyataan itu lagi.
https://www.facebook.com/malaysiamet/posts/pfbid0iC3DiUGWuMpbV7YxhaowtLQJRAmriz71DmnXqoskfpSWbtRpTNBYDfGoKLTdi2prl
Sumber: MetMalaysia