Siapa yang tak suka dapat duit kan? Kalau kita sendiri yang dapat sejumlah wang yang banyak, pasti akan bergembira dan sudah terfikir-fikir apa yang hendak dilakukan dengan wang berkenaan. Tapi, bagaimana pula kalau haiwan yang mendapat sejumlah wang yang banyak sehingga melebihi satu juta ringgit? Apa yang hendak dilakukan?
Seperti yang berlaku di Zoo Negara pada semalam 17 Disember 2022, Orang Utan Borneo telah menerima sumbangan sebanyak RM1.1 juta daripada pihak yang sangat menyayangi mereka. Tapi apa yang menariknya, gelagat haiwan berkenaan yang seakan-akan berlagak ketika dipanggil untuk makan menjadi perhatian ramai.
Mungkin sudah sedia tahu yang ia kini adalah seekor jutawan dengan nilai wang tersebut, orang utan tersebut seakan-akan tidak mengendahkan individu yang bertanggungjawab memberikan sumbangan itu. Menurut pengunjung yang berada di tempat tersebut, orangutan itu bagaikan menolak pelawaan individu tersebut untuk menjamah buah-buahan yang diberikan. Mungkin seleranya telah berubah selepas dah bergelar jutawan?
Seperti dalam video di bawah, orangutan tersebut tidak berganjak dari atas pokok walaupun seorang individu telah memanggilnya berkali-kali.
Siapa yang bagi sampai RM1.1 Juta kat Orang Utan Borneo?
Bila dilihat semula pada rakaman video berkenaan, individu yang mempelawa orangutan tersebut untuk makan adalah Hairulazim Mahmud, Ahli Lembaga Pengarah Malaysian Palm Oil Green Conservation Foundation (MPOGCF). Jika ditanya siapa yang menyumbang sebanyak RM1.1 juta tersebut, MPOGCF lah jawapannya. Sumbangan ini adalah untuk kerja-kerja menaiktaraf Pameran Orangutan Borneo di Zoo Negara. Majlis Penyerahan Cek Tajaan tersebut telah berlangsung pada semalam 17 Disember 2022 yang bertempat di Zoo Negara dengan kehadiran pengunjung dan pengamal media.
Menurut MPOGCF, penajaan itu adalah sebahagian daripada usaha berterusan untuk menyokong kewujudan bersama yang harmoni antara manusia dan orangutan. Mengikut konsep “Hidup Bersama Secara Harmoni” yang diperkenalkan pada awal Ogos lalu, spesis hidupan liar yang terancam dan lindungi merupakan sebahagian daripada penduduk negara seperti orangutan Borneo melalui kempen “The Other Malaysians”.
Dengan jumlah keseluruhan bernilai RM1.1 juta, tajaan MPOGCF bagi Pameran Orang Utan Borneo akan membolehkan Zoo Negara membuat penambahbaikan ketara pada kandang konsep terbuka mereka, termasuk kerja-kerja pemulihan dan penyelenggaraan bagi memastikan Orang Utan Borneo kini ditempatkan di Pusat Ape akan terus hidup dengan baik di bawah penjagaan dan pengawasan Zoo, kata Pengarah Besar MPOGCF Zamakhshari Muhammad.
Turut hadir dalam majlis tersebut adalah Dato’ Sr. Zaharin Md. Arif, Presiden Zoo Negara bersama En Rosly Rahmat Ahmat Lana, Timbalan Presiden Zoo Negara. Kedua-dua mereka bersama-sama merasmikan majlis penajaan dengan menerima mock cheque daripada En. Hairulazim Mahmud bersama En. Zamakhshari. Majlis seterusnya dilanjutkan dengan upacara simbolik menandatangi kerjasama antara dua pihak tersebut sebelum melawat Orang Utan Borneo untuk sesi memberi makan.
Majlis yang berlangsung itu juga turut dimeriahkan dengan kehadiran 100 orang murid sekolah yang datang mengambil bahagian dalam “Hidup Bersama Orang Utan” dengan antara aktivitinya adalah pertandingan mewarna bertemakan anjuran bersama #MPOGCFxZOONEGARA dan program khas dengan Jabatan Zoologi Zoo Negara.
Bermula 17 Disember, dua papan tanda memaparkan tajaan MPOGCF juga akan dapat dilihat pengunjung Zoo Negara, sebagai salah satu cara untuk memberikan mesej positif dan mempromosikan inisiatif pemuliharaan Orang Utan yang dijalankan oleh industri minyak sawit Malaysia.