Tanah runtuh adalah bencana alam yang mengancam nyawa. Tidak dinafikan bahawa bencana ini boleh berlaku bila-bila masa sahaja tanpa kita ketahui dan jangkakan.
Terdapat banyak punca terjadinya tanah runtuh dan antara yang biasa terjadi adalah akibat pembukaan hutan tidak terkawal, pembangunan di bahagian curam, gegaran gempa bumi dan sebagainya.
Oleh itu, kita dinasihatkan untuk sentiasa menjaga ekosistem alam sekitar supaya dapat menghindarkan bencana ini daripada boleh berlaku dengan lebih teruk.
Buat masa ini, negara sedang dikejutkan dengan kejadian tanah runtuh yang berlaku di sebuah kawasan tapak perkhemahan di Batang Kali, Hulu Selangor di Selangor.
Merujuk laporan media setakat pagi tadi, seramai 24 mangsa daripada 94 orang disahkan terkorban, manakala 61 berjaya diselamatkan dan sembilan lagi masih hilang.
Berbalik kepada isu, di sebalik kejadian tanah runtuh di Batang Kali, sebenarnya terdapat 10 kejadian tanah runtuh paling buruk pernah berlaku dalam catatan sejarah dunia.
Justeru, berikut merupakan senarai 10 kejadian tanah runtuh yang paling teruk berlaku di dunia sehingga meletakkan jumlah korban yang tertinggi sehingga ratusan ribu nyawa.
10 tragedi tanah runtuh paling teruk dalam sejarah, angka korban cecah lebih 100,000
Senarai 10 kejadian di bawah adalah dirujuk daripada portal World Atlas dan disusun mengikut kedudukan 10 hingga 1. Selamat membaca.
10. Diexi Slides, Sichuan, China, Ogos 1933 (3,000+ kematian)
Pada 5 Ogos 1933, satu kejadian gempa bumi mencetuskan tanah runtuh besar-besaran di Diexi, Mao County di wilayah Szechwan, China.
Peristiwa yang dikenali sebagai Slaid Diexi itu telah meragut lebih 3,000 nyawa dan memusnahkan banyak kampung dalam wilayah yang terjejas.
Difahamkan pekan lama Diexi mengalami nasib yang paling teruk kerana ia tertimbus ke dalam tanah runtuh tersebut.

9. Tanah Runtuh Khait, Tajikstan, Julai 1949 (4,000 kematian)
Selama berabad-abad, kawasan pergunungan yang merentasi Asia Tengah ini menyaksikan sejumlah bencana yang melibatkan tanah runtuh yang dicetuskan oleh gempa bumi.
Berlaku pada Julai 1949, gempa bumi di Khait, Tajikistan berukuran 7.4 magnitud telah mencetuskan ratusan tanah runtuh berhampiran sempadan banjaran Tien Shan di tengah Tajikistan.
Bagaimanapun, Lembah Yasman dan Khait yang berada di kedudukan bersebelahan adalah kawasan yang paling teruk terjejas akibat gempa bumi itu.
Hal ini kerana tanah tuntuh di Khait melibatkan gelongsoran batu yang bergerak pada anggaran kelajuan kira-kira 30 meter sesaat yang mengorbankan sekitar 4,000 orang dalam bencana tragis itu.

8. 62 Nevado Huascaran Debris Fall, Ranrahirca, Peru, Januari 1962 (4,500 kematian)
Umum mengetahui bahawa Gunung Huascarán merupakan gunung di Peru yang terkenal dengan puncak yang dilitupi salji dengan ketingggian 22.205 kaki.
Namun, pada Januari 1962, salji tersebut mencair hingga mencetuskan keadaan ‘terpecahnya’ sebahagian daripada puncak gunung itu.
Hal tersebut telah menyebabkan tanah runtuh yang membawa kepada kematian tragis kira-kira 4,500 orang.
Difahamkan, runtuhan yang dirujuk sebagai ‘Huayco’ itu melibatkan kepingan ais besar yang dianggarkan sekitar satu kilometer lebar dan 40 kaki tinggi.
Menurut laporan, ketika ketulan ais bergerak menuruni gunung, ia turut ‘membawa’ serpihan gunung itu turun yang telah menimbuskan beberapa kampung di Ranrahica yang terletak di kaki gunung.

7. Huaraz Debris Flows, Ancash, Peru, Disember 1941 (5,000 kematian)
Satu lagi kejadian tanah runtuh melibatkan ais dan salji, lebih memilukan pada Disember 1941 penduduk Huarez iaitu sebuah bandar di Peru, wilayah Ancash langsung tidak menyedari ‘lidah glasier’ yang bergerak dari atas.
Difahamkan ia telah menghasilkan batu besar dan turun menghakis ke bawah sehingga meragut ribuan nyawa di permukaan (daratan) disebabkan ais glasier yang ‘terhempas’ ke Tasik Palcacocha.
Ekoran daripada itu, satu ombak besar daripada sejumlah air yang sarat dengan lumpur, batu dan ais terhasil dengan impak luar biasa hingga memusnahkan empangan di tasik berkenaan.
Tidak ketinggalan juga satu lagi empangan di Tasik Jircacocha tidak jauh dari situ juga telah pecah oleh disebabkan oleh impak air glasier.
Disebabkan hentakan batu yang kuat, air di kedua-dua tasik tersebut telah ‘tertumpah’ melimpah sehingga ke bandar Huarez yang akhirnya meragut nyawa lebih kurang 5,000 mangsa.

6. Kelud Lahars, Jawa Timur, Indonesia, Mei 1919 (5,000+ kematian)
Seperti yang kita tahu, Gunung Kelud di Jawa Timur, Indonesia terkenal sebagai gunung berapi yang sangat aktif dan berbahaya.
Malah, gunung itu juga dikatakan kerap meletus iaitu sebanyak 30 kali yang telah membunuh beribu-ribu nyawa dalam bencana tersebut.
Difahamkan, letusan paling dahsyat berlaku adalah pada 19 Mei 1919 apabila lebih 38 juta meter padu air dimuntahkan dari tasik kawah gunung berapi yang mengumpulkan sediman dan bahan gunung berapi hingga membentuk ‘lahar maut’.
Akibatnya, lahar tersebut bergerak menuruni gunung dengan kadar kelajuan yang tinggi dan menghanyutkan serta menenggelamkan semua yang ada di sekitarnya.

5. Banjir Lumpur India Utara, Kedarnath, India, Jun 2013 (5,700 kematian)
Menurut World Atlas, salah satu bencana alam terburuk di India adalah yang berlaku pada Jun 2013 apabila banjir kilat telah mengorbankan kira-kira 5,700 orang di negeri Himalaya, Uttarakhand.
Hal ini disebabkan oleh hujan yang tidak berhenti dalam tempoh yang lama. Walaupun begitu sebahagian ahli alam sekitar, saintis dan orang awam berpendapat sebaliknya.
Dakwa mereka, ia berpunca akibat campur tangan manusia yang tidak bertimbang rasa dalam ekosistem gunung Himalaya hingga ia menjadi sangat ‘rapuh’ dan terdedah kepada bencana.
Tambahan pula, pelancongan yang tidak terkawal di rantau itu telah menyebabkan pertumbuhan pesat yang melibatkan hotel, jalan raya dan kedai di seluruh wlayah tanpa menghiraukan alam sekitar.
Tidak hanya itu, pembinaan empangan hidroelektrik di Uttarakhand juga merupakan salah satu faktor penting yang mengundang kepada bencana alam sekitar.
Sebelum ini, banjir kilat yang pernah berlaku di wilayah itu turut direkodkan tetapi kemusnahan pada tahun 2013 adalah rekod kerosakan yang paling teruk pernah tercatat.
Hal ini kerana banjir tersebut (2013) tidak mempunyai laluan air keluar kerana kawasan sekitar sudah tersumbat oleh pasir dan batu.
Oleh itu, air banjir tersebut yang sarat dengan serpihan empangan, batu dan lumpur telah terkumpul (bahasa lain; banjir termenung) hingga menenggelamkan bandar dan kampung di wilayah berkenaan.

4. 70 Nevado Huascaran Debris Fall, Yungay, Peru, Mei 1970 (22,000 kematian)
Pada bulan Mei 1970, gempa bumi telah mencetuskan satu siri besar tanah runtuh dan gelongsoran batu serta salji yang telah menimbus bandar Yungay dan Ranrahirca di Peru.
Difahamkan saliran runtuhan itu telah merempuh sejauh 16.5 kilometer dan membawa 50-100 meter juta meter padu air, lumpur dan batu yang menghala ke perkampungan Yungay.
Disebabkan itu, kampung tersebut tertimbus di bawah runtuhan berkenaan hingga mengakibatkan hampir 22,000 nyawa terkorban.

3. Tragedi Armero, Tolima, Colombia, November 1985 (23,000 kematian)
Gunung Nevado del Ruiz di Tolima, Colombia yang dikategorikan sebagai gunung berapi tidak aktif telah memberi kejutan terbesar apabila ia tiba-tiba ‘hidup’ pada 13 November 1985.
Hal tersebut telah menyebabkan malapetaka dahsyat menimpa perkampungan dan pekan berhampiran yang mengorbankan seramai 23,000 orang.
Difahamkan aliran piroklastik dari kawah gunung berapi telah mencairkan glasier di gunung dan memuntahkan lahar yang penuh dengan lumpur, ais, salji dan serpihan gunung berapi.
Malah, hasil muntahan tersebut bergerak dengan kelajuan luar biasa yang betul-betul menyasarkan kawasan perumahan yang berada di bawahnya.
Menurut World Atlas, lahar tersebut telah menyelubungi bandar Armero dan membunuh beribu-ribu orang di sana manakala mangsa korban juga dilaporkan ditemui di kawasan bandar Chinchiná.

2. Tragedi Vargas, Vargas, Venezuela, Disember 1999 (30,000 kematian)
Hujan lebat yang luar biasa di negeri Vargas, Venezuela pada musim sejuk 1999 telah mencetuskan beberapa siri banjir kilat yang besar.
Menurut laporan, kira-kira 30,000 nyawa iaitu dianggarkan 10 peratus daripada penduduk Vargas terkorban dalam bencana tersebut.
Difahamkan, seluruh bandar Carmer de Uria dan Cerro Grande lenyap sepenuhnya di bawah dasar lumpur dan sejumlah besar rumah dihanyutkan ke lautan berdekatan.

1. Aliran Haiyuan, Ningxia, China, Disember 1920 (100,000+ kematian)
Dipercayai kejadian tanah runtuh terburuk dalam sejarah, gempa bumi Haiyun berukuran 8.5 magnitud merupakan gempa bumi kedua terbesar paling dahsyat di dunia pada abad ke-20.
Disebabkan itu, 657 tanah runtuh dilaporkan berlaku sekali gus menyebabkan kemusnahan besar-besaran berlaku termasuk ratusan ribu nyawa terkorban dan harta benda.
Bencana alam yang melanda daerah Haiyun pada 16 Disember 1920 itu telah meragut lebih 100,000 nyawa dan menjejaskan seluas 20,000 kilometer persegi kawasan yang terlibat.
Malah, kawasan yang paling teruk termasuklah pusat gempa bumi di daerah Haiyun di kawasan yang kini dikenali sebagai Wilayah Autonomi Ningxia Hui, serta wilayah jiran Gansu dan Shaanxi.
Salah satu tanah runtuh tersebut menimbus seluruh kampung di daerah Xiji. Menurut World Atlas, daerah Haiyun telah mengalami kehilangan lebih daripada 50 peratus orang penduduk dalam bencana itu.

Sumber: World Atlas