Siakap Keli
agensi sertai sar tanah runtuh
Gambar via Twitter Bomba Selangor

Tanah Runtuh: Bomba Selangor Perjelas Hanya Lima Agensi Ini Dibenar Sertai SAR, Ada Sebabnya

Hanya lima agensi sahaja yang dibenarkan menyertai operasi kerja-kerja mencari dan menyelamat (SAR) mangsa tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, Gohtong Jaya, Batang Kali, Selangor.

Jabatan Bomba dan Penyelamat (JPBM) Selangor memaklumkan, pihaknya menggariskan tiga aspek utama yang diambil kira bagi membenarkan kelima-lima agensi berkenaan menjalankan operasi SAR tersebut.

Menurut satu kenyataan di laman Twitter Bomba Selangor, larangan terhadap orang awam atau mana-mana badan bukan kerajaan (NGO) untuk menyertai operasi SAR berkenaan adalah dibuat berdasarkan keadaan semasa di tapak bencana.

“Keadaan semasa di tapak bencana tanah runtuh Batang Kali yang berlumpur tebal dan becak dengan keadaan tanah tidak stabil menyebabkan tiada orang awam atau mana-mana NGO diberi kebenaran menyertai operasi SAR selain lima agensi utama.

“Agensi yang dibenar menyertai ialah JPBM, Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia, Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia,” maklum kenyataan tersebut pada Sabtu.

Difahamkan, lima agensi tersebut mempunyai tiga aspek utama yang diperlukan dalam operasi SAR kerana ia dipercayai perlu dilakukan secara rapi dan sistematik berdasarkan bidang tugas masing-masing.

“Tiga aspek utama yang diambil kira untuk anggota terlibat iaitu keselamatan, kemahiran dan kecergasan,” tambah kenyataan itu lagi.

Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menasihatkan beberapa menteri untuk tidak menganggu operasi SAR yang dijalankan kerana mahu memberi ruang jabatan kerajaan menjalankan tugas.

Untuk rekod setakat petang semalam, seramai 24 mangsa daripada keseluruhan 94 orang disahkan terkorban, manakala 61 berjaya diselamatkan dan sembilan lagi masih hilang.

Difahamkan operasi SAR buat hari ketiga hari ini masih diteruskan bagi mencari sembilan lagi mangsa yang masih hilang terbabit.

Sumber: Bomba Selangor

BACA: Tanah Runtuh: Jenazah Nurul Azmani, Mangsa Pertama Tragedi Selamat Dikebumi

Nurhanis

Mungkin tidak lagi menjadi penulis, tetapi jejakku masih di sini

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.