Hujan lebat yang turun sejak beberapa hari menyebabkan beberapa bandar dan wilayah di selatan Thailand seperti Hatyai di Songkhla, Nakhon Si Thammarat dan Narathiwat dilanda banjir besar.
Memetik laporan media tempatan, difahamkan bendera merah amaran telah dikibarkan di pantai Chalatat di Songkhla bagi menasihatkan orang ramai supaya tidak pergi ke laut berikutan ombak setinggi empat meter, ditambah lagi angin kencang yang melanda.
Malah, pegawai pengairan daerah Narathiwat dan Mueng Nakhon Si Thammarat telah menasihatkan penduduk tempatan yang tinggal di Sungai Kolok dan Pak Nakhon supaya bersiap sedia untuk memindahkan barang berharga ke kawasan yang lebih tinggi.
Lebih teruk lagi, kawasan rendah di daerah Bo Ngo di Narathiwat kini telah dinaiki air sehingga kereta dan motosikal tidak dapat diakses ke beberapa kampung di situ.
Sementara itu penduduk yang tinggal di kaki banjaran pergunungan Khao Luang turut dinasihatkan untuk bersiap sedia menghadapi banjir kilat dan kejadian lumpur yang ‘turun’ dari puncak pergunungan.
Manakala di wilayah Surat Thani, pentadbiran wilayah telah mengarahkan penangguhan semua perkhidmatan bot semalam (Ahad) dan hari ini, dari pulau tanah besar ke pulau Samui, Tao Dan Pha-ngan yang popular dalam kalangan pelancong ekoran daripada ombak tinggi dan laut bergelora.
Memetik Bangkok Post, jalan lama antara daerah Muang dan Hat Yai juga terpaksa ditutup pada pagi semalam. Banyak bahagian jalan raya, termasuk di Ban KHuan dan Ban Bangkhan dinaiki air sehingga tidak dapat diakses kenderaan.
Orang ramai yang melakukan perjalananan antara kedua-dua daerah ini dinasihatkan supaya mengelak menggunakan jalan lama dan mengambil laluan alernatif lebuh raya baharu iaitu Jalan Lopburi Rametr.

Sementara itu di Malaysia, ramai warganet menyedari kejadian banjir di selatan Thailand dan sehubungan itu mereka menyampaikan informasi agar orang awam cakna tentangnya, khususnya yang sedang melancong di sana.
Menerusi satu ciapan oleh pengguna Twitter @chairman_GLC , Hatyai sudah diberikan ‘amaran merah’ iaitu amaran yang paling berbahaya bagi bencana alam yang menimpa negara.
“Berita buruk.. kami terpaksa tinggalkan Hatyai. Amaran merah dikeluarkan. Banjir besar datang. Lebih baik balik sebelum kami terperangkap di sini,” kongsinya di laman Twitter semalam.
Malah menurutnya, mereka hampir tidak menemui jalan keluar dari Hatyai kerana banyak jambatan yang ditutup. Bagaimanapun, mereka terpaksa meredah banjir unutk mengakses jambatan lain yang berdekatan.
“Hampir tidak sempat keluar dari Hatyai tadi. Banyak jambatan ditutup untuk laluan kereta. Saya terpaksa meredah banjir untuk mengakses jambatan lain yang berdekatan.
“Alhamdulilah, saya memandu Alza. Saya membayangkan bahawa Hatyai tidak akan dapat diakses tidak lama lagi. Alangkah seramnya saat ini,” tambahnya.
Bad news.. we have to leave Hatyai. Red alert issued. Big flood coming. Better leave before we are stuck here.
— Abah (@chairman_GLC) December 18, 2022
Hatyai banjir teruk weyhh. Nayaaaa pic.twitter.com/nJoFdfxCda
— BOTAX. (@NaimPieya) December 18, 2022
Sumber: Thai PBS World