Keletihan & Alami “Minor Stroke”, Pengarah JBPM Selangor Dimasukkan Ke Hospital
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Selangor (JBPM) memaklumkan bahawa Pengarah JBPM Negeri Selangor, Datuk Norazam Khamis telah dimasukkan ke Hospital Selayang hari ini.
Menerusi kenyataan media yang dikongsi di Twitter, Norazam dimasukkan ke hospital akibat keletihan dan minor stroke.
Difahamkan, kejadian itu berlaku kira-kira jam 6 petang hari ini.
“Keadaan Datuk terkawal dan masih sedar diri,” jelas JBPM Selangor menerusi kenyataan media hari ini.
Pihaknya turut meminta supaya orang ramai mendoakan supaya kesihatan beliau akan kembali pulih seperti sedia kala.
Dalam pada itu, JBPM Negeri Selangor menjelaskan bahawa operasi mencari mangsa tanah runtuh akan tetap dijalankan.
Terdahulu, lebih 80 peratus kawasan runtuhan tanah di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, Gohtong Jaya telah diperiksa anggota penyelamat setakat ini bagi mencari baki sembilan lagi mangsa yang masih hilang, lapor Bernama.
Tragedi tanah runtuh yang berlaku pada 2.42 pagi Jumaat lepas di tapak perkhemahan itu setakat ini menyaksikan 61 orang mangsa selamat, 24 nyawa terkorban dan 9 lagi mangsa masih hilang daripada keseluruhan 94 orang.
Sumber: JBPM Negeri Selangor