Maklumat Tular Penutupan Bekalan Elektrik Di Seluruh Terengganu Adalah Palsu – TNB
Tenaga Nasional Berhad (TNB) telah menafikan maklumat tular mengenai penutupan bekalan elektrik di seluruh Terengganu akibat pencawang elektrik yang ditenggelami air.
Menurut Pengurus Besar TNB Terengganu, pihaknya tidak merancang untuk menutup atau memotong elektrik secara besar-besaran.
“Pemotongan elektrik dibuat ketika ini hanya membabitkan kawasan banjir bagi menjaga keselamatan penduduk di kawasan terlibat,” jelasnya dalam sebuah kenyataan, hari ini.
Dalam pada itu, pihaknya turut menjelaskan bahawa setakat jam 4 petang hari ini, terdapat penutupan bekalan elektrik di Terengganu yang berlaku disebabkan hujan lebat dan banjir.
“Beberapa kawasan di lima daerah di Terengganu belum mendapat bekalan elektrik ekoran penutupan 95 pencawang elektrik di Kuala Berang, Besut (70), Kemaman (49), Bandar Al-Muktafi Billah Shah (15) dan Setiu (7).
“Usaha-usaha sedang giat dijalankan bagi memastikan bekalan elektrik di kawasan terlibat dapat disalurkan secara berperingkat, bergantung kepada akses dan keadaan setempat.” tambahnya.
Sehubungan itu, pihak TNB menasihati orang ramai supaya mendapatkan sumber yang sahih dan terkini melalui Facebook TNB Careline.
Sumber: Sinar Harian