Siakap Keli
messi
Kredit: Lionel Messi | Facebook

Messi: “Saya Tidak Percaya…”

Bintang Argentina,  Lionel Messi menyatakan rasa gembiranya yang tidak terhingga tentang pencapaian mereka menjulang semula trofi Piala Dunia pada tahun ini.

Messi dalam satu kenyataan berkata, peluang bergelar juara Piala Dunia adalah sesuatu yang sudah lama diimpikannya, sehinggakan dirinya bagai sukar untuk percaya apabila berjaya merangkulnya jua.

“Juara dunia! Berkali-kali saya mengimpikannya, saya sangat menginginkannya sehingga saya tidak jatuh, saya tidak percaya…” luahnya dalam satu kenyataan di laman Facebook rasminya awal pagi tadi.

Dalam kesempatan itu juga, Messi yang juga pemenang anugerah “Golden Ball Award” telah menzahirkan rasa syukur dan berterima kasih kepada semua penyokong yang telah memberi kepercayaan dan sokongan kepada mereka.

“Terima kasih banyak kepada keluarga saya, kepada semua yang menyokong saya dan juga kepada semua yang mempercayai kami.

“Kami membuktikan sekali lagi kepada rakyat Argentina bahawa apabila kita berjuang bersama-sama dan bersatu, kita mampu mencapai apa yang kita sasarkan.

“Merit adalah kumpulan ini yang melebihi individu itu sendiri merupakan kekuatan untuk semua berjuang demi impian yang sama.

“Rakyat Argentina, kami berjaya! Ayuh Argentina! Kami akan berjumpa anda tidak lama lagi..” tambah Messi dalam kenyataan itu.

messi
Kredit: Lionel Messi | Facebook

Imbas kembali perlawanan malam tadi, Argentina meledakkan gawang gol lawan seawal minit ke-22 menerusi hasil sepakan penalti daripada Messi.

Kemudian, jaringan semakin dijarakkan menerusi gol kedua hasil ledakan Angel Di Maria beberapa minit sebelum separuh masa pertama tamat.

Walaupun Argentina dilihat menguasai hampir keseluruhan perlawanan sehingga separuh masa kedua, namun kedua-dua jaringan tersebut tidak mematahkan semangat pemain Perancis untuk membuat ‘come back’.

Ternyata usaha mereka akhirnya membuahkan hasil apabila penyerang muda, Kylian Mbappe menjaringkan gol pertama buat Perancis menerusi sepakan penalti pada minit ke-80.

Keadaan kembali tegang apabila Mbappe sekali lagi meledak gol kedua hanya dalam tempoh seminit selepas itu, menjadikan keputusan terikat 2-2 hingga ke wisel penamat.

messi
Kredit: Lionel Messi | Facebook

Keputusan seri 2-2 itu mengheret perlawanan sehingga ke masa tambahan dan tidak dinafikan, kedua-dua pasukan memberikan tentangan yang hebat dalam sepanjang 30 minit yang penuh mendebarkan.

Messi sekali lagi membuat kejutan penuh dramatik apabila beliau meledak gol ketiganya pada minit ke-108, disusuli laungan gemuruh penyokong Argentina di seluruh stadium yang membayangkan mereka bakal bergelar juara.

Bagaimanapun Argentina kembali ‘tersentak’ apabila Mbappe memecah suasana dengan meledak gol ketiga Perancis melalui sepakan penalti pada minit ke-118.

Akhirnya keputusan kekal terikat 3-3 dan perlawanan terpaksa dibawa ke set penentuan sepakan penalti kedua-dua pasukan bagi menentukan siapa juara.

Namun, sepakan penalti tidak memihak kepada Perancis apabila percubaan kedua dan ketiga tidak dapat dijaringkan dengan sempurna. Hasilnya, Argentina menang dengan keputusan 4-2 mengalahkan Perancis.

Kemenangan penuh dramatik itu sekali gus mengesahkan Argentina kembali bergelar juara Piala Dunia pada kali ini setelah kali terakhir menjulang trofi berkenaan pada 1986 lalu ketika era legenda Diego Maradona.

Untuk rekod, Argentina secara rasminya sudah mencatatkan gelaran juara Piala Dunia sebanyak tiga kali setakat ini, selepas edisi 1978 dan 1986.

https://www.facebook.com/leomessi/posts/pfbid02PG9dnJJEFZ13wj5Yf23zxLmBFVfSELqrXrAVYVvngKE8D5ixwbndEaX5nvbvRH6Nl

Sumber: Leo Messi | Facebook

Florence Nuar

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.