Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) telah mengeluarkan amaran kepada orang ramai supaya menghentikan penularan video tiga beradik yang maut dipercayai terkena renjatan elektrik yang berlaku di Tumpat, Kelantan hari ini.
Menerusi kenyataan media yang dikongsikan di Twitter, SKMM meminta supaya orang ramai menghormati mangsa dan privasi keluarga mangsa serta memberi ruang kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan lanjut terhadap insiden yang berlaku.
Dalam pada itu, pihak Suruhanjaya juga telah mengambil langkah proaktif bagi mengangkat perkara ini untuk perhatian dan tindakan selanjutnya daripada penyedia platform seperti Meta, Twitter dan TikTok dalam usaha mengekang penularan video terbabit.
“Orang awam digalakkan untuk sentiasa mengawal selia kendiri dan peka tentang kandungan yang mereka terima atau dikongsi secara dalam talian.
“Sama ada melalui aplikasi WhatsApp atau pun rakaman video di media sosial,” jelas SKMM menerusi sebuah kenyataan.
Sehubungan itu, pihak SKMM menyarankan pengguna media sosial supaya membuat laporan secara terus terhadap kandungan yang sensitif dan tidak sesuai untuk tatapan umum kepada penyedia platform.
Sumber: MCMC via Twitter