Berus Eskalator Bukan Pembersih Kasut, Ini Sebab Eskalator Mempunyai Berus
Eskalator atau tangga bergerak adalah salah satu teknologi yang penting dalam kehidupan harian kita. Kemudahan ini banyak terdapat di bangunan bertingkat, terutamanya di pusat beli-belah dalam membantu pergerakan orang ramai.
Namun di sebalik kemudahan teknologi ini, ramai yang tidak mengetahui bahawa eskalator ini juga mampu mengundang bahaya yang boleh membawa maut jika tidak digunakan dengan betul. Jadi disinilah hadirnya satu fakta menarik mengenai berus yang terdapat pada sisi tangga eskalator yang mampu menghindar penumpangnya daripada bahaya.
Berus ini, mungkin biasa kita lihat tetapi tidak tahu apa fungsinya kan? Paling tidak, mesti ada yang pernah membersihkan kasut masing-masing dengan menenyeh pada berus ini.
Jom kami kongsikan fakta sebenar tentang berus eskalator yang ramai masih tak tahu apa sebenarnya ia dipasang pada posisi tersebut.
Sesetengah eskalator mempunyai sempadan kuning sebagai petunjuk untuk tidak terlalu dekat dengan bahagian tepi tetapi semua eskalator biasanya mempunyai berus ini.
Berus eskalator ini sebenarnya adalah salah satu ciri keselamatan yang dipasang pada kemudahan tersebut. Ia bertindak sebagai penahan di antara ruang tepi yang memisahkannya dengan tangga pemijak tersebut daripada dimasuki benda asing seperti tali kasut dan juga kain penumpang.
Dibahagian bawah tersebut, tepatnya lagi pada bahagian bawah tangga pemijak terletaknya semua sistem mekanikal dan gear yang menggerakkan kemudahan berkenaan. Apabila ada benda tersekat dalam celahan tersebut seperti beg, jaket dan barangkali jari kaki, ia boleh mengganggu sistem motor dan menyebabkan eskalator berhenti berfungsi dengan betul.
Perlu diketahui, sistem yang menggerakan eskaltor cukup kuat untuk mendatangkan kecederaan yang parah kepada manusia sekiranya tersepit di ruangan tersebut.
Jadi, berus eskalator kini telah dijadikan sebagai standard keselamatan yang bertindak sebagai penghalang kepada sesuatu daripada memasuki ruangan tersebut atau mengganggu fungsinya.
Sumber: Reader’s Digest