Siakap Keli
Kredit: Pixabay

Kajian Dapati Bumi Berisiko Hadapi Kepupusan Besar-Besaran Menjelang Tahun 2100 

Kajian Dapati Bumi Berisiko Hadapi Kepupusan Besar-Besaran Menjelang Tahun 2100 

Bumi didakwa bakal menghadapi kepupusan secara besar-besaran menjelang tahun 2100 yang memperlihatkan lebih daripada satu per empat daripada biodiversiti dunia akan terhapus.

Memetik laporan Daily Mail, para saintis dari Australia dan Eropah telah membangunkan model ‘Bumi maya’ bagi membuat perancangan yang lebih baik mengenai kepupusan global yang disebabkan oleh perubahan iklim.

Hasil daripada kajian tersebut, ia telah menunjukkan kehilangan sebanyak 10 peratus daripada semua spesies tumbuhan dan haiwan menjelang 2050, malah dijangka meningkat kepada 27 peratus menjelang akhir abad ini.

Bagaimanapun, para saintis telah mengaitkan beberapa aktiviti manusia seperti pengeksploitasian sumber secara berlebihan, perubahan penggunaan tanah, penuaian secara berlebihan, pencemaran, perubahan iklim dan pencerobohan biologi.

Difahamkan, kajian itu diketuai oleh saintis Suruhanjaya Eropah, Giovanni Strona dan Profesor Corey Bradshaw dari Universiti Flinders, Adelaide, Australia.

Menurut pihaknya, dunia telah ‘memasuki’ fasa peristiwa kepupusan besar-besaran yang keenam yang didorong oleh aktiviti manusia dan perubahan iklim.

“Kanak-kanak yang dilahirkan kini boleh menyaksikan kehilangan beribu-ribu spesies tumbuhan dan haiwan bermula seperti orkid, serangga kecil, gajah dan koala,” kata Profesor Bradshaw.

Dalam pada itu, IUCN Red List turut mengatakan bahawa lebih 42,100 spesies telah diancam kepupusan.

Selain itu, dengan menggunakan superkomputer, para saintis telah mencipta lebih daripada 15,000 ‘jaringan makanan’ bagi meramal nasib spesies yang saling berkaitan.

Pendekatan terdahulu yang dilakukan untuk menilai laluan kepupusan sepanjang abad di masa hadapan dianggap kurang bersesuaian kerana ia tidak menggabungkan kepupusan bersama.

Kepupusan bersama merujuk kepada spesies yang pupus disebabkan spesies lain yang turut bergantung kepada perubahan iklim atau perubahan habitat mereka.

“Cuba fikirkan tentang spesies pemangsa yang kehilangan mangsa akibat perubahan iklim.

“Kehilangan spesies mangsa adalah kepupusan utama kerana ia akan mati secara terus, namun tanpa sebarang makanan, pemangsa juga akan pupus,” tambah Profesor Bradshaw.

Bukan itu sahaja, para saintis telah menguji beberapa Laluan Sosioekonomi Berkongsi (SSP) yang dilakukan oleh Panel Antara Kerajaan mengenai Perubahan Iklim (IPCC) yang menunjukkan cara perubahan dunia.

Pun begitu, penyelidik mendapati kerugian biodiversiti global berada pada enam peratus menjelang tahun 2050, malah ia bakal meningkat kepada 13 peratus menjelang 2100.

Bagaimanapun, beberapa negara telah bersetuju untuk melindungi alam semula jadi serta menjadikan planet ini sebagai zon yang bakal dilindungi menjelang 2030.

Sumber: Daily Mail

Farah Nabilah

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.