Siakap Keli

Pengumuman Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Krismas 2022

PUTRAJAYA, 20 Disember 2022 – Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) telah mula dilaksanakan di Negara kita sejak tahun 2000 sebagai sebahagian dari usaha prihatin kerajaan menstabilkan harga barangan keperluan sesuatu perayaan ketika permintaan dijangka meningkat untuk membolehkan rakyat Malaysia semua peringkat dan berbilang kaum, agama dan budaya merayakan Hari Perayaan tersebut dalam keadaan ceria dan harmoni.

2. Menjelang sambutan Krismas pada 25 Disember ini, SHMMP Krismas 2022 akan dilaksanakan berkuatkuasa dari 23 Disember hingga 27 Disember 2022. Tempoh pelaksanaan adalah selama 5 hari iaitu 2 hari sebelum perayaan, 1 hari semasa perayaan dan 2 hari selepas perayaan. Pada masa yang sama, ayam dan telur ayam sedang dikawal harganya di bawah pelaksanaan penentuan harga ayam dan telur ayam.

3. Sebanyak 11 jenis barangan akan diwartakan bagi pelaksanaan SHMMP Krismas 2022. Senarai barangan bagi Skim ini adalah seperti berikut:

(i) Ayam Tua Hidup (Dikawal di Sarawak)
(ii) Kepak Ayam (Dikawal di Sarawak, Sabah dan WP Labuan)
(iii) Daging Kambing Biri-Biri Import Bertulang
(iv) Tomato
(v) Lada Benggala Hijau
(vi) Kubis Bulat Import (China dan Indonesia)
(vii) Lobak Merah
(viii) Ubi Kentang Import (China)
(ix) Babi Hidup (Dikawal peringkat ladang)*
(x) Daging Babi (Perut)*
(xi) Daging Babi (Daging dan Lemak)*

*Dikawal di Sarawak, Sabah dan WP Labuan

4. Tempoh pelaksanaan SHMMP Krismas 2022 kali ini adalah bersesuaian mengikut keadaan semasa, iaitu mewujudkan suasana menang-menang kepada pengguna dan peniaga. Pengguna dapat menikmati harga yang berpatutan dan peniaga pula tidak tertekan dengan tempoh masa pelaksanaan yang terlalu lama.

5. Penentuan harga ini dibuat dengan mengambil kira pandangan dari pemain industri, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS) serta agensi di bawahnya dan data-data harga barangan yang dikutip oleh Bahagian Harga Barang Negara (BHBN), KPDN.

6. SHMMP Krismas 2022 akan dikuatkuasakan melalui Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 dan membolehkan penentuan harga dibuat di semua peringkat. Harga maksimum yang telah ditetapkan untuk SHMMP Krismas 2022 di peringkat pengeluar, pemborong dan peruncit adalah seperti di Lampiran 1. Semakan harga boleh dibuat melalui website Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup di https://www.kpdnhep.gov.my

7. Pegawai-Pegawai Penguat Kuasa KPDN telah ditugaskan di lokasilokasi strategik seperti di pasar awam, pasar tani dan pusat membeli-belah barangan keperluan perayaan. Strategi ini membolehkan penguatkuasaan dilaksanakan dengan lebih berkesan di mana tindakan segera dapat diambil terhadap aduan pengguna dan tindakan penguatkuasaan ke atas peniaga sekiranya berlaku ketidakpatuhan.

8. Pada masa yang sama, penguatkuasaan secara berhemah dilaksanakan dengan memberi pendidikan, nasihat dan amaran supaya para peniaga mematuhi undang-undang yang berkuat kuasa dan mengamalkan peniagaan yang beretika.

9. Kerajaan berharap semua pihak dapat mematuhi harga-harga yang telah ditetapkan ini dan mengunakan label merah jambu bagi barangan tersebut. Adalah diingatkan bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap peniaga yang gagal mematuhi peraturan-peraturan di bawah skim ini. Mana-mana peniaga yang melakukan kesalahan akan diambil tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 dan boleh dikenakan penalti seperti berikut:

(i) Kesalahan menjual barangan harga terkawal melebihi harga maksimum:

(a) Individu; boleh didenda oleh mahkamah sehingga RM100,000 atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya atau dikompaun sehingga RM50,000; dan

(b) Syarikat; boleh didenda sehingga RM500,000 atau dikompaun sehingga RM250,000;

(ii) kesalahan gagal meletakkan tanda harga berwarna merah jambu bagi barangan harga terkawal:

(a) individu; boleh didenda oleh mahkamah sehingga RM10,000 atau dikompaun sehingga RM5,000; dan

(b) syarikat; boleh didenda sehingga RM20,000 atau dikompaun sehingga RM10,000.

10. Jika didapati ada peniaga yang tidak mematuhi undang-undang berkenaan dengan skim ini, pengguna boleh menyalurkan aduan kepada Kementerian melalui:

(i) Whatsapp ke 019- 279 4317 / 019-848 8000
(ii) Portal Aduan: e-aduan.kpdnhep.gov.my
(iii) Pusat Panggilan 1800 886 800
(iv) E-mel [email protected]
(v) Aplikasi telefon pintar Ez ADU
(vi) Pusat Arahan Penguat Kuasa (ECC) 03-8882 6245 / 6088

YB DATUK SERI SALAHUDDIN BIN AYUB
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN)
PUTRAJAYA, 20 DISEMBER 2022

Amira

Love yourself.

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.