Ribuan Penyokong Argentina Turun Ke Jalan, Sambut Meriah Kepulangan Messi & Pasukan
Pasukan Argentina telah disambut dengan meriah oleh ribuan peminat di Lapangan Terbang Antarabangsa Ezeiza sebaik sahaja mereka mendarat di bandar Buenos Aires.
Memetik laporan Daily Mail, pasukan kebangsaan yang telah meraih juara Piala Dunia buat kali ketiga itu telah selamat mendarat di Argentina kira-kira jam 2.20 pagi waktu tempatan pada pagi Selasa.
Messi dilihat keluar daripada pesawat bersama jurulatih Argentina, Lionel Scaloni dan menjulang trofi Piala Dunia ke udara.

Mereka berdua turut dilihat melambai tangan kepada peminat yang sedang menyambut kepulangan mereka di lapangan terbang berkenaan.
Mereka seterusnya menaiki sebuah bas sebelum dibawa ke ibu pejabat Persatuan Bola Sepak Argentina.

Walaupun penerbangan mengambil masa selama 21 jam, pasukan itu masih lagi mempamerkan wajah gembira sambil melambai kepada peminat dari atas bas, malah situasi itu turut dimeriahkan dengan laungan ‘Juara Dunia’.
Menurut seorang peminat Argentina yang juga merupakan guru tadika, dia telah tiba lebih awal sambil menunggu ketibaan Messi di lapangan terbang.
“Saya datang kerana minat saya terhadap Argentina. Saya suka Messi, malah saya juga suka seluruh pasukan,” jelasnya.
Ruang udara di sekitar lapangan terbang itu telah dimeriahkan lagi dengan percikan bunga api serta nyanyian daripada sebuah kumpulan muzik.

Secara keseluruhannya, terdapat dua pesawat yang digunakan bagi rombongan pasukan Argentina yang melibatkan para pemain, jurulatih, kakitangan serta ahli keluarga pemain.
Dalam masa yang sama, situasi itu turut berlaku di ibu kota Argentina apabila peminat sudah mula membanjiri jalan di sekitar Buenos Aires bagi menunggu kepulangan juara Piala Dunia itu.
Operasi keselamatan secara besar-besaran telah dirancang apabila jutaan peminat dijangka akan berada di sekitar jalan Buenos Aires.
Walaupun penerbangan pasukan itu lewat daripada yang dijangkakan, kebanyakan peminat tetap berkumpul di luar ibu pejabat Persatuan Bola Sepak Argentina.

Beberapa peminat dilihat memakai jersi pasukan kebangsaan itu, khususnya jersi No.10 milik Messi yang dipakai olehnya ketika dalam perlawanan.
Bendera Argentina turut dikibarkan sepanjang jalan, malah replika trofi Piala Dunia ditayangkan secara umum di kawasan tersebut.
Negara Argentina juga telah mengumumkan hari Selasa sebagai cuti umum bagi menyambut kemenangan itu.
Terdahulu, Argentina memenangi perlawanan akhir Piala Dunia Qatar 2022 itu menerusi set penentuan sepakan penalti dan menewaskan pasukan Perancis.
Sumber: Daily Mail, AFP