Disyaki Dibunuh, Wanita Ditemui Maut Dalam Rumah
TULUNGAGUNG – Seorang wanita dilaporkan maut selepas ditemui terbaring di dalam rumah di Tulungagung, Jawa Timur pada pagi Isnin lalu.
Memetik laporan Detik News, mayat mangsa telah ditemui oleh bapanya sendiri.
Menurut pihak polis, bapa mangsa yang tinggal bersebelahan rumah mangsa telah tiba di hadapan rumah pada pagi Isnin kerana mahu mengejutkan mangsa.
Namun, apabila memasuki rumah tersebut, dia telah dikejutkan dengan penemuan mayat mangsa.
Kemudian, penemuan itu telah dilaporkan kepada pegawai daerah dan pihak polis.
Menurut Ketua Unit Siasatan Jenayah Polis Tulungagung, AKP Agung Kurnia Putra, mangsa yang berumur 24 tahun itu merupakan penduduk Dusun Krajan, Desa Junjung, Sumbergempol, Tulungagung.
“Buat masa ini kita masih menjalankan siasatan berhubung punca kematian mangsa, sama ada disyaki dibunuh ataupun tidak, kita masih menunggu keputusan bedah siasat.
“Selepas keputusan bedah siasat diperolehi, baru kita boleh simpulkan ia berlaku disebabkan oleh penderaan atau mati mengejut,” jelas pihaknya.
Walaupun punca kematian masih belum diketahui, namun polis mengesyaki mangsa dibunuh berdasarkan perkataan yang tertulis pada beg kertas bukti yang dijumpai.
Daripada hasil pengecaman mayat di tempat kejadian, mangsa ditemui berada dalam keadaan terlentang di atas tilam, malah polis turut menemui kesan luka di bahagian tangan.
“Ada luka dan kesan darah yang ditemui, namun kita belum dapat pastikan sama ada ia penyebab kematian atau tidak,” jelas pihak polis.
Daripada siasatan yang dijalankan, polis mendapati bahawa tiada satu barang berharga mangsa yang dilaporkan hilang.
Pun begitu, terdapat beberapa perkara pelik yang berlaku di rumah mangsa seperti penemuan jubin dan tingkap yang dilihat sudah terbuka.
Ekoran kejadian, polis menemui beberapa jubin bumbung yang terbuka dan mengesyaki bahawa penjenayah telah memasuki rumah mangsa dengan membuka bumbung rumah.
“Kemungkinan penjenayah masuk dalam keadaan tergesa-gesa, kalau dia sempat melarikan diri kita pasti tidak tahu kerana banyak pintu yang terbuka,” tambah pihak polis.
Mangsa telah dipindahkan ke Hospital Dr Iskak Tulungagung untuk proses bedah siasat.
Sumber: Detik News