Penduduk Tumpat Diminta Berjaga-Jaga, Ban Banjir Dilapor Pecah
KELANTAN – Ban banjir yang dilapor pecah di Kuala Teluk, Kampung Lachang pada petang Selasa dijangka akan membanjiri kawasan Tumpat pada bila-bila masa.
Memetik laporan Sinar Harian, penduduk di sepanjang Sungai Golok telah diminta supaya sentiasa bersiap sedia untuk berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS).
Menurut Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran Kelantan, Kamal Mustapha, penduduk di kawasan Tumpat terutama di Kampung Bendang Pak Yong , Simpangan, Naga Ibu serta kawasan sekitar diingatkan agar sentiasa bersiap sedia dengan sebarang kemungkinan bermula sekarang.
“Pada peringkat awal, pihak kami bercadang untuk memecahkan ban banjir itu pada jam 10 pagi Rabu untuk mengawal keadaan banjir di Rantau Panjang, namun ia terpaksa ditunda.
“Hal ini kerana ban tersebut telah pecah dengan sendirinya sekitar jam 5.30 petang tadi,” jelasnya.
Menurut pihaknya, ban yang pecah itu melibatkan kawasan sepanjang 50 meter, malah telah melimpah lebih daripada 5 kilometer.
Beliau turut menambah bahawa air dari Rantau Panjang akan melimpah keluar secara sendiri dan keadaan ini akan memberi kesan terhadap penduduk yang berada di sepanjang Sungai Golok.
Terdahulu, beberapa video telah tular yang menunjukkan keadaan ban banjir yang sudah pecah.
Ia mencetuskan perasaan panik dalam kalangan penduduk yang tinggal di kawasan rendah.
Antara kawasan yang dijangka akan turut terjejas di kawasan Pasir Mas ialah Kampung Jejawi, Siram, Bukit Lata, Gelang Mas, Bakong serta beberapa lokasi lain.
Sumber: Sinar Harian