Video Wanita Larang Anak Makan Kek Ketika Sambut “Birthday” Cetus Perdebatan
Kek biasanya menjadi sajian utama ketika menyambut hari lahir sama ada golongan kanak-kanak atau dewasa walaupun kandungan gula dalam pencuci mulut tersebut tinggi.
Namun, terdapat segelintir ibu bapa terlalu cerewet mengenai hal pemakanan anak-anak sehingga ada yang langsung tidak membenarkan mereka mengambil makanan atau minuman yang mengandungi gula.
Pada awal bulan ini, seorang ibu memuat naik satu video di media sosial yang mengatakan dia dan suaminya melarang anak lelaki mereka daripada makan kek hari lahir di sekolah, lapor SCMP.
Dalam video tersebut, dia menjelaskan bahawa dia tidak mahu anaknya yang berusia 11 tahun itu mengambil makanan ringan atau manis semasa menyambut perayaan di sekolah.
Malah, guru-gurunya juga turut dimaklumkan supaya memberikan buah-buahan kepada anaknya.
Video tersebut telah mendapat pelbagai reaksi dalam kalangan ibu bapa dan ada sesetengah yang menyokong dengan pendirian pasangan tersebut.
Sebaliknya, ada juga yang mengatakan sekiranya kanak-kanak dapat memakan kek, boleh menyebabkan gangguan pemakanan di kemudian hari.
“Melarang anak anda daripada makan sepotong kek pada majlis sambutan haru lahir boleh menimbulkan masalah dan anak anda akan mengalami gangguan pemakanan,” komen seorang pengguna.
Memetik SCMP, berita mengenai larangan memakan kek ini bukanlah kali pertama.

Pada 2018, chef selebriti, Tonia Buxton mendedahkan dalam rancangan televisyen British bahawa dia telah melarang anak-anaknya daripada mengambil gula dan mendakwa gula mempunyai kesan yang sama seperti dadah.
Pada September lalu, selebriti Amerika Syarikat, Kourtney Kardashian mengatakan bahawa dia tidak membenarkan anak-anaknya memgambil makanan segera demi menjaga pemakanan mereka.
Walau bagaimanapun, sesetengah pakar mengatakan melarang kanak-kanak boleh menyebabkan mereka menjadi takut terhadap makanan.
Cecilia Cheng, ibu kepada tiga orang anak di Hong Kong berkata bahawa ibu bapa mempunyai hak untuk mempunyai peraturan sedemikian.
Kenyataan tersebut turut disokong oleh Sarah Williams, seorang ibu dari Britain dengan mengatakan gaya keibubapaan tidak seharusnya dinilai.
Mereka berdua bersetuju bahawa menghadkan pengambilan gula yang diambil oleh anak-anak mereka sangat penting.
“Terdapat banyak maklumat di luar sana yang menunjukkan kesan negatif pengambilan gula pada minda dan badan kanak-kanak, jadi saya fikir ia masuk akal untuk menghadkan pengambilan gula,” kata Williams.

Dalam pada itu, pengasas dan pakar pemakanan utama di Nutrilicious, Michelle Lau, berkata makan makanan yang bergula dari semasa ke semasa tidak mungkin menyebabkan masalah besar dalam jangka pendek, dan ia adalah penting untuk menggalakkan tabiat pemakanan yang sihat bermula sejak dari kecil lagi.
Menurut Lau, pengambilan gula yang tinggi meningkatkan risiko obesiti dan penyakit kronik seperti diabetes, penyakit jantung dan kanser pada masa akan datang.
“Ia juga boleh menyebabkan pertambahan berat badan dan meningkatkan risiko kanak-kanak mengalami kaviti,” kata Lau.
“Apabila kanak-kanak kenyang dengan makanan bergula, ruang makanan berkhasiat yang diperlukan dalam tubuh mereka yang sedang membesar akan menjadi sedikit,” kata Lau lagi.
Sebagai alternatif, Lau menyarankan ibu bapa untuk menggantikan dengan buah-buahan sebagai pemanis.
“Tambahkan pisang ke dalam oat atau campurkan kurma menjadi smoothie,” katanya.
Stevia dan buah monk fruit mempunyai kandungan gula yang lebih rendah dan tidak menjejaskan paras gula dalam darah dengan ketara,” jelas Lau.
Justeru itu, Lau menasihati ibu bapa supaya memberitahu anak-anak mereka bahawa ada makanan yang perlu diambil setiap hari dan ada juga yang perlu diambil sekali-sekala.
Hal ini bertujuan untuk mengelakkan daripada menghindarkan mereka mempunyai perasaan takut terhadap makanan.
Ibu bapa juga perlu memberi tumpuan yang penting terhadap tabiat pemakanan anak-anak mereka secara keseluruhannya.
Sumber: SCMP