Siapa sahaja yang tidak mengenali pelakon veteran Kamarool Yusoff atau panggilan mesra Cik Man, ada sahaja ragam dan gelagat yang ditunjukkannya tanpa sedar membuatkan ramai tidak kering gusi.
Baru-baru ini, pelakon berusia 64 tahun itu menghadiri konvokesyen anak perempuannya, Nur Najihah Kamarozaman yang menamatkan pengajian di peringkat sarjana muda di Universiti Sains Malaysia.
Menerusi perkongsian @najieeeyhah di laman Instagram, dia berkongsi gambar bersama ayahnya yang ditangkap dalam sebuah studio dengan kapsyen ‘Sambung pre convo dekat studio’.
Cik Man yang memakai baju batik berwarna merah membuat gaya yang terkenal dengan meletakkan tangan berdekatan dengan bibir sambil sebelah tangan disimpan, diletakkan dalam kocek seluar.

Gambar tersebut mencuri perhatian warga maya kerana pelakon itu membuat gaya ‘trademark’ watak Cik Man dalam filem Rock Oo! hingga membuatkan ramai terhibur.
Rata-rata peminat filem itu memberi komentar berkenaan dengan pose yang ditunjukkan oleh Cik Man dan berkata gelagatnya serba sedikit mencuit hati kecil mereka.
Ada juga yang turut mengusik watak Cik Man dalam filem tersebut.
“Ayah style tak boleh move on,” kata pengguna media sosial sambil meninggalkan emoji ketawa dan menangis.
“Walau Cik Man dah kencing Rimba Bara tapi Cik Man berjaya didik anak Cik Man,” ujar salah seorang pemberi komen lagi berseloroh.
Difahamkan, Cik Man menghadiri konvokesyen anak perempuannya bersama isteri dan anak lelakinya di USM baru-baru ini.


Sementara itu, Najihah dalam hantarannya yang lain meluahkan rasa syukur kerana telah berjaya merangkul dua sijil tertinggi dalam masa empat tahun pengajiannya.
Difahamkan Najihah berkelulusan ijazah sarjana muda dalam bidang Sains Kemasyarakatan, dalam masa sama berjaya menamatkan latihan Kor Sukarelawan Siswa Siswi (SUKSIS).
Sumber: @najieeeyhah/Instagram