Siakap Keli
proses ruu menjadi undang-undang
Gambar hiasan | kredit: Sinar Harian

Bagaimana RUU Menjadi Undang-Undang? Bukan Mudah Ya, Ini Proses Yang Perlu Anda Tahu

Bagaimanakah proses rang undang-undang (RUU) menjadi sebuah undang-undang rasmi yang diwartakan dan diguna pakai dalam pentadbiran negara?

Tidak dinafikan kita masih ‘baharu’ di bawah pentadbiran Kerajaan Perpaduan yang dibentuk hasil gabungan dua parti utama iaitu Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN), disusuli Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Warisan.

Dengan pembentukan kerajaan baharu ini diharapkan pentadbiran negara kita akan bergerak dengan lebih lancar selain menjadikan Malaysia setanding dengan negara lain. Memang itu impian setiap rakyat Malaysia, bukan?

Namun jangan kerana terlalu minat akan sesuatu ‘pihak’ dalam politik, kita bertindak sehingga melebihi batas. Tidak salah berpolitik tetapi seeloknya biarlah kita dalami dahulu pengetahuan asas-asas pemerintahan, kenegaraan dan undang-undang.

Menyentuh mengenai undang-undang, mungkin ada antara kita yang terfikir; bagaimana sesuatu undang-undang itu diluluskan dan diwartakan untuk diguna pakai secara rasmi? Apa pula bezanya dengan istilah rang undang-undang?

Jadi, adakah anda tahu dan terdedah dengan bagaimana proses sesuatu undang-undang dibentuk? Ada yang sudah tahu, namun mungkin ada yang masih kabur dengan perjalanan rang undang-undang tersebut.

Justeru, perkongsian ini bertujuan untuk mendekatkan diri anda dengan dunia undang-undang; bagaimana sesuatu undang-undang itu dicipta sebelum diwartakan dan diguna pakai oleh sesebuah pentadbiran kerajaan.

undang-undang
Gambar hiasan | kredit: Sinar Harian

Menurut portal Parlimen Malaysia, terdapat dua peringkat yang dilalui sebelum undang-undang itu diwartawakan iaitu Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

Peringkat Dewan Rakyat

Di peringkat Dewan Rakyat, sesuatu rang undang-undang (sebelum menjadi undang-undang) akan dibentuk dan dibacakan kali pertama dengan bacaan tajuk panjang.

Selepas itu, rang undang-undang atau singkatannya RUU akan melalui proses kedua di mana ia akan dibacakan kali kedua yang membahaskan prinsip-prinsip am RUU tersebut.

Seterusnya, RUU akan melalui undian majoriti mudah (dengan suara atau belah bahagi) atau bagi pindaan perlembagaan yang memerlukan persetujuan 2/3 majoriti dewan.

Kemudian pada peringkat jawatankuasa, RUU akan dibahaskan dengan lebih spesifik mengenai semua fasal yang terkandung termasuklah jadual  dan pendahuluan.

Dalam peringkat ini, RUU akan diadakan dan beberapa pindaan akan dibincangkan dengan lebih teliti.

Sehinggalah pada proses terakhir dalam Dewan Rakyat, ia akan dibacakan kali ketiga dan undian akan dibuka kali kedua.

Jadi jika ia lulus di peringkat Dewan Rakyat, maka RUU tersebut akan dibawa ke peringkat seterusnya iaitu Dewan Negara.

undang-undang
Sumber: portal rasmi Parlimen Malaysia

Peringkat Dewan Negara

Seterusnya, RUU akan memasuki peringkat Dewan Negara di mana ia akan melalui proses bacaan kali pertama dengan tajuk yang panjang.

Seterusnya pada peringkat kedua, RUU akan dibacakan sekali lagi buat kali kedua termasuklah prinsip-prinsip am RUU tersebut yang akan dibahaskan.

Ketika peringkat ini, ‘nasibnya’ akan ditentukan berdasarkan undian melalui majoriti mudah (dengan suara atau belah bahagi) atau pindaan perlembagaan yang memerlukan 2/3 majoriti mudah.

Kemudian pada peringkat jawatankuasa, perbahasan yang diadakan adalah bersifat lebih spesifik yang membawa kepada perbincangan semua fasal, jadual dan pendahuluan.

Dalam peringkat ini juga, RUU akan diadakan dengan tambahan pindaan-pindaan juga turut dibincangkan.

Seterusnya, RUU akan melalui proses bacaan kali ketiga di mana ia akan melalui undian kali kedua serta tajuk panjang akan dibacakan dan diluluskan oleh Dewan Negara.

Jika anda perasan, RUU akan melalui proses yang sama sehingga ke tahap ini, cuma tempat perbahasan itu yang menjadi kelainan, iaitu pertama dibahaskan di Dewan Rakyat dan proses yang sama tetapi dibahaskan di Dewan Negara.

Berbalik kepada proses di Dewan Negara, perjalanan RUU tidak terhenti di situ. Hal ini kerana jika sudah diluluskan di Dewan Negara, maka ‘kemuncaknya’ adalah ia perlu mendapat perkenan Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong (YDPA).

Jadi sekiranya ia diperkenan oleh YDPA, maka RUU itu akan terus diwartakan dan dicetak. Maka secara rasminya, akan terbentuklah sebuah undang-undang yang akan digunakan dalam pentabiran negara.

undang-undang
Kredit: Portal Rasmi Parlimen Malaysia

 

 

Sumber: Portal Rasmi Parlimen Malaysia

Florence Nuar

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.