Polis Itali Hantar Buah Pinggang Guna Kereta Lamborghini
Polis Itali menggunakan kereta supercar Lamborghini untuk menghantar dua buah pinggang kepada pesakit yang tinggal sejauh ratusan kilometer pada hari Selasa lalu.
“Penghantaran hadiah Hari Natal yang paling bermakna iaitu ‘peluang untuk hidup’, kata mereka dalam satu kenyataan yang dimuat naik dalam media sosial, bersama gambar peti khas untuk menyimpan organ tersebut di hadapan kereta.
Mereka turut mengucapkan terima kasih kepada pasukan polis negeri kerana dua orang individu telah menerima buah pinggang yang didermakan, lapor Hindustan Times.
Organ berkenaan dihantar dari Padua di timur laut Itali ke hospital di Modena dan kemudian ke Rom.

Lamborghini Huracan mampu mencecah kelajuan sehingga 300 kilometer sejam (km/j) dan kapasiti daripada 0 km/j kepada 100 km/j dalam tempoh 3.2 saat itu adalah hadiah daripada pembuat kereta mewah itu untuk pasukan polis Itali pada tahun 2017.
Memetik Hindustan Times, kenderaan supercar ini ditugaskan untuk rondaan lebuh raya di Bologna serta digunakan dalam kedua-dua operasi biasa dan juga pengangkutan segera darah dan organ.
Terdapat satu lagi Huracan dikendalikan oleh peronda lebuh raya di Rom, manakala Lamborghini Gallardo 2009 yang pernah digunakan oleh polis kini berada di muzium.
Sumber: Hindustan Times