Kejohanan Piala Dunia Qatar 2022 baharu sahaja melabuhkan tirainya pada minggu lepas, namun tidak dapat dinafikan bahawa kemeriahannya masih lagi terasa hingga hari ini.
Misalnya, platform media sosial masih lagi sarat dengan perkembangan yang berkisar tentang pemain, kejuaraan Argentina atau aspek permainan sepanjang Piala Dunia 2022 berlangsung.
Umun ketahui bahawa Piala Dunia kali ini dianjurkan di Qatar, tetapi tahukah anda bahawa kejohanan edisi kali ini telah menjadi yang termahal dalam sejarah pertandingan bola sepak anjuran FIFA?
Menurut laporan, Qatar telah membelanjakan lebih 16 kali ganda jumlah kos asal yang dilaburkan oleh negara tuan rumah sebelumnya, Russia pada edisi 2018 lalu.
Imbas kembali pada Disember 2010, bekas presiden FIFA, Sepp Blatter telah mengumumkan bahawa Qatar akan menjadi tuan rumah bagi Piala Dunia 2022 sehingga mencetuskan perayaan ‘liar’ di jalan-jalan di Doha.
Justeru, dalam 12 tahun berikutnya, Qatar melancarkan projek infrastruktur terbesar dalam sejarah Piala Dunia untuk memastikan stadium, rangkaian pengangkutan, lapangan terbang dan kemudahan penginapan siap pada masa ditetapkan.
Hal ini kerana jumlah penonton yang berkunjung ke Qatar dianggarkan lebih kurang satu juta orang, semuanya demi Piala Dunia yang kita sedia maklum hanya akan berlangsung empat tahun sekali.

Perbelanjaan Qatar sebagai tuan rumah
Menurut Sporting News, Qatar dipercayai telah membelanjakan kira-kira RM1.04 trilion ($229 billion) untuk infrastruktur Piala Dunia, walaupun negara tersebut dipercayai tidak ‘membuka mulut’ mendedahkan angka sebenar.
Hal ini kerana menteri kewangan negara itu mengaku telah membelanjakan RM2.2 bilion ($500 juta) seminggu selama bertahun-tahun untuk pembangunan infrastruktur, tetapi jumlah tertinggi yang disahkan ialah RM880 bilion ($200 bilion).
Bagaimanapun, percubaan untuk menyenaraikam anggaran tepat jumlah kos Piala Dunia menjadi sukar dengan pelbagai kenyataan yang dibuat mengenai kos infrastruktur seperti stadium, hotel dan rangkaian pengangkutan sepanjang 12 tahun yang lalu.
Memetik laporan Tass, daripada jumlah tersebut sebanyak RM28.5 juta ($6.5 bilion) dianggarkan dibelanjakan untuk persiapan lapan buah stadium yang bakal digunakan untuk perlawanan itu.
Sebelum ini, ketika ditanya Institut Dasar Rumah Chatham di London pada 2016, Setiausaha Agung Jawatankuasa, Hassan Al Thawadi mencadangkan kos stadium dalam anggaran RM35- RM43 bilion ($8 bilion-$10 bilion).

Untuk apa Qatar belanja banyak?
Jika dilihat jumlah yang dibelanjakan oleh negara itu, ia bukanlah satu kadar yang sedikit untuk sesebuah negara penganjur, namun jika dianalisis perbelanjaannya kita akan tahu di mana duit tersebut dilabur.
Misalnya sistem penyejukan yang digunakan di stadium bagi memastikan pemain dan penyokong sentiasa berada dalam keadaan yang selesa (tidak panas dan tidak sejuk).
Tidak dinafikan pendekatan itu telah meningkatkan kos pembinaan secara mendadak ekoran daripada penggunaan teknologi yang berkuasa tinggi tersebut.
Selain itu, rumput yang digunakan di padang Piala Dunia ditanam di tapak semaian khas menggunakan benih rumput import dan perlu dikekalkan dalam suhu sejuk.
Malah, rumput itu juga perlu disiram untuk menjamin kesuburannya agar sentiasa dalam keadaan baik ekoran padang bola sepak di sana berada pada iklim yang panas ketika itu.
Bukan itu sahaja, sejumlah perbelanjaan juga digunakan untuk membina penginapan termasuk pulau persendirian, vila, pangsapuri dan hotel selain dibelanjakan untuk membangunkan lapan stadium di Qatar.
Menurut laporan, sekitar $15 bilion telah dibelanjakan untuk tempat penginapan yang dikenali sebagai The Pearl manakala $36 bilion dibelanjakan untuk Metro Doha.
Tidak hanya itu, di sekitar Stadium Lusail Citu ditubuhkan juga 22 buah hotel dan perumahan yang cukup untuk 200,000 orang penghuni yang dilengkapi dengan taman tema, dua marina dan dua padang golf.
Kos pembinaan stadium Piala Dunia
Kos pembinaan ini sudah pasti jumlah yang anda tunggu-tunggu berikutan stadium yang digunakan dilengkapi dengan infrastuktur yang berteknologi tinggi.
Menurut Sky News UK, ini merupakan jumlah kos yang ditangung oleh Qatar untuk kelapan-lapan stadium yang digunakan.
Stadium | Location | Estimated Cost |
Al Bayt | Al Khor | RM3.7 bilion |
Lusail | Lusail City | RM3.3 bilion |
Education City | Al Rayyan | RM3.1 bilion |
Al Janoub | Al Wakrah | RM2.6 bilion |
Ahmad Bin Ali | Al Rayyan | RM1.6 bilion |
Al Thumama | Doha | RM1.5 bilion |
Khalifa International | Doha | RM1.2 bilion |
Stadium 974 | Doha | Tidak dinyatakan |

Jadi, adakah Qatar, Piala Dunia termahal dalam sejarah?
Menurut laporan Front Office Sports, Afrika Selatan membelanjakan RM16 bilion pada Piala Dunia 2010, iaitu jumlah yang kurang berbanding tuan rumah sebelumnya iaitu Jerman (RM19 bilion pada 2006) dan Jepun-Korea Selatan (RM30 bilion pada 2002).
Tidak ketinggalan juga stadium dan infrastruktur lain pada Piala Dunia 2014 di Brazil membelanjakan RM66 bilion, manakala RM51 billion dibelanjakan untuk Piala Dunia 2018 di Rusia.
Jadi sekarang, sudah terang lagi bersuluh tiada satu negara pun yang membelanjakan sejumlah kos yang mendekati anggaran kos Piala Dunia 2022 di Qatar setinggi RM1.04 trilion, sekali gus mencatatkannya sebagai kos tuan rumah Piala Dunia termahal dalam sejarah.
Namun, mengapa Piala Dunia Qatar 2022 menjadi kontroversi?
Di sebalik kejayaan Qatar menganjurkan Piala Dunia dengan kos dan infrastruktur yang bernilai tinggi, namun tidak dinafikan negara tersebut turut dibayangi oleh beberapa kontroversi yang tercetus.
Seperti yang dilapor dalam The Sporting News, Qatar memerlukan tenaga kerja warga asing bagi membina infrastruktur Piala Dunia, justeru ratusan ribu pekerja buruh dari India, Nepal dan Bangladesh dibawa masuk.
Namun begitu, pekerja tersebut didakwa perlu membayar wang pendahuluan sehingga RM17,000 ($4,000) untuk mendapatkan kontrak bekerja di Qatar.
Semasa projek infrastuktur Piala Dunia berjalan selama 12 tahun itu, pekerja mendakwa mereka dibayar gaji rendah iaitu di bawah RM4.40 ($1) sejam bagi setiap syif 12 jam, termasuklah semasa musim panas apabila suhu di Qatar mencecah 43°C.
Bagaimanapun kritikan global telah mendorong Qatar untuk memperkenalkan perubahan kepada dasar tenaga buruhnya dalam pembinaan kejohanan itu termasuk gaji minimum yang diselaraskan sebanyak RM1,217 ($275) sebulan.
Rentetan daripada perubahan kos yang dibuat, ramai yang menunggu sehingga kejohanan tersebut tamat untuk menilai kos keseluruhan, termasuklah implikasi kewangan dan sebagainya.
Sumber: The Sporting News