Tular Khabar Angin Dakwa Ronaldo Setuju Pindah Ke Kelab Arab Saudi, Al-Nassr
Khabar angin yang bertiup kencang kini mendakwa Ronaldo dilapor sudahpun menyatakan persetujuan untuk mengikat kontrak dengan kelab Arab Saudi, Al-Nassr. Kelab berkenaan juga dilaporkan yakin bahawa semua urusan termasuk dokumentasi akan dilengkapkan menjelang hujung tahun ini.
Memetik laporan Goal, pemenang lima kali Ballon d’Or itu akan menandatangani kontrak selama dua tahun, namun akhbar Sepanyol, Marca pula menyatakan kontrak yang diikat mungkin berlanjutan selama tujuh tahun sehingga 2030. Ronaldo akan memikul jawatan sebagai Duta Kelab selepas kontrak dua tahunnya tamat pada 2024.
Selepas memegang jawatan sebagai duta kelab, Ronaldo kemudian juga akan diberikan tanggungjawab untuk melobi hak penganjuran Piala Dunia 2030 bagi pihak Arab Saudi.
Jika benar, kontrak berkenaan juga menyatakan Ronaldo akan menikmati bayaran sebanyak 200 juta Euro (RM 939.73 juta) dan kenaikkan gahi setiap tahun.
Ronaldo sebelum ini berulang kali menolak khabar angin bahawa dia bakal berpindah ke Liga Arab Saudi sambil menegaskan bahawa dirinya masih berupaya untuk beraksi di pentas tertinggi saingan bola sepak Eropah, termasuk di saingan Liga Juara-juara.
Al-Nassr sendiri sebelum ini juga tidak memberikan sebarang komen berhubung perkembangan rundingan kontrak dengan bintang bola sepak dunia itu.
Sumber: Goal, Stadium Astro