Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri pada hari ini turun padang untuk melawat mangsa banjir di Kemaman.
Perkara itu dapat disahkan menerusi perkongsian siaran langsung dari Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Binjai Kemaman di akaun Facebook rasminya pada Jumaat, 12.15 tengah hari tadi.
Dalam satu kenyataan di Facebook, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri memaklumkan bahawa beliau telah melawat mangsa-mangsa banjir di pusat pemindahan berkenaan pada pagi tadi.
Susulan daripada lawatan tersebut, beliau mengumumkan bahawa Kerajaan Negeri Terengganu akan menyalurkan bantuan khas tunai sebanyak RM1,000 kepada setiap Ketua Isi Rumah (KIR) yang berdaftar banjir di Negeri Terengganu untuk meringankan bebanan yang dihadapi oleh mereka.
Selain itu, bantuan sebanyak RM10,000 pula akan diberikan kepada ahli keluarga mangsa yang meninggal dunia disebabkan banjir pada kali ini sebagai rasa simpati dengan apa yang telah terjadi.
Bantuan-bantuan yang lain seperti membaiki kerosakan rumah, membina rumah rosak dan lain-lain kerosakan infrastruktur juga turut akan dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri setelah mendapat maklumat penuh selepas penilaian.
Sumber: Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar