Saintis Berjaya Rakam Cara Tumbuhan Bernafas
Ahli biologi dari Universiti California di San Diego berjaya merakamkan satu video jarak dekat memaparkan tumbuhan sedang bernafas semasa melakukan penyelidikan yang dibiayai oleh Yayasan Sains Kebangsaan Amerika Syarikat (AS) , lapor New York Post.
Semasa merakam tumbuhan tersebut, ahli biologi telah menemui cara bagaimana tumbuhan menggunakan stomanya.
Stoma merupakan satu liang di epidermis daun yang membenarkan pernafasan karbon dioksida mereka.
Menurut jurucakap Yayasan Sains Kebangsaan, Jared Dashoff, mengetahui bagaimana tumbuhan menggunakan stoma mereka untuk membuka dan menutup sebagai tindak balas kepada perubahan paras karbon dioksida membolehkan para saintis menghasilkan tanaman yang cukup kebal untuk perubahan pada persekitaran, lapor New York Post.
“Para penyelidik berharap bahawa dengan memanfaatkan mekanisme ini boleh membawa kepada kecekapan penggunaan air tumbuhan dan pengambilan karbon kerana kepekatan karbon dioksida di atmosfrera terus meningkat,” katanya kepada SWNS.
“Apabila stoma terbuka, bahagian dalam tumbuhan terdedah kepada unsur-unsur dan air dari tumbuhan hilang ke udara, yang boleh mengeringkannya,” jelas Jared lagi.

Jared menambah bahawa tumbuhan mesti mengimbangi pengambilan karbon dioksida dengan mengawal tempoh masa stoma kekal terbuka.
Sementara itu, Julian Schroeder, ketua penyelidik menjelaskan tindak balas terhadap perubahan adalah penting untuk pertumbuhan tumbuhan serta mengawal sejauh mana tumbuhan tersebut boleh menggunakan air untuk melihat peningkatan kemarau dan peningkatan suhu.
Apabila iklim berubah, kedua-dua kepekatan karbon dioksida di atmosfera dan suhu yang meningkat menjejaskan keseimbangan antara kemasukan dioksida dan kehilangan wap air melalui stoma.
Sekiranya tumbuhan seperti gandum, beras dan jagung tidak dapat mencapai keseimbangan yang baharu, mereka berisiko menjadi kering.
Para petani pula berisiko untuk menanggung kerugian dan lebih ramai orang di seluruh dunia akan mengalami krisis kelaparan.
“Para saintis telah lama meneliti stoma dan keseimbangan antara pengambilan karbon dioksida dan kekurangan air,” kata Jared.
“Tetapi apa yang mereka tidak tahu sehingga kini adalah bagaimana tumbuhan merasakan karbon dioksida untuk memberi isyarat kepada stoma supaya memberi tindak balas kepada perubahan paras karbon dioksida,” katanya lagi.

Jared berkata bahawa perkara ini kini akan membolehkan penyelidik meneliti supaya tumbuhan dapat mencapai keseimbangan yang betul antara mengambil karbon dioksida berbanding kehilangan air.
Selain itu juga, Jared menambah bahawa para penyelidik sangat teruja dengan penemuan ini sehinggakan mereka kini telah memfailkan paten dan meneliti cara untuk menterjemahkan penemuan mereka kepada penternak dan petani tanaman.
Pengarah program Yayasan Sains Kebangsaan, Richard Cyr berkata penemuan tersebut bakal membuat perubahan besar.
Menurut Richard, menentukan cara tumbuhan mengawal stoma mereka di bawah paras C02 yang berubah-ubah mewujudkan jenis pembukaan yang berbeza, satu kepada saluran penyelidikan dan kemungkinan baharu untuk menangani cabaran masyarakat.
Sumber: New York Post