“Hackers” Dari Korea Utara Didakwa Godam & Curi Wang Kripto Lebih RM 5.1 Bilion
Penggodam Korea Utara didakwa menjadi dalang dalam aktiviti penggodaman dan mencuri mata wang kripto sekitar 1.5 trilion won (RM5.18 bilion) serta beberapa aset maya lain sejak lima tahun lalu.
Menurut Agensi Perkhidmatan Perisikan Korea Selatan (NIS) lebih separuh kerugian tersebut dicatatkan pada tahun ini.
NIS berkata keupayaan Korea Utara untuk mencuri aset digital dianggap antara yang terbaik di dunia kerana tumpuan negara itu terhadap jenayah siber sejak sekatan ekonomi oleh PBB diperketatkan pada 2017.
Agensi perisikan itu juga menambah, penggodam Korea Utara yang ditaja oleh kerajaan dianggarkan telah mencuri 1.5 trilion won aset maya di seluruh dunia sejak 2017, termasuk sekitar 800 bilion won (RM2.8 bilion) pada tahun ini sahaja.
Manakala lebih daripada 100 bilion won (RM350 juta) daripada jumlah tersebut datang dari Korea Selatan.
NPR melaporkan, pakar-pakar mendakwa Korea Utara kini beralih kepada aktiviti menggodam mata wang kripto dan ekonomi maya lain bagi mendapatkan sumber kewangan yang sangat diperlukan untuk menstabilkan ekonominya yang rapuh.
Selain itu, tindakan itu juga didakwa sebagai usaha mengumpul dana untuk membiayai pembangunan program nuklearnya. Korea Utara terdesak untuk mencari sumber pendapatan negara selepas dikenakan pelbagai sekatan ekonomi daripada pelbagai pihak, termasuk PBB selain faktor pandemik Covid-19.
Sekatan PBB yang dilaksanakan pada 2016 hingga 2017 melarang eksport utama Korea Selatan seperti arang batu, tekstil, makanan lalu serta menyebabkan negara anggota menghantar pulang pekerja Korea Utara yang bekerja di luar negara.
Ekonomi negara tersebut mengalami kemerosotan selepas ia mengenakan beberapa sekatan paling ketat sewaktu pandemik COVID-19.

Memetik NPR lagi, penggodam Korea Utara dijangka akan melakukan lebih banyak serangan siber pada tahun depan untuk mencuri teknologi Korea Selatan dan maklumat sulit mengenai dasar luar Korea Selatan serta keselamatan negara.
Pada awal bulan ini, diplomat kanan dari Amerika Syarikat, Korea Selatan dan Jepun bersetuju untuk meningkatkan usaha membendung aktiviti siber haram di Korea Utara.
Pada bulan Februari lepas, panel pakar PBB berkata bahawa Korea Utara terus mencuri ratusan juta dolar daripada institusi kewangan dan firma pertukaran serta mata wang kripto.
Beberapa pakar mendakwa Korea Utara menjalankan ujian peluru berpandu sebagai percubaan untuk memodenkan senjatanya dan meningkatkan pengaruhnya dalam rundingan masa depan dengan pesaingnya untuk memenangi sekatan dan konsesi lain.
Sumber: NPR