Siakap Keli
Gambar: Pixabay

Resah Biasa Atau Anxiety? Ketahui 10 Tanda Fizikal Anda Sedang Hidapi Penyakit Kebimbangan

Resah Biasa Atau Anxiety, Jom Ketahui 10 Tanda-Tanda Fizikal Anda Hidapi Penyakit Kebimbangan

Anxiety atau rasa bimbang bukanlah satu keadaan yang boleh dipandang remeh. Penyakit ini apabila menyerang, boleh menyebabkan individu antaranya merasa sukar untuk bernafas dan kaku serta tidak berdaya untuk melakukan apa-apa sehinggalah ditenangkan oleh orang lain. Apabila kerap menyerang, ia juga akan menjejaskan aktiviti seharian penghidapnya.

Jika tidak diubati, masalah ini boleh mengurangkan kualiti hidup kerana kerap tertekan sepanjang masa memikirkan bila diri akan diserang anxiety.

Kali ini, kami ingin berkongsi lebih lanjut tentang simptom-simptom fizikal masalah kegelisahan yang dibuat oleh Hello Doktor.

Jom baca perkongsian tersebut dibawah.

10 tanda-tanda penyakit kebimbangan

Jantung selalu berdebar

Kredit: Anlene (Body & Mind)

Menurut National Institute of Mental Health (NIMH), jantung yang berdebar lebih laju daripada biasa merupakan salah satu tanda kebimbangan. Kajian menunjukkan, individu yang sedang mengalami tekanan perasaan akan menghasilkan hormon adrenalin. Hormon ini akan menyebabkan jantung mengepam dengan lebih pantas.

Sesak nafas

Kredit: Alo Dokter

Penghidap anxiety akan mengalami hiperventilasi kesan daripada degupan jantung yang terlalu pantas. Hiperventilasi akan menyebabkan pernafasan menjadi laju dan mungkin akan membuatkan pesakit sesak nafas.

Apabila kita bernafas, kita akan menyedut oksigen dan menghembus karbon dioksida. Namun, jika kita bernafas terlalu laju tahap karbon dioksida dalam darah akan berkurang untuk memastikan badan mendapat lebih banyak oksigen. Di Sebabkan itu pesakit anxiety akan nampak ‘kepenatan’ umpama baru selesai berlari.

BACA: Kecoh Kereta Tiba-tiba Berhenti Tengah Jalan Utama, DBKL Dedah Pemandu Rupanya Alami Anxiety

Seterusnya, latihan pernafasan amat penting untuk mereka yang menghidap masalah anxiety  kerana dengan pernafasan yang betul pesakit boleh bernafas dengan perlahan dan menggunakan diafragma untuk lebih relaks dan bertenang.

Rasa penat sepanjang masa

Rasa penat sepanjang masa juga boleh menjadi petanda anxiety. Rasa bimbang dan gelisah sepanjang masa boleh menyebabkan badan kita sentiasa berada dalam keadaan ‘berjaga-jaga’.

Kebimbangan yang dialami juga boleh menyebabkan pesakit sukar untuk tidur dan membuatkan keletihan yang berlaku menjadi bertambah serius.

Sukar tidur malam

Kredit: aiskrimpotong.com

Seterusnya, sukar tidur atau sering terjaga tengah malam dan tidak boleh tidur semula, ini mungkin berlaku disebabkan penyakit anxiety. Tahap hormon stres dalam badan yang terlalu tinggi membuatkan pesakit sukar untuk relaks dan tidur lena.

Masalah ini akan menjadi semakin teruk jika pesakit mengambil kafein pada keesokan harinya untuk kekal berjaga. Malah, simptom anxiety juga akan menjadi lebih teruk disebabkan kopi.

Otot rasa kejang dan sakit

Otot manusia akan mengeras dan menjadi kejang sebagai respons semula jadi terhadap stres. Malah, mereka yang sering tertekan juga cenderung ‘mengeraskan’ otot mereka tanpa sedar dalam satu tempoh masa yang panjang. Oleh sebab itu, penghidap anxiety selalunya akan rasa sakit pada kawasan bahu, belakang badan dan juga leher.

Malah, ada juga yang akan mengetap gigi tanpa sedar dan menyebabkan kesakitan di sekitar rahang. Lama-kelamaan, pesakit boleh menghidap migrain atau sakit kepala disebabkan terlampau stres.

Perut tidak berasa selesa

Perut kembung, cirit-birit dan kerap sendawa juga merupakan tanda anxiety. Walaupun nampak biasa, semua simptom ini boleh mengganggu kehidupan pesakit jika ia tidak dirawat secepat mungkin.

Berasa loya

Tidak dinafikan, masalah kegelisahan boleh memberikan kesan buruk pada sistem penghadaman seseorang. Menurut sebuah kajian yang dimuatkan di dalam jurnal General Hospital Psychiatry, individu yang mengalami anxiety mempunyai kebarangkalian yang lebih tinggi untuk muntah atau rasa loya selepas makan.

Sering berpeluh

Kredit: vitamin

Disebabkan rasa gemuruh dan gelisah yang berpanjangan, pesakit akan kerap berpeluh lebih-lebih lagi di kawasan tapak tangan atau ketiak. Simptom ini juga akan membuatkan penghidap anxiety rasa runsing dan rendah keyakinan diri. Jika makin memburuk keadaan pesakit mungkin akan alami masalah bau badan yang teruk.

Terlebih makan atau kurang selera makan

Kredit: Alo Dokter

Masalah kebimbangan juga boleh membuatkan anda terlebih makan atau kurang selera makan. Ada yang tidak lalu makan disebabkan rasa stres yang berpanjangan. Namun, ada juga yang akan ‘craving’ makanan yang manis dan berlemak disebabkan stres.

Jari atau tangan menggigil

Kredit: Orami.com

Ini merupakan antara tanda-tanda penyakit anxiety disorder. Kadangkala, tangan atau jari akan mula menggigil tanpa sebab. Menurut NIMH, ini merupakan salah satu kesan sampingan peningkatan hormon stres dalam badan. Keadaan ini berbahaya, lebih-lebih lagi jika ia berlaku ketika anda sedang memandu.

Jika anda mempunyai penyakit kebimbangan atau anxiety segera berjumpa doktor untuk rawatan susulan. Dengan bantuan pakar, anda dapat belajar cara yang terbaik untuk mengatasi masalah kebimbangan.

Sumber: Hello Doktor

Shafikah

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.