Pengalaman memeriksa kipas siling membuatkan abang ini terkedu, apabila besi penahan didapati hampir putus.
Pernahkah anda rasa bunyi kipas siling anda menjengkelkan? Sudahlah menganggu pada waktu siang seperti menghalang penghayatan dialog watak kegemaran di televisyen.
Kipas yang berbunyi ini jugalah antara punca mata anda sukar untuk terlelap pada waktu malam. Bukan itu sahaja, kipas siling ‘annoying‘ kadang-kadang rasa macam nak roboh pun ada juga. Lagi dengan pergerakan terhuyung-hayangnya, ish risaulah.

Jika kipas anda mula menunjukkan tanda sedemikian, anda diminta untuk berhati-hati kerana berkemungkinan kipas anda ‘menunggu masanya’ untuk ‘mendarat’ ke bumi.
Perkara ini berdasarkan perkongsian seorang pengguna Facebook, Mat Rusdi Yusof menerusi kumpulan Tukang Apa Hari Ini. Rusdi berkongsi pengalamannya membuka kipas siling yang berusia kira 20 tahun.
Asalnya, niat hanya suka-suka memandangkan kipas tersebut juga asyik menghasilkan bunyi yang pelik-pelik, tidak seperti sebelumnya. Dia berniat untuk mengambil kompenen-kompenen tertentu, mana-mana yang boleh digunakan pada kemudian hari.
Ketika Rusdi ingin mengeluarkan skru penahan pada kipas siling tersebut, alangkah terkejutnya apabila skru penahan tersebut kelihatan seakan-akan mahu terputus.


Menurutnya, terdapat kemungkinan besar bahawa lekukan besar pada skru penahan ini disebabkan oleh geseran yang berterusan apabila bahagian bawah kipas siling ini lebih bergoyang.
Selain itu, Rusdi turut tidak menolak kemungkinan bahawa bising yang dihasilkan oleh kipas tersebut disebabkan rod dan bilah menjadi tidak seimbang apabila terdapat galur seperti ini.
Secara umumnya, kipas siling akan dilengkapkan dengan tali keselamatan yang akan menghalang kipas tersebut dari terhempas ke lantai secara langsung.
Namun, tali keselamatan ini tidak menjamin keselamatan anda kerana ia panjang dan kipas tersebut masih berpeluang untuk menghempap kepala anda, khususnya jika anda berdiri.
Oleh itu, para pengguna disarankan untuk memeriksa keadaan peralatan elektrik di rumah sekurang-kurang enam bulan sekali.
Ini adalah untuk memastikan kita mengetahui jangka hayat sebenar peralatan elektrik kita dan bukannya hanya bergantung pada testimoni pengguna lain.
Hal ini disebabkan, kadar penggunaan perkakasan elektrik bagi seseorang individu adalah berbeza-beza berdasarkan faktor cuaca, kekerapan berada di premis dan lain-lain lagi.
BACA: (Video) Mujur Tengah Tunduk, Kepala Lelaki Nyaris ‘Pecah’ Kipas Syiling Tiba-Tiba Jatuh