Perkahwinan berlaku apabila dua jiwa bertemu dan disatukan dalam sekali lafaz. Pasangan yang ingin mendirikan rumah tangga perlu mengetahui ilmu perkahwinan, sama ada golongan normal mahupun golongan Orang Kurang Upaya.
Acap kali kita melihat majlis perkahwinan yang dilakukan oleh orang awam, rata-rata menunjukkan mengenai atur cara majlis, persiapan, baju, tempat majlis ataupun kejadian pelik yang berlaku.
Tetapi baru-baru ini, sepasang suami isteri OKU telah tular di media sosial selepas membuat ijab dan kabul menggunakan bahasa isyarat yang jarang dikongsi di dunia internet ketika ini.
Satu rakaman video yang dikongsi oleh penterjemah bahasa isyarat majlis @Siti Zubaidah@82 di laman TikTok, menunjukkan detik-detik bahagia pasangan istimewa itu semasa menjalankan sesi akad nikah.
Video berdurasi 54 saat itu dipenuhi dengan rasa terharu yang dicampur dengan perasaan gembira serta sedih, kerana kekurangan tidak menjadi penghalang untuk dua hati menjadi satu.
Permulaan video itu menunjukkan pengantin perempuan yang bernama Shafiyyah sedang bersiap sebelum memasuki masjid untuk menjalankan sesi penting dalam perkahwinan iaitu akad nikah.
Lelaki yang dipercayai ayah Shafiyyah, menjadi wali untuk anaknya melafazkan akad kepada lelaki yang istimewa, Hamizan. Setiap butir kata yang dilafazkan, penterjemah majlis berdiri di hadapan lelaki itu dan menterjemahkannya menggunakan bahasa isyarat.

Usai selesai daripada pihak wali, lelaki itu pun ‘melafazkan’ akad menggunakan bahasa isyarat dan diterjemahkan oleh penterjemah berkenaan menggunakan perkataan kepada ayah Shafiyyah.

Ia merupakan satu momen istimewa yang dirakamkan, terutama sekali buat keluarga pengantin.
Meninjau di ruangan komentar, rata-rata ramai yang memanjatkan rasa kesyukuran buat kedua-dua insan istimewa itu kerana berjaya menjadi pasangan suami isteri dengan sekali lafaz.
Difahamkan, prosedur buat pasangan istimewa yang ingin melafazkan ijab dan kabul sama seperti orang biasa, cuma ketika bacaan akad penterjemah akan turut serta bersama dan terjemah di sebelah. Selepas itu, pengantin lelaki akan lafaz terima dalam bentuk bahasa isyarat.
@sliexpertservice Alhamdulillah selesai majlis pernikahan Hamizan dan Shafiyah. semoga kekal hinggakm ke syurga. amin #bahasaisyaratmalaysia #orangpekak #akadnikah #jurubahasabim #jurubahasaisyaratmalaysia #muslimweddingceremony #penang
Sumber: Siti Zubaidah@82 via Tiktok