Angka korban tragedi kapal tentera laut Thailand yang karam di perairan negara itu pada Ahad lalu telah meningkat kepada 18 orang setakat ini, memetik laporan terkini CNN.
Sebelum ini, kapal His Thai Majesty’s Ship (HTMS) Sukhothai dilaporkan karam dalam cuaca buruk pada awal Isnin sehingga menyebabkan berpuluh-puluh anak kapalnya hilang di teluk Thailand.
Dalam perkembangan pada Ahad, seramai 11 orang anak kapal masih hilang, manakala hanya 76 yang berjaya diselamatkan daripada keseluruhannya 105 orang.
Ketua Komander Tentera Laut Diraja Thailand, Laksamana Cherngchai Chomcherngpat berkata kapal tersebut membawa 30 orang lebih daripada muatan biasa sehingga menyebabkan jaket keselamatan tidak mencukupi untuk digunakan oleh kesemua anak kapal.
“Anak kapal sedar tentang kekurangan jaket keselamatan untuk 30 anak kapal yang lain. Jadi, mereka menggunakan alat bantuan lain yang boleh menyelamatkan nyawa anggota yang tidak mempunyai jaket keselamatan,” kata Cherngchai.
Hal itu menyebabkan sebahagian anak kapal yang tidak mempunyai jaket terpaksa menyelamatkan diri dengan menggunakan rakit yang ada di HTMS Sukhothai, manakala sebahagiannya diselamatkan oleh helikopter penyelamat dan kapal lain.

“Dengan atau tanpa jaket tidak menjejaskan kemungkinan mereka untuk bertahan,” tambah ketua komander itu lagi.
Beliau turut mengesahkan bahawa kapal tersebut tenggelam selepas air laut mula masuk dan melumpuhkan sistem kuasanya.
“Ombak yang ‘muncul’ adalah antara tiga dan empat meter (10 hingga 13 kaki) tinggi dan suhu air kira-kira 29 darjah Celcius.
“Air masuk pada bahagian hadapan kapal perang sepanjang 252 kaki (76.8 meter) itu sekitar 8:45 malam, Ahad,” jelas Cherngchai.
Menurut CNN, air yang memasuki kapal secara berterusan selama tiga jam telah melumpuhkan enjinnya dan sistem elektrik sehingga usaha mengepamnya keluar tidak dapat dilakukan.
Sementara itu, pasukan penyelamat (helikopter) berusaha untuk menurunkan pam air ke kapal namun tindakan tersebut gagal apabila kapal berkenaan mula condong sehingga menyebabkan ia karam.
Mengulas lanjut, Cherngchai menolak pandangan bahawa kapal berusia hampir 40 tahun itu mungkin tidak berada dalam keadaan baik untuk berdepan situasi kecemasan berkenaan.
Jelasnya, beliau menafikannya kerana mengatakan kapal itu sudah dinaik taraf beberapa kali sejak kebelakangan ini.
Sumber: CNN