Sergio Aguero Berseloroh Buat “Comeback” Lepas Tengok Aksi Pemain Malaysia Menentang Laos
Pemain naturalisasi negara, Sergio Aguero telah mencuri tumpuan peminat bola sepak apabila berjaya memberikan jaringan sulung buat Malaysia dalam perlawanan Piala AFF 2022 menentang Laos pada Sabtu lalu.
Rata-rata peminat bola sepak turut memuji prestasi pemain berusia 28 tahun itu.
Dalam pada itu, bila menyebut namanya, pasti ia juga akan mengingatkan orang ramai kepada bekas bintang bola sepak Argentina iaitu Sergio Aguero atau lebih dikenali sebagai Kun Agüero.
Bercakap mengenainya, baru-baru ini bekas penyerang Argentina itu telah memberi reaksi lucu apabila melihat aksi yang ditampilkan oleh Aguero yang turut memiliki nama sama sepertinya menerusi sebuah video yang dikongsi oleh akaun @scespn di Instagram.
Menerusi perkongsian itu, Kun Agüero telah menghiasi ruang komen dengan mengatakan bahawa ‘Saya telah kembali’ apabila melihat pemain Malaysia itu membuat kemunculan semasa perlawanan piala AFF 2022.
Ia lantas mendapat perhatian warganet khususnya dari Malaysia, komennya itu juga telah mendapat lebih 11,000 tanda suka.
Untuk pengetahuan, pemain naturalisasi negara, Sergio Fabian Ezequiel Aguero itu turut dilahirkan di negara Argentina dan bermain di posisi penyerang, sama seperti bekas penyerang Manchester City itu.
Kini, pemain itu bermain di bawah kelab Liga Super Malaysia, Sri Pahang FC.
Setelah bermain di Malaysia sejak tahun 2017, Aguero dipanggil ke dalam skuad Harimau Malaya untuk menghadapi perlawanan antarabangsa.
Pemain yang mendapat kerakyatan Malaysia pada 16 September itu turut mengakui bahawa dia sudah cukup sebati sebagai seorang rakyat Malaysia untuk mewakili negara dalam mana-mana perlawanan bola sepak.
“Saya di sini selama enam tahun, saya dapat banyak tawaran dari luar dan saya sentiasa memilih untuk berada di sini kerana saya cintakan negara ini dan saya sayang semuanya di sini,” jelasnya.
Sergio Aguero setakat ini hanya membuat dua penampilan bagi pasukan kebangsaan Malaysia.
Pun begitu, namanya tetap terpilih dan mendapat tempat dalam senarai skuad Harimau Malaya bagi Piala AFF 2022, lapor Astro Awani.
Sumber: scespn via Instagram